Review Filem M For Malaysia


Filem:
M For Malaysia

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Dian Lee & Ineza Roussille

Genre:
Dokumentari

Tarikh Tayangan:
12 September 2019

Pengedar:
Astro Shaw

Sinopsis:
Sebuah filem dokumentari istimewa yang menyingkap kembali Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018. Sejarah terlakar apabila perpaduan rakyat Malaysia telah mengubah landskap politik di Malaysia. Kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui oleh pemimpin berusia 92 tahun iaitu Tun Dr. Mahathir telah mengalahkan kerajaan yang paling lama memerintah iaitu UMNO. Saksikan filem dokumentari yang menarik ini di pawagam terpilih bermula pada 12 September 2019 ini untuk menyaksikan keseluruhan kisahnya.


Ulasan:


Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem dokumentari yang sangat menarik berjudul M For Malaysia di MMcineplesex eCurve pada 16 September 2019 yang lepas. Kami pada awalnya agak risau untuk menonton filem dokumentari yang mengisahkan tentang peristiswa Pilihan Raya Umum ke-14 disebabkan agak trauma dengan apa yang kami saksikan pada sebuah filem tempatan tahun lepas yang turut sama mengisahkan tentang perjalanan Malaysia Baru. Namun, hasil pujian daripada ramai penonton tentang filem dokumentari ini membuatkan kami mengambil keputusan untuk menonton dan ternyata ianya langsung tidak mengecewakan kami.


Filem dokumentari M For Malaysia ini menjadikan Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad sebagai subjek serta watak utama di dalam menggerakkan keseluruhan filem dokumentari ini. Namun, menariknya tentang filem dokumentari ini apabila ia bukannya cuba menghasut, mempengaruhi atau membuatkan anda sebagai penonton untuk menyukai dan menyayangi beliau mahu pun untuk membenci lawan serta musuh politiknya. Tidak sama sekali! Tetapi, kisah ini membawa anda melihat apa yang belum pernah anda saksikan sebelum ini melalui rakaman-rakaman istimewa yang dikongsikan dan digabungkan dengan cantik dalam penceritaan kisah ini. Rakaman-rakaman istimewa ini dapat anda saksikan di dalam keseluruhan filem ini bermula sejak tahun 80-an lagi sehingga lah kepada rakaman-rakaman di sebalik tabir perjalanan Tun Dr Mahathir menjelang hari bersejarah rakyat Malaysia yang buat pertama kalinya berani membuat perubahan besar-besaran serta kisah selepas hari bersejarah tersebut. Perkara inilah sebenarnya yang kami cari di dalam sebuah filem tempatan yang menceritakan tentang perihal hari bersejarah tersebut namun langsung tidak kami temui. Filem dokumentari ini memang bukan sekadar memintas tetapi membuatkan filem yang maksudkan pada tahun lepas seolah-olah seperti tiada nilai menarik untuk dilihat. 


Filem dokumentari M For Malaysia ini mempunyai enam keistimewaan buat kami apabila selesai menonton iaitu:

1) Kami dapat melihat dengan lebih dekat sisi dan karakter Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad yang bukan sekadar tegas, berani dan kuat tetapi juga sisi humor yang berjaya membuatkan anda ketawa melihat telatahnya.

2) Disebalik kejayaan seorang lelaki itu berdirinya seorang wanita dibelakangnya. Filem dokumentari ini juga berjaya memaparkan sisi menarik serta karakter yang terdapat di dalam diri seorang isteri perdana menteri iaitu Tun Siti Hasmah yang ternyata bukan sekadar selamba tetapi melucukan. Kemunculan beliau di dalam filem ini pasti sentiasa akan membuatkan anda terhibur dan jatuh hati dengan karakternya.

3) Apa yang membuatkan filem dokumentari ini kelihatan mahal ialah terdapatnya rakaman-rakaman yang tidak pernah didedahkan yang kami yakin jika pada zaman dahulu ditakrifkan sebagai rakaman rahsia yang merbahaya untuk ditayang kepada umum. Namun, filem ini membuatkan anda dapat menonton rakaman ini dan membuat penilaian tersendiri tentang telahan atau kepercayaan anda sebelum ini dan apa yang anda rasa selepas selesai menonton.



4) Momen-momen belakang tabir yang dikongsikan di dalam filem dokumentari merupakan satu kekuatan yang paling utama dan sangat besar di dalam menjadikan kami begitu asyik menonton. Walaupun semua rakyat Malaysia sudah mengetahui tentang keputusan pilihan raya namun menariknya filem dokumentari ini masih mampu menimbulkan rasa debaran melihat momen-momen genting sewaktu kempen pilihan raya, malam pengumuman keputusan pilihan raya serta apa yang berlaku selepas pilihan raya. Sekali lagi kami tegaskan semua faktor yang kami sebutkan ini sebenarnya adalah apa yang kami ingin lihat pada sebuah filem yang ditayangkan kepada umum tahun lepas yang mengisahkan tentang peristiwa ini namun tiada. Jadi, filem dokumentari ini berjaya memuaskan hati kami dari sudut ini! 

5) Filem dokumentari yang melibatkan kisah sejarah politik sememangnya akan dianggap propaganda oleh pihak yang tidak sependapat. Namun, kami merasakan perkara tersebut tidak terlalu ketara kerana filem ini juga turut sama membongkarkan perkara negatif yang pernah melanda Tun Dr Mahathir sebelum ini walaupun tidak kesemuanya. Filem ini juga dilihat bijak memaparkan kesatuan rakyat Malaysia sepanjang kempen dan pilihan raya berlangsung.

6) Kami juga menyukai sisi nakal filem dokumentari ini berkenaan cara bagaimana ia mengangkat watak utama untuk dipandang secara positif dan menjentik pihak yang bertentangan atau lawan dengan cara yang kreatif melalui pemilihan adegan-adegan penting. Ianya merupakan hasil kerja yang cukup bijak dan boleh dipelajari oleh pihak-pihak yang ingin menghasilkan filem-filem berteraskan peristiwa ini lagi di masa akan datang. 


Jadi, selamat menonton filem dokumentari M For Malaysia di pawagam terpilih bermula pada 12 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Kami Ulas Ialah Filem Dendam Pontianak. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan