Review Filem Ajari Aku Islam


Filem:
Ajari Aku Islam

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Deni Pusung

Genre:
Drama

Pelakon:
Roger Danuarta, Cut Meyriska, Shinta Naomi, Miqdad Addausy & Etc.

Pengedar:
Antenna Entertainments

Tarikh Tayangan:
17 Oktober 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki Medan berketurunan Cina iaitu Kenny yang jatuh hati kepada Fidya, gadis berketurunan Batak Melayu yang beragama Islam. Namun, hubungan percintaan mereka dilanda pelbagai ujian serta tidak direstui oleh ibu bapa kedua-dua belah pihak kerana latar belakang mereka yang berbeza. Pada waktu yang sama, Kenny juga dipaksa untuk berkahwin dengan bekas tunangnya iaitu Chelsea Tan. Situasi menjadi lebih rumit apabila kembalinya Fahri yang merupakan kekasih lama Fidya yang baru menamatkan pelajaran di Turki. Apakah pengakhiran hubungan antara Kenny dan Fidya? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 17 Oktober 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Ajari Aku Islam di TGV Cinemas The Mines pada 20 Oktober 2019 yang lepas. Filem ini sebenarnya merupakan kisah sebenar penerbit filem ini iaitu Jaymes Riyanto dan menariknya ianya digabungkan pula dengan kisah percintaan antara dua watak utamanya iaitu Cut Meyriska dan Roger Danuarta yang membawa ke jinjang pelamin. Medan dipilih sebagai latar filem ini kerana ia merupakan lokasi sebenar berkenaan kisah penerbit filem ini sendiri dimana ia meliputi beberapa kawasan seperti Istana Maimoon, Masjid Raya Al Mashun dan banyak lagi lokasi yang terdapat di bandar Medan. 


Kami melihat filem Ajari Aku Islam ini sebenarnya mempunyai kisah yang menarik berkaitan dengan keterbukaan di dalam memaparkan kisah percintaan berbeza agama yang mana masing-masing mengalami tentangan dan halangan daripada pihak keluarga. Namun, sayangnya plot penceritaannya dilihat terlalu mendatar dan berjalan di atas dasar sahaja tanpa cuba menggali dengan lebih dalma. Ini mengakibatkan sebarang permasalahan atau konflik yang cuba dipaparkan kepada penonton dilihat gagal untuk memberi kesan yang lebih mendalam. Kami cuba untuk mendalami, menghayati dan merasai setiap persoalan yang cuba ditimbulkan di dalam filem ini dimana kami tidak nafikan ada banyak persoalan yang ditimbulkan sangat menarik perhatian tetapi cara pengolahannya di dalam menyelesaikan perkara itu untuk tatapan penonton dilihat lemah dan isi tersiratnya juga tidak dapat dirungkai dengan baik. Sayang sebenarnya kerana filem ini sudah mempunyai kekuatan yang tersendiri tetapi tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.


Salah satu perkara yang menarik tentang filem Ajari Aku Islam ini ialah penggunaan kata-kata untuk dialog watak utamanya iaitu Kenny yang pada kami agak cantik dan kena pada babak-babak yang penting. Antara babak menarik yang boleh dirujuk saat pertemuan Kenny dengan bapa Fidya dimana ketegangan adegan tersebut berjaya disampaikan dengan baik melalui susunan ayat yang cantik, kemas serta bijak untuk didengari. Namun, dapat dilihat walaupun perjalanan filem ini tidak lah meleret tetapi ia gagal memanfaatkan masa yang ada untuk memperkembangkan lagi kisah serta konflik yang melanda watak utamanya dimana pada akhirnya ianya seperti kisah yang kita sudah boleh ramalkan apakah yang akan berlaku pada seterusnya. Cuma satu perkara yang kami ingin puji tentang jalan cerita filem ini ialah pada babak pengakhirannya dimana ia berjaya lari daripada babak-babak klise atau stereotaip filem-filem Islamik sebegini dengan menampilkan sedikit kejutan yang membuatkan kami sangat kagum dengan keberanian penulis dan pengarah filem ini untuk menjadikan penamat kisahnya sebegitu. Memang terbaik! 


Secara keseluruhan, filem Ajari Aku Islam ini bukannya sebuah filem yang terlalu lemah kerana ia juga mempunyai kekuatan dan keistimewaannya yang tersendiri. Namun, untuk mencari keunikannya filem ini adalah sangat sukar pada pandangan kami kerana ianya terlalu bermain di dasar yang selamat. Sebenarnya filem ini mampu pergi lebih jauh dengan menyentuh perkara atau konflik yang lebih luas, panas dan rumit berbanding dengan apa yang disajikan pada karya kali ini. Tetapi, untuk para kaki wayang yang ingin menonton sebuah filem Islamik yang tidak terlalu berat maka filem ini sangat bersesuaian buat anda.


Jadi, selamat menonton filem Ajari Aku Islam di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 17 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Filem The Conductor Sempena EUFF 2019. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Jalan cerita filem ini agak menarik & saya suka susunan dialog yg tersusun mcm ni. Agak tersentuh hati dimana jln ceritanya kenny jatuh cinta pada ISLAM.
    SUBHANALLAH....👍🏻

    BalasPadam