20/10/19

Review Filem Maleficent: Mistress Of Evil


Filem:
Maleficent: Mistress Of Evil

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Joachim Rønning


Genre:
Pengembaraan, Keluarga & Fantasi

Pelakon:
Angelina Jolie, Elle Fanning, Michelle Pfeiffer, Chiwetel Ejiofor, Sam Riley,
Harris Dickinson, Ed Skrein, Imelda Staunton, Juno Temple, Lesley Manville & Etc.

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan:
17 Oktober 2019

Sinopsis:
Filem sekuel ini berlatar belakangkan lima tahun selepas situasi dalam karya Maleficent terdahulu yang menerokai hubungan rumit di antara pari-pari bertanduk Maleficent dan Puteri Aurora yang telah menerima lamaran Putera Phillip dan bakal menjadi permaisuri kerajaan tersebut. Walau bagaimanapun, mereka tidak menyedari bahawa ibu putera itu iaitu Permaisuri Ingrith merancang untuk mempergunakan perkahwinan mereka bagi memisahkan pari-pari dan manusia untuk selama-lamanya akibat dendam yang telah disimpan sejak sekian lama. Peperangan yang bakal berlaku itu meletakkan Maleficent dan Puteri Aurora pada pihak bertentangan. Adakah Maleficent akan memusuhi Puteri Aurora dan manusia kembali? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 17 Oktober 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Maleficent: Mistress Of Evil di TGV Indulge, One Utama pada 17 Oktober 2019 yang lepas. Filem sekuel Maleficent yang kembali menemui penonton selepas lima tahun menanti ini semestinya membuatkan para peminat filem ini meletakkan harapan yang cukup tinggi pada naskah kali ini. Begitu juga kami yang menantikan apakah kelainan dan pembaharuan yang cuba ditampilkan pada karya arahan Joachim Rønning ini.


Filem Maleficent: Mistress Of Evil kali ini membawa para peminat serta penontonnya untuk melihat sebuah perancangan jahat yang dilakukan oleh Ratu Ingrith dari kerajaan Ulstead yang merupakan ibu kepada Putera Philip dimana dia cuba mengambil kesempatan atas perkahwinan anaknya dan Aurora untuk menghapuskan pari-pari serta makhluk lain yang tinggal di Moors. Apa yang lebih menarik apabila Ratu Ingrith berjaya membuatkan Maleficent dibenci dan ditakuti oleh rakyat Ulstead sejak dari awal sebelum berjaya mengumpan Maleficent ke  istana untuk dikhianati dan menjadi modal buat kerajaan Ulstead untuk melancarkan perang kepada kerajaan Moors di bawah pimpinan Maleficent. Jadi, permulaan kisah filem ini dilihat menarik apabila ia membawa kami untuk melihat perhubungan antara Aurora dan Maleficent yang mulai goyah dan bagaimana Aurora sendiri tersepit antara cinta, keluarga serta prinsipnya. Lebih menarik perhatian apabila kemunculan golongan Dark Fey di dalam filem ini yang berjaya mengubah sedikit tahap klise yang wujud di dalam filem-filem Disney yang bercirikan fantasi sebegini.


Salah satu keistimewaan yang sangat menarik dan dilihat berjaya membuatkan Maleficent: Mistress Of Evil perlu diberi penghargaan ialah bagaimana ketelitian pasukan VFX mereka di dalam menghasilkan setiap karakter pari-pari, makhluk Moors serta generasi Dark Fey tidak kira yang kecil saiznya mahu pun yang besar seperti pokok tengkorak dimana ia bukan sekadar cantik, comel tetapi kelihatan sangat meyakinkan untuk dipercayai kewujudan mereka di dalam filem ini. Kami sendiri sangat menyukai dua watak kecil makhluk Moors yang dikurung di dalam botol kaca dimana perwatakan serta karakter yang ditunjukkan adalah begitu menarik dan membuatkan filem ini lebih ceria dan begitu mengasyikkan untuk ditonton.


Namun, apa yang membuatkan filem Maleficent: Mistress Of Evil ini kelihatan sedikit terbatas pada pandangan kami ialah babak klimaks serta penghujung kisahnya yang sangat klise dan sememangnya mengikuti jejak filem-filem fantasi Disney yang lain. Kisahnya begitu mudah diramalkan terutama melibatkan adegan peperangan antara golongan Dark Fey serta manusia yang dilihat gagal memberi impak pada kadar yang maksimum dimana kami percaya filem ini cuba menjadikan karyanya lebih ringan dan bersifat mesra serta baik untuk golongan kanak-kanak. Jadi, ia menyebabkan golongan dewasa seperti kami yang inginkan satu babak perang yang hebat dan dinamik untuk ditonton nampaknya hanya mampu mengimpikannya sahaja kerana ianya sama sekali tidak akan terjadi di dalam filem ini.


Secara keseluruhannya, filem Maleficent: Mistress Of Evil ini masih merupakan sebuah kisah fantasi ringan yang menarik dan menghiburkan untuk ditonton. Tiada masalah jika anda tidak pernah menonton filemnya yang terdahulu kerana filem sekuel ini memaparkan satu kisah lain yang tidak bersangkut paut dengan kisah terdahulu. Lakonan para pelakon yang mantap, kualiti CGI yang menarik, gred warna filem yang hebat dan bersesuaian dengan situasi serta elemen humor berjaya membuatkan filem ini berbaloi untuk anda tonton bersama keluarga atau rakan-rakan di pagawam.



Jadi, selamat menonton filem Maleficent: Mistress Of Evil di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 17 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Semua? Nantikan!

8 ulasan:

  1. Cantiknya Angelinaaaa! Tengok trailer macam best tapi kalau movie dia jenis ringan better tunggu Blu-ray je lah keluar nanti

    BalasPadam
    Balasan
    1. jenis ringan ni sama macam mana tengok maleficent yang pertama dan filem2 disney lain.

      Padam
  2. Ulasan film seterusnya?... Comfirm Terminator nih. Tak sabo tunggu ulasan Hans, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      bukan lah
      bergantung pada filem apa yang ditonton lepas nih

      Padam
  3. Boleh review movie kumanthong? Yg dari Vietnam. Rsanya ada kluar di gsc

    BalasPadam
  4. angelina jolies cantik gila dalam ni. especially time dia jatuh sakit and lepaskan rambut .. sooooo soooo pretty!!

    BalasPadam