16/11/19

Review Filem Knives Out


Filem:
Knives Out

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Rian Johnson

Genre:
Jenayah, Drama & Misteri

Pelakon:
Daniel Craig, Chris Evans, Ana de Armas, Lakeith Stanfield, 
Michael Shannon, Jamie Lee Curtis, Don Johnson& Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
28 November 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Detektif Benoit Blanc dan pihak polis yang ditugaskan untuk menyiasat kematian misteri seorang penulis novel jenayah terkenal iaitu Harlan Thrombey yang ditemui mati di rumah agamnya di kawasan terpencil sehari selepas majlis hari jadinya yang ke-85. Pihak polis perlu menyoal siasat setiap ahli keluarga bermasalah Harlan yang dijemputnya ke majlis itu dengan harapan untuk menyatukan mereka semua. Memandangkan kesemua mereka adalah suspek, detektif itu terpaksa berdepan pelbagai tipu helah demi membongkar kebenaran. Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 28 November 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada TGV Pictures untuk menonton filem Knives Out dua minggu lebih awal berbanding penonton lain bertempat di TGV One Utama pada 15 November 2019 yang lepas. Filem bergenre jenayah dan misteri ini boleh dikatakan sebagai salah sebuah filem di tahun 2019 yang berjaya membuatkan kami terhibur melalui cara penyampaian kisahnya yang berliku serta olahan ceritanya terhadap misteri kejadian pembunuhan disamping boleh dikatakan sebagai sebuah satira terbaik di dalam memberi kritikan kepada dunia sosiopolitik global masa kini.


Filem Knives Out juga dilihat bijak di dalam memanfaatkan prop-prop yang digunakan untuk latar rumah agam Harlan Thrombey dimana penonton akan dibawa sesekali melihat pelbagai jenis patung antik yang pelik dan menyeramkan selain lorong rahsia yang sebenarnya menyokong dengan baik perkembangan misteri pembunuhan yang berlaku di dalam rumah tersebut. Dimulakan dengan adegan pembukaan mengejutkan tentang kematian Harlan Thrombey yang disyaki membunuh diri sebelum kehadiran detektif ternama Benoit Blanc hadir membantu pihak polis untuk menyoal siasat setiap ahli keluarga Thrombey untuk mencari punca kepada pembunuhan tersebut.



Filem Knives Out mula menunjukkan taringnya apabila setiap ahli keluarga Thrombey dipaparkan mempunyai motif yang kuat untuk membunuh Harlan Thrombey. Satu demi satu rahsia besar berkenaan setiap watak dibogelkan kepada penonton sedikit demi sedikit dimana pembohongan terancang mereka kepada detektif Benoit Blanc ini mempunyai satu persamaan yang sama dimana mereka mengakui kejayaan mereka di dalam perniagaan adalah hasil usaha mereka sendiri walaupun hakikatnya setiap daripada mereka berjaya disebabkan bantuan bapa mereka iaitu Harlan Thrombey. Apa yang lebih menarik apabila penonton mula diperkenalkan dengan pembantu peribadi Harlan yang naif iaitu Marta Cabrera yang juga disyaki terlibat di dalam pembunuhan majikan ini. Menariknya ialah filem ini tahu bagaimana untuk mencipta satu suasana dimana semua watak berpotensi untuk dituduh sebagai pembunuh Harlan.


Filem Knives Out juga dilihat bijak memacu pemikiran penonton untuk sentiasa ligat memikirkan dan membuat tekaan atau ramalan bagi mencari siapa sebenarnya yang terlibat di dalam pembunuhan ini dan mengapa ianya dilakukan melalui naratif yang cukup misteri. Perkara ini nampaknya disokong lagi dengan suntingan yang sangat kemas dimana walaupun ada beberapa adegan yang diulang tayang tetapi ia dilihat tidak membosankan. Sebaliknya ia membuatkan penonton semakin mudah terpedaya kerana filem ini sememangnya sangat kaya dengan permainan plot kreatif atau plot twist yang bakal membuatkan anda tertipu serta terhibur sepanjang menonton filem ini nanti. 


Filem Knives Out juga dilihat kuat dari sudut mesej berkaitan dengan kekeluargaan yang berkembang kepada ciri-ciri kepimpinan, kehidupan serta nilai-nilai murni di dalam hidup terutamanya tentang soal kejujuran. Menarik untuk melihat elemen-elemen ini sebenarnya sangat dekat dengan kehidupan masyarakat Asia yang masih memandang tinggi hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Filem ini juga dilihat kuat di dalam memberi kritikan sosial terhadap golongan-golongan atasan atau yang berkuasa dimana kesilapan yang jika dilakukan pada peringkat awal dan ianya berterusan sehingga pada satu tahap yang lama maka ia akan menjadi barah dan memberi kesan buruk kepada seluruh pihak yang terlibat di dalam lingkaran rantaian kesilapan tersebut. Kami melihat inilah yang berlaku dan cuba di dipaparkan di dalam filem Knives Out dan ianya sangat menarik untuk diamati dan dipelajari moralnya. 


Selain elemen jenayah serta drama yang penuh misteri, filem Knives Out turut dilihat hebat dari sudut humor yang dicetuskan di dalam kebanyakan adegannya. Kami yakin setiap penonton pasti akan tercuit hati dan adakalanya mampu ketawa besar apabila melihat bagaimana pelakon Daniel Craig menghidupkan watak Detektif Benoit Blanc dengan begitu cemerlang. Kami akui persembahan lakonannya kali ini bukan sahaja berbeza daripada sebelumnya tetapi juga hidup dan penuh keunikan terutama dari sudut bagaimana dia bermain dengan lontaran suaranya yang mengikut situasi setiap adegan yang melibatkan pelakon ini. Begitu juga dengan watak penting Marta Cabrera yang dibawakan oleh Ana De Armas yang tidak boleh bercakap bohong atau dirinya akan mulai berasa loya dan muntah-muntah. Chris Evans pula yang membawakan watak Ransom juga dilihat berjaya lari daripada imej Captain America dengan jayanya. Percayalah anda pasti akan terpesona dengan ketiga-tiga watak ini yang sentiasa berjaya memanipulasikan pemikiran anda untuk sentiasa tertipu untuk setiap kali pembongkaran rahsia atau penemuan bukti baru tentang kisah pembunuhan tersebut.



Secara keseluruhannya, filem Knives Out dilihat sangat konsisten di dalam menggunakan helah permainan plot yang sentiasa berubah-ubah untuk membuatkan kami sebagai penonton sentiasa segar menyaksikan keseluruhan filem ini. Penuh dengan elemen drama, komedi serta bijak menyentuh emosi penonton melalui banyak perkara yang tidak disangka-sangka, kami yakin filem ini sememangnya mempunyai potensi yang sangat besar untuk disukai oleh majoriti penonton melalui pelbagai perkara menarik yang boleh ditawarkan di dalam keseluruhan jalan ceritanya. Percaya lah filem ini pasti tidak akan mengecewakan anda kerana ia sangat menghiburkan sejak minit pertama sehingga kepada minit terakhir.


Jadi, selamat menonton filem Knives Out di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 28 November 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Animasi Tempatan Yang Dinanti Ramai Iaitu Ejen Ali The MovieNantikan Ulasannya!

6 ulasan:

  1. Aku suka filem "Who done it".. oh yeh.. tunggu keluar kompom tengok

    BalasPadam
  2. Terbaik..

    10/10

    Aku sampai xminum air sebab xnak keluar pegi toilet..hahaha

    BalasPadam
    Balasan
    1. Lupa nk tulis smlm..

      Cerita ni mengingatkan aku pada Murder on the Orient Express..

      Padam
    2. aku suka filem knives out lagi dari MOT Orient Express tu

      Padam