29/12/19

Review Filem Ip Man 4: The Finale


Filem:
Ip Man 4: The Finale

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Wilson Yip

Genre:
Aksi

Pelakon:
Donnie Yen, Scott Adkins, Danny Chan Kwok-kwan & Etc.

Pengedar:
Lotus Five Star

Tarikh Tayangan:
20 Disember 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Ip Man dimana kali ini Mahaguru Wing Chun itu telah mengembara ke San Francisco, USA untuk meminta bantuan pihak disana bagi meminta surat sokongan membantu anaknya untuk belajar di negara tersebut. Disana, beliau dijemput oleh komuniti China yang lain dimana mereka tidak menyukai anak didik Ip Man iaitu Bruce Lee yang telah membuka sekolah Wing Chun. Ini kerana mereka tidak mahu seni mempertahankan diri masyarakat China diketahui oleh orang luar terutamanya orang Amerika yang sangat kuat sikap rasis mereka kepada komuniti tersebut pada ketika itu. Pada masa yang sama, satu kejadian buli yang berlaku antara gadis China dan gadis Amerika di sebuah kolej menyebabkan masalah besar kepada komuniti masyarakat China di China Town, San Francisco kerana mereka mula diganggu oleh pihak imigresen dan tentera. Saksikan filem yang penuh dengan aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 20 Disember 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem aksi yang menarik dari siri franchais Ip Man iaitu Ip Man 4: The Finale bertempat di GSC Cinemas IOI Puchong pada 28 Disember 2019 yang lepas. Sebenarnya kami telah mendapat jemputan daripada pihak pengedar filem lebih awal daripada tarikh tayangan. Namun disebabkan kekangan kerja maka kami terpaksa menonton agak lewat namun ternyata membeli tiket untuk menonton filem aksi ini masih berbaloi 


Filem Ip Man 4: The Finale kembali memaparkan sambungan kisah Ip Man selepas kematian isterinya. Permulaan filem ini dimulakan dengan adegan melodrama apabila ia memberitahu penonton tentang hubungan antara Ip Man dan anak lelakinya yang tegang serta masalah penyakit kanser yang menyerang Ip Man. Disebabkan masalah anak lelakinya yang bergaduh di sekolah sehingga dibuang membuatkan Ip Man merantau hingga ke San Francisco untuk mencari sekolah yang sesuai untuk anaknya. Tibanya disana, Ip Man mula melihat bagaimana komuniti masyarakat China yang tinggal disana terpaksa berhadapan dengan layanan yang cukup rasis daripada masyarakat kaum putih yang merasakan kehadiran mereka disana mengganggu keharmonian mereka.


Filem Ip Man 4: The Finale pada kali ini juga bukan sahaja masih padat dengan elemen aksi tetapi juga membawa penonton untuk mengenali tentang masyarakat China itu sendiri yang sangat bersifat nasionalisme dan 'kekitaan' dimana ia dapat dilihat kepada beberapa mahaguru yang tidak bersetuju dengan tindakan Bruce Lee yang membuka sekolah seni mempertahankan diri dan membenarkan orang asing selain orang China untuk belajar seni mempertahan diri kaum China. Kita juga dapat melihat bagaimana masyarakat China tidak kira di Amerika mahu pun dimana-mana termasuk Malaysia yang mempunyai sikap saling bantu-membantu sesama mereka dan ini dapat dilihat kepada kejayaan mereka terutama dalam bidang perniagaan. Hal ini juga dapat dilihat sering memberi masalah kepada masyarakat China pada masa kini tidak kira dimana mereka berada kerana disebabkan kesatuan mereka yang terlampau kuat sehingga menyebabkan mereka memegang ekonomi kawasan setempat dan membuatkan penduduk sekitar berasa terancam dan kurang senang denagn hubungan yang kukuh antara sesama mereka. 


Jadi, faktor-faktor inilah yang mula menyebabkan elemen rasis mula berlaku dimana filem Ip Man 4: The Finale memaparkan bagaimana layanan masyarakat kulit putih pada komuniti China sewaktu era dahulu. Walaupun hal ini tidak dipaparkan secara keras namun ada satu adegan menarik melibatkan watak Yonah yang merupakan anak kepada pengerusi komuniti China di kawasan China Town dengan seorang gadis kulit putih dimana Yonah mempersoalkan asal usul masyarakat kulit putih Amerika yang sebenarnya pun ialah pendatang yang merampas tanah orang asli Amerika yang sebenar. Secara tidak langsung, kami merasakan ini adalah satu perkara yang sangat berani memandangkan filem ini juga ditayangkan di negara terlibat namun ianya dipaparkan di dalam keadaan yang lembut. Menariknya juga apabila disinilah watak Ip Man menjadi lebih terserlah kerana filem ini melambangkan watak mahaguru tersebut sebagai rakyat China yang sukakan kedamaian dan sentiasa mencari jalan untuk memastikan kedua-dua pihak mendapat keputusan yang baik dan pada masa yang sama masih memelihara adat serta maruah masyarakat China itu sendiri.


Filem Ip Man 4: The Finale juga berjaya menutup francais filem ini dengan elemen aksi yang cukup menarik terutama melalui kemunculan watak Bruce Lee yang merupakan anak didik Ip Man. Pelakon Danny Chan yang memegang watak Bruce Lee dilihat berjaya menjalankan tugasnya dengan baik kerana segala-galanya adalah persis mendiang Bruce Lee. Donnie Yen pula yang memegang watak sebagai Ip Man tidak dinafikan lagi kredibilitinya namun satu kelemahan yang kami lihat di dalam filem ini ialah penampilannya sebagai Ip Man yang tidak kelihatan tua walaupun jika dilihat pada waktu kejadian sebenarnya Ip Man berada di fasa umur yang sudah tua. Pelakon Scoot Adkins yang membawakan watak sebagai seorang pegawai tentera Amerika yang sangat rasis juga berjaya menghidupkan karakternya dengan sangat baik sehingga membuatkan kami sendiri berasa geram dengan watak Barton Geddes ini. Secara keseluruhan, filem ini berjaya menjadi penutup kisah yang cukup baik buat seorang mahaguru yang dihormati oleh masyarakat China iaitu Ip Man. 


Jadi, selamat menonton filem Ip Man 4: The Finale di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 20 Disember 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Tamil Yang Menarik Berjudul Hero. Nantikan Ulasannya!

3 ulasan:

  1. adik bongsu saya dah tengok filem ini dan memang katanya best, ni yang tak sabar nk tengok jugak nih... bila dah pernah tengok filem ip man 1,2,3 yang final ni wajib jugak tengok... yang watak bruce lee tu memang nampak sama

    BalasPadam
  2. Cita cita aku nak jadi ip man huahahahaha

    BalasPadam