Review Filem Hero


Filem:
Hero 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
P.S. Mithran

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Sivakarthikeyan, Arjun Sarja, Abhay Deol, Kalyani Priyadarshan & Etc.

Pengedar:
Lotus Five Star

Tarikh Tayangan:
20 Disember 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Sakthi yang merupakan seorang lelaki yang tinggal di bandar Chennai. Dia mempertaruhkan dirinya untuk melindungi sistem pendidikan daripada Mahadev yang merupakan seorang pelobi korporat yang kejam. Sakthi cuba menutup perniagaan Mahadev dan juga cuba menukar sistem pendidikan sedia ada sambil menyembunyikan identitinya. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 20 Disember 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Tamil yang menarik berjudul Hero bertempat di Amerin Cineplex pada 28 Disember 2019 yang lepas. Menariknya tentang filem Hero ini ialah ia menjadikan sistem pendidikan di India sebagai fokus utama di mana bagaimana kewangan dijana melalui pelajar-pelajar yang terdesak untuk menyambung pengajian mereka di peringkat yang lebih tinggi. Ianya juga bertambah menarik apabila filem ini turut memberi penekanan terhadap hak ciptaan intelek dan bagaimana golongan korporat kapitalis yang keparat menindas pencipta asal terutama daripada golongan muda dengan mendapatkan wang yang lumayan daripada idea mereka. Ini adalah antara perkara menarik yang kami cukup suka di dalam intipati penceritaan filem Hero ini.


Filem Hero ini dimulakan dengan penceritaan yang baik dimana ia memaparkan watak Sakthi yang sejak kecil terpengaruh dengan satu siri adiwira Shaktimaan dimana cita-citanya pada dewasa nanti juga ingin menjadi adiwira seperti Shaktimaan. Namun, impiannya itu diketawakan serta diperlekeh oleh ramai pihak termasuk guru-gurunya. Jadi, apabila cerita bergerak ke arah Sakhti yang telah dewasa, penonton akan dikejutkan kenapa Sakthi boleh terlibat di dalam kerja-kerja penipuan berkaitan sijil serta manuskrip akademik palsu. Ini adalah menarik dimana plot penceritaan akan mula membongkarkannya satu persatu. Apa yang kami suka tentang filem-filem dari Kollywood ini ialah caranya di dalam menyampaikan hal-hal bersifat jenayah sebegini yang selalunya dihalalkan oleh mereka-mereka yang terlibat di dalam menggunakan sijil akademik palsu demi untuk memperoleh kerjaya yang baik, menikmati pulangan wang yang lumayan serta pelbagai lagi yag turut sama berlaku di negara Malaysia. Dialog-dialog yang disusun ini pada akhirnya berjaya memberi satu keputusan yang menarik dan bernas dimana kesimpulan yang boleh dikatakan ialah 'Matlamat Tidak Menghalalkan Cara'. Serius kami sangat sukakan bagaimana olahan penceritaan filem ini diterjemahkan kepada penonton.


Tiada sebarang masalah besar untuk filem hero sepanjang 3/4 kisahnya namun bahagian penghujungnya mempunyai satu masalah besar iaitu transformasi watak. Bagaimana Sakthi daripada seorang lelaki biasayang berubah menjadi adiwira selepas dua jam filem ini berlangsung. Terlalu lama untuk menantikan Sakthi menjadi seorang adiwira dan kami melihat watak ini tidak mempunyai potensi yang besar untuk menjadi wira yang dikehendaki kerana kebanyakkan masa yang dihabiskan lebih memberi fokus kepada masalah pelajar-pelajar yang lemah atau tidak berkemampuan untuk menyambung pelajaran mereka. Tiada masalah untuk hal-hal lain berkaitan penceritaan namun momen-momen yang diperlukan oleh watak Sakhti untuk bertukar menjadi adiwira dilihat tidak kuat dan kemunculannya juga tidak memberi kesan yang besar kepada pengakhiran filem.


Namun, filem Hero ini dilihat seakan-akan mempunyai sekuel jika menonton pada bahagian kredit akhir filem ini dimana terdapat beberapa kejutan juga pada bahagian tersebut. Secara keseluruhan, filem ini hebat dari sudut penyampaian cerita serta mesej-mesej dan kritikan yang cuba disampaikan terutamanya melibatkan hal berkaitan pendidikan, hak cipta intelek serta peluang pendidikan dan pekerjaan yang melibatkan masyarakat di negara India. Namun, dari sudut memperkenalkan adiwira di dalam filem ini, kami merasakan ianya masih lemah dan kurang memberi impak. Namun, filem ini masih menarik dan menghiburkan untuk anda tonton di pawagam berdekatan.



Jadi, selamat menonton filem Hero di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 20 Disember 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Yang Berjudul Good Newwz. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan