Review Filem Maraikkayar: Lion Of The Arabian Sea

 

Filem:
Maraikkayar: Lion Of The Arabian Sea 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Priyadarshan

Genre:
Drama & Sejarah

Pelakon:
Mohanlal, Arjun Sarja, Sunil Shetty, Prabhu, Manju Warrier, Keerthy Suresh & Etc.

Pengedar:
Superlink Pictures

Tarikh Tayangan:
2 Disember 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki yang digelar Kunjali Marakkar IV yang terkenal semasa abad ke-16 di India. Dia merupakan ketua tentera laut Zamorin of Calicut yang pertama mengorganisasikan pertahanan laut pertama di pantai India dan hampir 100 tahun berjaya melindungi Calicut daripada diserang oleh tentera Portugis. Namun pengkhianatan yang berlaku menyebabkan Kunjali mula memikirkan cara untuk menyelamatkan kerajaan Zamorin daripada Portugis. Berjayakah misi Kunjali menyelamatkan Kerajaan Zamorin? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Disember 2021 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Superlink Pictures untuk menonton sebuah filem bergenre sejarah yang agak menarik daripada negara India berjudul Maraikkayar: Lion Of The Arabian Sea yang berlangsung dengan cukup meriah di GSC NU Sentral pada 2 Disember 2021 yang lepas. 


Filem Maraikkayar: Lion Of The Arabian Sea ini memaparkan sebuah lagi kisah perjuangan tokoh yang cukup hebat di salah satu kawasan di negara India pada zaman dahulu. Menariknya ialah tokoh yang diperkenalkan di dalam filem ini merupakan seorang Muslim dan kami sememangnya berasa sangat teruja untuk menyaksikan liku-liku perjuangan dan penentangan perwira ini menentang penjajah Portugis. Seronok untuk melihat bagaimana watak utama yang diberi gelaran Kunjali Marakkar ini diperkembangkan dengan cukup menarik sejak awal filem untuk membuatkan kami berasa dekat dan dapat memahami watak ini dengan lebih mendalam.


Filem Maraikkayar: Lion Of The Arabian Sea ini sememangnya menampilkan aspek patriotik yang cukup tinggi kerana ianya mengangkat kekuatan, kebijaksaan dan kehebatan Kunjali ini sebagai warga tempatan yang mampu menghalang, mengekang kemaraan dan menewaskan beribu tentera Portugis yang terlihat moden hanya berpandukan penggunaan akal dan kelebihan berada ditempat kelahirannya sendiri. Lebih menarik apabila filem ini sekali lagi turut menunjukkan kejatuhan sesebuah negara, kerajaan mahu pun tamadun itu adalah disebabkan pengkhianatan daripada orang tempatan sendiri yang belot disebabkan faktor kuasa atau wang. Hal inilah yang berlaku kepada kerajaan Zamorin yang pada akhirnya terpaksa menerima kedatangan Portugis kerana kesalahan pemerintah muda yang ego, mentah dan terlalu mengejar kehendak dirinya sewaktu berada di atas puncak kuasa.


Teknik janaan imej komputer atau CGI yang diguna pakai di dalam filem Maraikkayar: Lion Of The Arabian Sea ini juga boleh dikatakan agak cantik dan membantu kami untuk lebih merasai detik-detik cemas terutamanya babak-babak yang melibatkan laut serta peperangan yang mengasyikkan. Memang tidak dinafikan aspek-aspek lain seperti props dan busana juga menyuntik elemen tambahan kepada kecemerlangan filem ini terutamanya dari sudut sinematografi yang boleh dikatakan indah dan mengkhayalkan.


Cuma kami merasakan kelemahan filem Maraikkayar: Lion Of The Arabian Sea ini adalah pada sudut penyampaian jalan ceritanya yang agak meleret terutamanya pada babak-babak perbualan yang kelihatan sedikit panjang pada bahagian pertama filem ini. Namun, alhamdulillah momentum tersebut di bahagian pertengahan filem sehingga penghujung yang membuatkan kami sentiasa teruja untuk menantikan pelbagai plot menarik yang cukup mengejutkan dan memberi nilai tambah kepada filem ini. Secara keseluruhan, filem ini berjaya menterjemahkan nilai-nilai keislaman di dalam cara berperang, perhubungan dan prinsip yang membuatkan tokoh Kunjali Marakkar IV ini sebagai salah satu wira yang wajar diangkat kisahnya kerana kehebatannya di dalam peperangan, ketaatan agama dan prinsip akhlak. Diharapkan suatu hari nanti negara kita Malaysia juga mampu mengeluarkan filem-filem patriotik sebegini dengan mengangkat kisah tokoh-tokoh sejarah kita yang juga hebat-hebat belaka sebagai salah satu cara menaikkan semangat patriotisme anak-anak muda kita. Amin!


Jadi, selamat menonton filem Maraikkayar: Lion Of The Arabian Sea bermula pada 2 Disember 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Menarik Berjudul Bachelor! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan