Siri Netflix:
Money Heist (La Casa De Papel)
Penilaian:
8/10
Penulis:
Alex Pina
Genre:
Jenayah, Drama & Thriller
Pelakon:
Alvaro Morte, Ursula Corbero, Itziar Ituno, Miguel Herran, Jaime Lorente, Esther Acebo, Najwa Nimri, Darko Peric, Pedro Alonso, Enrique Arce, Fernando Soto, Alba Flores, Rodrigo De la Serna, Hovik Keuchkerian, Belen Cuesta, Roberto Garcia & Etc.
Jumlah Episod:
Bahagian 1 - 9 Episod
Bahagian 2 - 6 Episod
Bahagian 3 - 8 Episod
Bahagian 4 - 8 Episod
Bahagian 5 - 10 Episod
Tarikh Tayangan:
2 Mei 2017 - 3 Disember 2021
Sinopsis:
Siri ini mengisahkan sekumpulan perompak yang diketuai oleh seorang lelaki yang digelar sebagai Profesor. Setiap ahli kumpulan ini diberi nama-nama bandar seperti Tokyo, Rio, Berlin, Oslo, Denver dan sebagainya untuk nama panggilan. Majoriti mereka merupakan golongan yang mempunyai rekod jenayah lampau dan memilih untuk menyertai kumpulan ini sebagai jalan pintas daripada menerima hukuman penjara serta cuba mendapatkan kehidupan yang baru. Bahagian pertama memaparkan cubaan mereka untuk menawan kilang percetakan wang The Royal Mint of Spain dengan menjadikan pekerja dan pelawat tempat tersebut sebagai tebus. Manakala bahagian kedua pula memaparkan cubaan mereka untuk merompak rizab emas negara Sepanyol di Bank of Spain. Pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi kumpulan ini untuk membolehkan mereka berjaya mencapai misi yang dirancang bertahun-tahun. Saksikan keseluruhan bahagian untuk mengetahui keseluruhan kisah yang menarik ini.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula baru sahaja selesai menonton bahagian akhir siri Money Heist yang mula ditayangkan di saluran Netflix bermula pada 3 Disember 2021 yang lepas. Siri yang mempunyai 5 bahagian dengan 2 kisah utama ini mula ditayangkan sejak bulan Mei 2017 dan menjadi fenomena di berpuluh-puluh buah negara termasuk Malaysia. Jadi, disini kami berkongsi ulasan kami secara ringkas dan merangkumi keseluruhan bahagian buat pembaca Rollo De Pelicula sekalian.
Keistimewaan dan kekuatan utama siri Money Heist ini sebenarnya datang dalam dua perkara. Pertama ialah permainan plot atau plot twist yang memang sukar dijangka tetapi ianya meyakinkan dan dilihat realistik. Kedua ialah lakonan yang cukup mantap daripada barisan pelakonnya yang mempunyai pelbagai karakter dan emosi yang berbeza tidak kira watak protagonis mahu pun antagonis. Sampai sekarang masih terngiang-ngiang di fikiran kami tentang watak Arturo Roman yang menjengkelkan. Hahaha! Jadi, hasil gabungan kedua-dua faktor ini yang membuatkan siri ini sering kali tampil berbeza di dalam setiap episod sehingga membuatkan kami sendiri teruja untuk menonton dari satu episod ke episod yang lain.
Siri Money Heist ini juga sebenarnya boleh dikatakan berjaya membawa satira berkaitan sistem sosial, kewangan serta politik di dalam masyarakat Sepanyol sendiri. Pasti ada yang pelik kenapa ramai yang meminati dan mengagungkan kisah perompak tetapi punca sebenarnya kepada hal ini boleh dilihat kepada subteks kisah ini yang sebenarnya cuba mengangkat perjuangan, kepercaya dan hak rakyat tetapi melalui kisah ini. Mesej ini tidak dinafikan berat tetapi ianya juga membuatkan siri ini penuh dengan drama, konflik dan kritikan sosial yang menarik.
Kami juga boleh menyatakan plot serta kronologi kisah Money Heist ini sebenarnya ditulis dengan begitu kemas, teliti dan hampir tiada lompong kosong di dalam penceritaannya. Setiap persoalan yang timbul pastikan akan diselesaikan dengan jawapan yang meyakinkan dan boleh diterima akal. Ditambah dengan elemen-elemen penuh aksi dengan kesan khas solekan yang meyakinkan maka tidak hairan kenapa siri ini menjadi kesukaan ramai.
Namun secara jujurnya kami berpendapat bahagian pertama Money Heist yang memaparkan kisah kumpulan perompak ini menawan The Royal Mint of Spain adalah lebih menarik berbanding bahagian kedua kumpulan ini menawan Bank of Spain. Kami melihat motif bahagian pertama siri ini adalah lebih jelas dan dekat dengan jiwa kerana ianya disampaikan dengan momentum yang sentiasa konsisten sama ada dari segi penerangan watak-watak mahu pun kelangsungan cerita. Kisah berlangsung dengan pantas diselangi dengan pelbagai konflik-konflik yang menarik serta memaparkan sisi-sisi manusia yang jujur di dalam kehidupan sekeliling. Penonton sentiasa dikejutkan dengan karakter watak-wataknya yang kerap berubah sambil disokong oleh kisah imbas kembali yang berkaitan dengan watak-watak ini. Ini menjadikan bahagian pertama Money Heist sememangnya kelihatan cukup unik dan mempunyai identiti sendiri.
Namun berbeza dengan bahagian kedua Money Heist ini yang pada kami bukannya tidak bagus tetapi ia kelihatan sedikit meleret dan motif perjuangan mereka seakan-akan kabur jika dibandingkan dengan bahagian pertama yang sangat meyakinkan. Ditambah dengan kemunculan banyak watak yang ada sebahagiannya tidak dapat menonjol dengan baik dan memberi kesan kepada penonton.
Namun, kami memuji keberanian pihak produksi serta penulis siri Money Heist ini yang berani mematikan watak-watak kesayangan ramai tetapi masih berjaya mengekalkan keunikan jalan cerita sehingga ke akhir. Secara keseluruhan, siri Money Heist ini sememangnya berbaloi untuk ditonton dan adalah lebih baik jika anda menontonnya di dalam bahasa asal untuk merasai sendiri kekuatan emosi dan kehebatan lakonan setiap wataknya yang begitu jujur.
Jadi, selamat menonton kesemua 5 bahagian siri Money Heist yang menjadi fenomena ramai di saluran Netflix. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap siri Money Heist ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Malayalam Berjudul Marakkar : Lion Of The Arabian Sea Lakonan Mohanlal! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!
0 Ulasan