Review Filem Jai Bhim

 

Filem:
Jai Bhim 

Penilaian:
10/10

Pengarah & Penulis:
T.J. Gnanavel

Genre:
Jenayah & Drama

Pelakon:
Suriya, Lijo Mol Jose, Manikandan, Rajisha Vijayan, Prakash Raj, Rao Ramesh & Etc.

Saluran Tontonan:
Amazon Prime Video & Astro First

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki daripada sebuah puak kasta bawahan yang ditangkap oleh polis kerana didakwa atas satu kes kecurian. Lelaki tersebut kemudiannya dikatakan melarikan diri tanpa dapat dikesan. Isteri kepada lelaki tersebut cuba mendapatkan haknya dengan meminta pertolongan kepada seorang peguam hak asasi manusai untuk membantu dirinya membawa kes ini ke muka pengadilan. Namun tanpa disangka ada pelbagai perkara yang menghalang usaha mereka untuk mendapatkan keadilan yang sepatutnya. Mampukah keadilan dicapai disebalik pelbagai penipuan yang dimanipulasi untuk memenangkan pihak tertuduh? Saksikan filem Jai Bhim ini untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Tamil yang sangat menarik berjudul Jai Bhim pada bulan November yang lepas. Kami mengetahui tentang filem ini daripada kumpulan peminat filem Tamil di Malaysia yang boleh dikatakan hampir 98 peratus yang menonton menyukai dan memuji filem ini sebagai sebuah filem tamil wajib tonton pada tahun 2021 ini. Selepas menonton, kami sendiri mengakui bahawa filem ini sememangnya luar biasa dan berada di dalam kategori wajib tonton untuk tahun ini.


Kebanyakan daripada kita yang gemar menonton filem Tamil sememangnya arif bahawa filem-filem berbahasa Tamil dari negara India ini sememangnya hebat apabila membawa tema berkaitan jenayah mahu pun politik sebagai fokus utama di dalam karya mereka. Walaupun sudah beratus atau mungkin beribu filem-filem bergenre seperti ini sudah ditayangkan di atas muka bumi ini namun filem Jai Bhim berjaya membawa penonton untuk melihat satu sudut pandang lain yang menyebabkan filem ini tampak lain dan unik daripada karya-karya lain.


Filem Jai Bhim dilihat berjaya mengangkat perbezaan kasta di dalam budaya kehidupan mereka. Sebagai rakyat Malaysia yang sememangnya hidup di dalam keadaan yang lebih adil dan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sesama kita, memang adakalanya filem ini membuka mata kita untuk melihat bagaimana perbezaan layanan yang diberikan mengikut peringkat kasta ini adalah karut dan kejam. Namun, inilah hakikat sebenar yang perlu dilalui oleh mereka yang lahir daripada keturunan kasta rendah yang dianggap sama tahap dengan najis dan dihilangkan keistimewaan mereka sebagai 'manusia'. Sejak awal filem ini bermula lagi, penonton akan mula kepanasan melihat bagaimana nasib insan-insan daripada puak kasta rendah ini ditentukan oleh barisan polis makan rasuah dengan tuduhan jenayah yang dilakukan dan semestinya tidak berasas. Ironinya, filem ini sememangnya mengangkat isu-isu tempatan sebenar yang berlaku di dalam negara India sendiri dan itu yang menyebabkan hal-hal kemanusiaan yang dipaparkan di dalam filem ini cepat meresap ke dalam perasaan kita yang menonton.


Keberanian filem Jai Bhim memaparkan kekejaman polis-polis yang tidak beretika juga merupakan salah satu hal yang perlu diberi perhatian oleh peminat filem-filem sebegini. Kali ini kami yakin anda pasti akan terkesan melihat babak-babak yang melibatkan tahanan di lokap diseksa oleh polis kerana ia seolah-olah seperti anda menyaksikan dokumentari sebenar penyeksaan tahanan oleh sebahagian polis India yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Elemen kemanusiaan sememangnya cukup kuat dimainkan di dalam filem ini. Bayangkan anda melihat bukan sekadar tahanan lelaki saja diseksa tetapi tahanan wanita juga tidak kurang teruknya diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh watak-watak polis di dalam filem ini. Kami yakin anda secara automatik pasti akan menyumpah kerana rasa geram yang memuncak dan inilah antara faktor yang membawa kepada keinginan anda untuk terus mengikuti kisah di dalam filem ini sehingga akhir bagi mengetahui jawapan sebenar kepada persoalan yang ditimbulkan.


Jalan cerita filem Jai Bhim diolah dengan cukup baik melalui kronologi yang disusun dengan cukup rapi. Permainan plot yang mengejutkan dan kreatif juga sentiasa membuatkan kami teruja apabila faktor ini bijak diadunkan di dalam penceritaan yang membuatkan tidak sesekali kami merasa bosan menonton filem ini. Lakonan bertaraf dunia yang berjaya menyampaikan kesakitan dan ketakutan watak-watak puak kasta rendah yang teraniaya dengan cukup berkesan. Kesan solekan khas berkaitan kecederaan akibat didera yang betul-betul realistik. Kami melihat Jai Bhim sebagai sebuah filem bergenre jenayah yang hampir sempurna daripada setiap sudut dan penuh dengan falsafah dan metafora yang membuatkan kita akan sentiasa berfikir dari sudut keadilan yang realistik. Sebuah filem yang menyayat hati dan penuh dengan inspirasi yang membuatkan manusia lebih cakna tentang erti sebenar keadilan dan kesaksamaan hak antara manusia tanpa mengira kasta.


Jadi, selamat menonton filem tamil terbaik bagi kami untuk tahun 2021 ini iaitu Jai Bhim di saluran berbayar yang sah. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Malayalam Berjudul Marakkar : Lion Of The Arabian Sea Lakonan Mohanlal! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan