Review Filem Bachelor

 

Filem:
Bachelor 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Sathish Selvakumar

Genre:
Romantik & Thriller

Pelakon:
G.V. Prakash Kumar, Divyabharathi & Etc.

Pengedar:
Lotus Five Star AV

Tarikh Tayangan:
2 Disember 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki yang jatuh cinta dengan seorang gadis dan memilih konsep bersekedudukan tanpa nikah seperti mana yang diamalkan oleh golongan moden di India. Mereka tinggal bersama dengan bahagia namun segalanya berubah apabila gadis tersebut hamil sepasang kembar dan membuatkan hubungan mereka mula bermasalah. Dia meminta kekasihnya untuk menggugurkan kandungan namun ianya ditolak oleh gadis tersebut. Perkara menjadi lebih rumit apabila hal ini dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan dan kemungkinan besar si lelaki bakal dipenjarakan. Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Disember 2021 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Lotus Five Star AV untuk menonton sebuah filem bergenre romantik thriller yang berdasarkan kisah benar yang berlaku di negara India berjudul Bachelor yang berlangsung di LFS State Cineplex PJ pada 5 Disember 2021 yang lepas. Kami melihat filem ini mengalami perubahan 360 darjah pada struktur penceritaannya yang membuatkan ianya agak mengujakan untuk ditonton sehingga ke akhir.



Menarik untuk melihat tentang karakter utama filem Bachelor ini iaitu watak lelaki yang sebenarnya agak misteri. Ia memerlukan penonton untuk betul-betul memahami kehendak sebenar watak ini kerana ianya dilontarkan melalui reaksi dan bukannya dialog. Jadi, watak ini akan membuatkan perasaan anda bercampur baur sama ada ingin menyokong atau pun menafikan kemahuan watak ini kepada hak yang dituntutnya. Melalui apa yang kami lihat dan rasai pula, watak si lelaki ini sebenarnya sangat sepi dan apabila dirinya berhijrah ke bandar besar menyebabkan dirinya mengalami kejutan budaya. Apa yang difikirkan semuanya hanya untuk bergembira sehingga pada akhirnya dia terjerat sendiri dengan masalah yang berpunca daripada dirinya yang melakukan hubungan seksual tanpa memakai perlindungan menyebabkan kekasihnya mengandung. Ironinya disini apabila melihat lelaki ini berubah menjadi 'raksasa' tanpa ada sekelumit rasa bersalah mahu pun takutkan dosa apabila meminta si kekasih menggugurkan kandungan kembar. Bahagian pertengahan ini yang sebenarnya sangat mengujakan kami kerana ia berjaya mengubah pandangan kami terhadap kedua-dua watak utama ini yang mula berubah seratus peratus daripada segi prinsip dan kepercayaan masing-masing.


Memang terdapat pelbagai usaha terdesak yang dilakukan oleh watak lelaki mahu pun si gadis untuk memastikan diri masing-masing memperoleh hak yang mereka inginkan disamping bebas daripada tuduhan yang mencemarkan nama serta keluarga masing-masing. Tetapi, disini kami cukup suka melihat bagaimana usaha-usaha yang dilakukan lelaki ini untuk cuba menafikan kebenaran dengan sanggup membuat keputusan yang cukup memeritkan semata-mata terlalu mementingkan nama keluarga tetapi melupai bahawa kekasihnya juga mempunyai keluarga yang perlu dijaga imej nya. Senang cakap isu-isu kemanusiaan dan kekeluargaan yang diletakkan di dalam filem ini sememangnya realistik dan sebenarnya mampu membuka mata ramai bahawa apa-apa yang dibuat perlu ditanggung bersama dan keperluan bertoleransi serta menerima ketentuan yang telah ditetapkan disebabkan perbuatan sendiri. Sebenarnya filem ini sangat bagus daripada sudut mesej nya kerana ia memberikan kritikan sosial kepada pasangan anak muda tentang cabaran sebenar saat masing-masing perlu bertanggungjawab dan memberi komitmen kepada hubungan terlarang seperti ini yang mana ianya bukan memberi kesan kepada diri semata-mata tetapi turut menjejaskan hubungan dan nama baik keluarga di mata orang luar. Sebuah filem yang menarik untuk ditonton kerana ianya mempunyai jiwa dan realistik dengan kehidupan kini.


Jadi, selamat menonton filem Bachelor bermula pada 2 Disember 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Yang Dinanti Ramai Berjudul Prebet Sapu! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan