Review Filem Prebet Sapu

 

Filem:
Prebet Sapu 

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Muzzamer Rahman

Genre:
Drama

Pelakon:
Amerul Affendi, Lim Mei Fen, Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, 
Roslan Maadun, Chew Kim Wah, Megat Shahrizal, Jay Iswazir, Anas Ridzuan & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
16 Disember 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang Aman yang menganggur selepas kematian bapanya telah kembali ke Kuala Lumpur dan memulakan perkhidmatan e-hailing haram. Selepas dihalau keluar dari bilik sewa, Aman kemudian berjumpa dengan Bella yang menawarkannya tempat tinggal. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 16 Disember 2021 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Horizon Film Entertainment untuk menonton sebuah filem tempatan yang dicalonkan FINAS untuk mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi atau OSCARS 2022 untuk kategori Best International Feature iaitu Prebet Sapu yang berlangsung dengan cukup meriahnya di TGV Cinemas One Utama pada 8 Disember 2021 yang lepas. 

Untuk makluman semua, filem Prebet Sapu atau tajuk Inggerisnya Hail,Driver! telah ditayangkan di beberapa buah festival filem seperti 15th Jogja-Netpac Asian Film Festival Indonesia, Far East Film Festival Udine Italy 2021, Asian Film Festival 2021 Barcelona, 25th Toronto Reel Asian Internationa Film Festival Canada dan 4th Innovative International Film Festival, Bangalore. Filem hitam putih ini juga menjadi filem Malaysia yang pertama ditayangkan di Smithsonian's Museum yang merupakan sebuah muzium berprestij di Amerika Syarikat.


Filem Prebet Sapu ini boleh dikatakan mengubati kekecewaan ramai peminat filem tempatan khususnya penonton filem Melayu susulan lambakan banyak filem Melayu sama ada di pawagam mahu pun siaran saluran berbayar yang mengecewakan sama ada dari penceritaan, teknikal mahu pun poster filem. Filem ini pada kami mempunyai jiwa yang cukup besar dan sememangnya layak diangkat sebagai filem terbaik Malaysia untuk tahun 2021. Filem ini juga sangat berani keluar daripada kepompong selesa filem Melayu yang telah terpasak sejak zaman berzaman dengan mengangkat isu-isu berat yang sangat ditakuti oleh ramai pemain industri untuk disuarakan. Suara-suara ini sebenarnya merupakan suara-suara kita semua! Suara rakyat marhaen yang tidak didengar oleh mereka yang berada di atas sana! Filem ini sebenarnya mewakili suara rakyat Malaysia dan pada masa yang sama juga berjaya memantulkan semula suara itu tepat kepada kita untuk kita renungkan semula adakah selama ini kita berada di jalan yang benar ataupun sebaliknya.


Kenapa kami menyatakan demikian? Jika anda menonton filem Prebet Sapu ini nanti, anda melihat suara ramai manusia yang terpilih untuk dipahatkan di dalam penceritaan filem ini. Suara setiap individu ini pula datangnya daripada pelbagai lapisan umur, taraf kehidupan serta suara daripada orang luar iaitu dari Indonesia tentang pandangan mereka terhadap Malaysia khususnya dari sudut taraf ekonomi dan kemodenan bandar. Jadi, menariknya disini ialah luahan rakyat tempatan sangat bertentangan dengan orang luar. Rakyat tempatan mengeluh kesah tentang nasib mereka yang terhimpit dengan desakan ekonomi dan lonjakan harga barang. Manakala rakyat luar pula yang datang bekerja di Malaysia memandang negara ini sebagai kawasan emas dan berkat buat mereka. Lebih menarik ialah kritikan sinis yang sambil lalu berkaitan tangga gaji yang cukup berbeza antara orang tempatan dan warga asing yang sebenarnya menempelak orang-orang atasan tentang bagaimana layanan mereka kepada anak watan sendiri.


Kami juga sangat tertarik dengan isu-isu malar segar yang dibawa di dalam filem Prebet Sapu dimana isu-isu ini semakin menghantui rakyat Malaysia terutama berkaitan pemilikan rumah, nilai sewaan rumah serta keadaan rumah melambangkan taraf ekonomi dan sikap penduduk tersebut. Perkara ini sememangnya dibangkit pada awal-awal filem lagi yang kami rasa sangat dekat dengan situasi kami sendiri dan penyampaian ini sememangnya cukup memuaskan kami. Ia bagaikan suara kami telah dikongsi serta didengari oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk pihak berwajib dan ini sangat memuaskan hati. Selain itu, kami juga cukup suka untuk melihat subteks berkaitan rumah flat yang persekitarannya sungguh kotor dimana ia memberi satu kritikan sosial kepada mereka yang tidak berada bahawa jika anda tidak kaya sekali pun, ianya bukan tiket untuk anda menjadi malas dan pengotor. Hal ini memang terjadi di Malaysia dan ia ibarat sinonim dengan sikap penduduk tempatan sendiri. Ianya menjadi lebih menarik apabila terdapat satu babak yang memaparkan Aman membersihkan setiap sudut rumah Bella yang secara tidak langsung berjaya menyindir mereka yang bersikap begini agar berubah dan tinggalkan budaya lama.


Isu tentang kaum dan perhubungan antara kaum lain di Malaysia juga berjaya dibawakan dengan cukup menarik dan agak berani di dalam filem Prebet Sapu ini. Frasa dialog seperti "Melayu Tolong Melayu", "Aku Benci Orang Melayu", "Melayu Dan Cina Tak Boleh Kawan Ker?" dan "Melayu Halau Cina Balik Tongsan" sememangnya merupakan satu ungkapan yang biasa di dengar di luar tetapi mungkin kali pertama di dengar dan boleh dilihat secara visual di pawagam. Kami melihat ini sebagai pembuka jalan untuk rakyat Malaysia sama-sama mencari jalan positif untuk masing-masing lebih memahami, bertoleransi dan mempunyai sefahaman yang lebih baik untuk menjadikan Malaysia bebas daripada perkara rasis. Jadi, kami sangat menghargai keberanian filem ini yang berani menyuarakan suara-suara hati rakyat Malaysia yang ini kepada umum. Tetapi, terdapat satu adegan di dalam filem ini yang berkaitan dengan sudut ini menampilkan sisi humor yang berjaya menggeletek hati kami iaitu tentang 'perpaduan' orang Melayu dan Cina di dalam kedai nombor ekor. Ini adalah satu adegan kreatif berserampang dua mata yang cukup mengagumkan.


Selain itu, filem Prebet Sapu juga berjaya menunjukkan tentang syarikat-syarikat kapitalis yang menekan pekerja anak tempatan yang sememangnya diketahui ramai tetapi tiada sebarang tindakan. Erti kemiskinan bandar juga berjaya diterjamahkan melalui adegan sebenar warga-warga kota yang diterjemah kepada bentuk visual di dalam penceritaan watak Aman ini dengan cukup baik. Secara simboliknya, orang luar meyukai negara kita kerana melihat keindahan dan kemajuan kotanya tetapi orang tempatan lebih mengenali negara sendiri kerana melihat di sebalik tabirnya. Ada banyak lagi perkara yang menarik dibicarakan di dalam filem ini secara santai dan ringkas tetapi adalah lebih baik untuk anda tonton sendiri di pawagam untuk menikmatinya secara keseluruhan.


Cuma kami melihat satu kekurangan yang ada di dalam filem Prebet Sapu ini ialah berkaitan kehidupan dan kesukaran Aman sebagai seorang prebet sapu kurang menonjol dan terus termati di pertengahan jalan gara-gara ditenggelami kisah teman tapi mesranya dengan Bella. Namun, secara keseluruhan filem ini sangat berkualiti, bersifat sinematik yang mengagumkan, lakonan yang mantap, permainan subteks yang kreatif pada setiap babak dan membawa definisi hitam putih mewakili pandangan watak utamanya iaitu Aman. Sebuah filem tempatan yang harus disokong oleh kita semua rakyat Malaysia kerana filem ini sangat berani membawakan suara keluh-kesah kita bukan sahaja untuk didengar oleh keseluruhan rakyat Maaysia bahkan satu dunia. Kami dengan ini menyatakan rasa bangga kerana filem Prebet Sapu menjadi wakil Malaysia untuk Anugerah OSCAR. Satu pilihan yang tepat! Tahniah buat semua pelakon dan krew produksi filem ini kerana berjaya menghasilkan sebuah filem yang cukup bermakna.


Jadi, selamat menonton filem Prebet Sapu bermula pada 16 Disember 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Filem ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan