Filem:
Istanbul Aku Datang
Pengarah:
Bernard Chauly
Genre:
Komedi & Cinta
Pelakon:
Lisa Surihani, Beto Kusyairi, Tomok, Mert Yavuzcan,
Aizat Amdan, Farid Ramlee, Berke Sanli & Etc.
Aizat Amdan, Farid Ramlee, Berke Sanli & Etc.
Penilaian:
10 / 10
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang gadis yang periang dan manja bernama Dian yang pergi ke Istanbul dan merancang untuk berkahwin dengan teman lelakinya iaitu Azad. Masalah yang perlu dihadapinya ialah Azad sedang mengikuti kursus perubatan di sana dan dia perlu menunggu 6 tahun iaitu tempoh Azad habis belajar. Namun, ketibaan Dian tidak disambut gembira oleh Azad dengan alasan Dian menganggunya fokus dalam pelajaran. Azad juga tidak selesa kerana Dian tinggal di rumah sewanya yang turut dihuni oleh dua orang kawan Azad. Jadi, Dian terpaksa mencari rumah sewa namun tanpa sedar dia ditipu oleh Cihan yang menyamar sebagai tuan rumah tersebut. Rupa-rupanya rumah tersebut telah pun disewa oleh seorang lelaki bernama Harris. Harris yang tidak berpuas hati dengan alasan Dian yang memberitahu dia ditipu oleh Cihan cuba berjumpa dengan tuan rumah tetapi malangnya tuan rumah tersebut pergi bercuti. Perang dingin mula berlaku antara Dian dan Harris. Dian juga perlu merahsiakan kepada Azad tentang jantina teman serumahnya. Pada suatu hari, Azad pergi ke rumah sewa Dian secara tiba-tiba dan Dian yang mendapat tahu tentang hal ini mula gelabah. Dian cuba meminta tolong kepada Harris namun mahukah Harris membantu Dian dalam hal ini? Adakah Dian akan kembali ke Kuala Lumpur dengan cincin perkahwinan daripada Azad? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda.
Ulasan Hans:
Sebenarnya aku ingatkan filem ini akan ditayangkan pada 15 November ini tetapi apabila aku secara tidak sengaja menonton Melodi pada Ahad lepas dan baru aku dapat tahu bahawa filem ini telah pun ditayangkan bermula 8 November yang lepas. Kesibukan bekerja membuatkan aku lupa segalanya tentang tarikh tayangan filem. Hahaha! Baiklah! Sebelum aku memulakan ulasan amatur aku untuk filem ini, aku dengan sukacitanya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelakon dan krew produksi kerana memberikan sebuah nashkah yang cukup menghiburkan dan aku amat nantikan daripada produksi tempatan sendiri. Tetapi, aku merasakan Rafidah Abdullah sebagai penulis skrip filem ini yang sebenarnya menjadi kekuatan dalam mencorakan perjalanan filem ini menjadi cukup segar, indah dan ada jiwa. Tahniah!
Jika sesiapa yang selalu mengikuti blog ini dari awal pasti akan menyedari jika filem yang bergenre komedi romantik pastinya aku selalu menyebut tentang kehebatan filem-filem Thailand dan langsung tidak mengagumi filem-filem tempatan bergenre sama. Contohnya seperti filem Cuti-Cuti Cinta dan banyak lagi yang bagi aku cuma biasa sahaja. Namun filem Istanbul Aku Datang memberikan sesuatu yang cukup menarik dengan plot kisahnya yang kadang-kadang sukar diduga.
Lisa Surihani yang memegang watak sebagai Dian pergi ke Istanbul semata-mata untuk menemui kekasih hatinya Azad(lakonan Tomok) dan niat sebenarnya pergi kesana adalah untuk memastikan Azad melamarnya sewaktu 3 bulan dia kesana. Watak Dian tampak berdikari, periang, nakal dan walaupun watak ini takutkan kucing namun Lisa Surihani tampil hebat dengan watak Dian berbanding filem-filem lakonannya sebelum ini. Filem ini menjadikan Lisa Surihani nampak lebih matang sebagai anak seni. Walaupun pelat R Lisa menjadi bahan ketawa atau sindiran penonton tetapi aku rasa itulah keistimewaan Lisa. Menjadikan blog sebagai salah satu intipati di dalam filem ini sememangnya menarik, lucu dan menggambarkan dunia blog yang sebenar. Betapa terujanya si Dian mengemas kini laman blognya setiap masa dan bagaimana komen-komen dari pembaca blognya diberi nyawa melalui nada-nada suara yang setiap satu ada maksudnya tersendiri : sama ada menyokong, menyindir, sarkastik dan sebagainya. Satu yang menarik dan menghiburkan.
Beto Kusyairi sememangnya tidak pernah mengecewakan dan kali ini muncul dengan satu dimensi yang berbeza. Lakonannya cukup cemerlang dengan pelbagai gerak-gerinya yang adakala menunjukkan seperti watak Harris itu merupakan seorang lelaki yang bendul dan adakalanya sangat memahami dan kadang-kadang nampak terlalu pasif. Sangat menarik kerana Beto berjaya menghidupkan watak Harris dengan cukup cemerlang dan apabila watak Harris ini bertemu dengan watak Dian sememangnya aku sentiasa tersenyum melihat keletah mereka berdua.
Aku sukakan bagaimana wanita Malaysia di dalam filem ini digambarkan dan bagaimana keputusan akhirnya yang diambilnya sangat mencabar. Sedikit spoiler, tujuan asal Dian pergi ke Istanbul adalah bertujuan untuk membuatkan Azad melamarnya sebagai isteri dan permulaan babak menunjukkan mimpi Dian tentang keindahan masjid Aya Sofea dimana dia bermimpi itulah tempat dia akan berkahwin dengan Azad. Mimpi yang terlalu gembira selalunya berlawanan maksudnya dengan apa yang bakal terjadi dan inilah menariknya apabila Dian sebenarnya tertipu dengan Azad dan pada waktu yang sama mengenali Harris secara tak sengaja akibat ditipu oleh seorang lelaki Turki bernama Cihan. Plot ceritanya memang disusun sempurna.
Azad lelaki yang telah dikenali Dian berbelas tahun manakala Harris hanyalah lelaki yang baru dikenali Dian tidak sampai dua minggu. Azad telah mengkhianati cinta Dian walaupun pada permulaannya Azad digambarkan seperti seorang lelaki yang setia dan menghamburkan kata-kata kesat kepada Dian seperti 'Rewang' dan 'Jalang' tetapi akhirnya kata-kata itu berbalik sendiri kepada Azad. Harris pula walaupun pada permulaannya digambarkan langsung tidak sefahaman dengan Dian, kerap bergaduh dan tidak bertolak ansur namun sebenarnya dia ialah seorang lelaki yang amat menghormati wanita. Dian kecewa dengan kecurangan Azad manakala Harris pula mula menyukai Dian. Layanan dan kata-kata semangatnya membuatkan Dian terubat dan perasaan cinta mulai tumbuh walaupun tidak jelas. Tetapi, apa yang menariknya disini apabila babak Azad cuba memujuk Dian dengan meminta maaf, mengaku kesalahannya, bercerita tentang apa sebenarnya yang berlaku dan klimaksnya apabila Azad melamar Dian. Aku sangat sukakan babak ini kerana memang tujuan asal Dian ialah mahu Azad melamarnya. Setiap hari mengemas kini laman blog bercerita tentang rancangannya untuk menawan hati Azad. Akhirnya peluang yang ditunggu ada di depan mata dan Azad juga telah memberikan alasan dan permintaan yang mungkin boleh diterima akal.
Harris pun walaupun baru mengenali Dian baru beberapa hari dan mula menjadi kawan dalam masa cuma sehari tetapi sebenarnya dapat juga memahami siapa gadis bernama Dian dan juga ada hak untuk memperoleh cinta Dian. Babak Harris menahan kereta seorang pemandu tempatan Turki sewaktu Dian mahu berangkat pulang ke Kuala Lumpur bersama Azad sebenarnya adalah babak spontan tetapi sangat menarik dan menghiburkan aku. Pilihan yang bakal dibuat oleh Dian inilah sebenarnya yang sangat menarik untuk diketahui kerana Dian mewakili wanita Malaysia yang bijak, berdikari dan berani tetapi adakah sifat-sifatnya itu ada di dalam dunia percintaannya? Adakah dia akan memilih Azad yang dikenali dan dicintainya bertahun-tahun? Walaupun Azad curang dengannya namun Azad mengakui kesilapannya, meminta maaf, meminta peluang kedua dan juga cuba menunaikan impian Dian sendiri yang ingin Azad melamarnya. Atau adakah Dian akan memilih Harris? Walaupun Harris kelihatan baik tetapi Dian baru sahaja mengenalinya. Risiko memilih Harris ialah Dian masih belum mengenali secara mendalam siapa sebenarnya Harris dan mungkin Dian akan kecewa kali kedua jika memilih Harris sebagai teman hidupnya. Saksikan filem ini untuk mengetahui jawapannya.
Nilai komedinya sangat tinggi dan Maggi Asam Laksa sememangnya satu objek yang menggeletek jiwa penonton filem Istanbul Aku Datang ini. Suara latar Rafidah Aziz, Fazura dan seorang lagi yang aku lupa namanya mewakili pengomen blog Dian membangkitkan suasana filem. Warna-warni filem ini juga membuatkan filem ini ceria. Sinematografi dan latar tempatnya cukup menarik ditambah budaya serta nilai-nilai masyarakat Turki yang digambarkan disini membuatkan aku ingin sangat ke Istanbul sekarang walaupun wang macam tak cukup(memang tak cukup!). Susunan plot, konflik yang dicipta dan klimaksnya juga berkembang dengan baik dan menarik. Lakonan yang cukup hebat daripada pelakonnya walaupun ada sesetengah pelakon pembantu yang sedikit kaku dalam menyampaikan dialog(mungkin ini lakonan pertama mereka!). Sebuah filem komedi romantik tempatan yang bagi aku cukup rencah rasanya dan berjaya membuatkan aku memberi tabik kepada Bernard Chauly dan Rafidah Abdullah atas kejayaan filem ini. Teruskan kombinasi kalian dalam filem-filem seterusnya. Aku menanti! Tahniah :)
Sumber Gambar : Facebook Istanbul Aku Datang
P/S : Akan Cuba Menonton Lagenda Budak Setan 2 : Katerina Minggu Ini (^_^)Y
12 Ulasan
semua orang dah tgk..aku jer belum lg..huhuhu
BalasPadammcm best je! nk tgk gk la :)
BalasPadamblm tgk lg. more or less sy blh gmbrkan the whole film dari review yg awak buat :)
BalasPadammacam best je pengulas ni mengulas
BalasPadamjadi teringin plak nak tengok
best.. akk tgk dgn suami smbil jaga anak2... sian hubby x dpt tgk betul2 :p sbb bagi can akk tgK... sebelum ni Skyfall akk jaga bby, tp dpt tgk gak
BalasPadamHmmm. Sume orang suke citer ni. Tahniah la jugak. Tapi kecewa kadang2 dgn mesej yg mungkin tak secara tak sedar disampaikan. Pada saya movie ni seperti mberi lampu hijau pada lelaki dan perempuan tinggal sekali. Saya faham, mungkin di luar negara perkara ni ade org kita yg buat. Tapi perlu ke kite nak promote and bagi budak kat sini buat pulak. Cerita Melayu sekarang, banyak yang dah diliberalkan. Takde scene direct kissing, tapi kite tahu dia buat (teringat scene keluar lif dlm filem susuk. Haha). Saya pon bukan baik mane, tapi saye tanak la promote perkara2 tak elok yg sy buat supaya org
BalasPadamlain fikir,'oh.. die boleh. aku pon boleh!'. Sekadar mengomel..
tanpa nama : bagi saya...saya tak nampak pula dia cuba mempromosi kepada muda mudi supaya tinggal bersama kerana bagi saya plot2 di dalam cerita nih dibina dgn baik dan ada logiknya...fikir yg positif..buang yg negatif :-D
BalasPadamHmmm. Mungkin die bergantung pada yang menerima dan mentafsir. Tapi saya tetap fikir yg pengarah sepatutnya lebih peka. Ha, lupe. Love this blog, review nya unbiased. ^^
BalasPadamcerita ni saya puji mmng filem romantik best ...
BalasPadamtpy dlam best2 rasa kesal pun ada bila dialog tomok yg xmahu dipeluk oleh lisa dan mengatakan xboleh peluk dan mengatakan berpeluk di KL xpe , tpy kitakan di istanbul negara islam pula tu ... KL bkan negara islam ke? hmmm jgn la ckp camtuuu T_T
Btl3 kit a in negara Islam juga... by the way suka to ton citer ni... dpt memahami keinginan Lisa... best.....
BalasPadamsuka cita ni.. tak pernah boring layan. lagi satu cerita melayu yg saya suka is.. Manisnya Cinta Di Cappodocia. Pengarah yg sama kalau tak silap..kan
BalasPadamyups
Padambernard Chauly