Review Filem Spider-Man: No Way Home

 

Filem:
Spider-Man: No Way Home 

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Jon Watts

Genre:
Aksi, Pengembaraan, Sains Fiksyen & Adiwira

Pelakon:
Tom Holland, Zendaya, Jacob Batalon, Benedict Cumberbatch, Jon Favreau, Marisa Tomei & Etc.

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan:
16 Disember 2021

Sinopsis:
Filem ini adalah kesinambungan daripada filem Spider-Man: Homecoming (2017) dan Spider-Man: Far from Home (2019) yang mengisahkan Peter Parker telah meminta bantuan daripada Doctor Strange untuk membatalkan kekacauan yang berlaku selepas identitinya sebagai Spider-Man telah terbongkar. Ini telah menyebabkan ruang multiverse terbuka sehingga melepaskan kembali senarai penjahat yang pernah menjadi musuh utama Spider-Man sebelum ini seperti Doctor Ock, Electro, Sandman, Green Goblin dan Lizard. Mampukah Spider-Man kembali memperbetulkan kesilapan ini? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 16 Disember 2021 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Sony Pictures Entertainment Malaysia untuk menonton sebuah filem yang paling dinanti ramai pada bulan Disember 2021 ini iaitu Spider-Man: No Way Home yang berlangsung dengan cukup meriah di GSC The Starling Mall pada 14 Disember 2021 yang lepas. 


Secara jujurnya, filem Spider-Man: No Way Home ini adalah sebuah filem adiwira paling terbaik, penuh kejutan dan sangat menghiburkan yang kami pernah tonton setakat ini. Filem ini berjaya berada di carta paling teratas di dalam senarai filem bergenre superhero yang kami pernah tonton selama ini. Lebih menarik apabila keterujaan dan kegembiraan menonton filem ini adalah lebih tinggi berbanding sewaktu kami menonton filem Endgame pada tahun-tahun sebelum ini. Daripada awal, pertengahan sehingga ke penghujung filem memang tidak nafikan filem ini mempunyai magis yang tersendiri sehingga kami merasakan kisahnya terlalu cepat berakhir walaupun hakikat sebenar durasi filem ini adalah sekitar 2 jam 30 minit. Ini membuktikan filem ini mempunyai sesuatu yang cukup luar biasa untuk dipertaruhkan buat khalayak yang mengikuti filem-filem Spider-Man terdahulu mahu pun adiwira daripada filem Marvel yang lain. Kekuatan filem ini sebenarnya datang daripada susunan kronologi cerita yang berjaya disatukan dengan baik dan boleh dipercayai untuk mengetepikan unsur karut yang boleh mencacatkan keseluruhan filem. Semua persoalan yang ditimbulkan mempunyai jawapan balas yang baik. Inilah faktor utama yang membuatkan filem ini mampu berdiri kuat dengan sendirinya tanpa terlalu mengharapkan kepada watak Spider-Man semata-mata.


Untuk makluman semua, filem Spider-Man: No Way Home ini boleh kami nyatakan sebagai sebuah naskah yang menggabungkan elemen moden dan nostalgia di dalam semua filem-filem Spider-Man terdahulu. Jadi, filem ini bagaikan sebuah masterpiece yang cukup mengagumkan dan di luar jangkaan dimana ia memaparkan bagaimana watak Spider-Man seolah-olah diberi peluang kedua untuk memperbetulkan kembali kesilapan-kesilapan silam yang pernah berlaku atau dilakukan di dalam kisah-kisah terdahulu. Plot cerita filem ini sangat menarik dengan momentum penceritaannya yang sentiasa berada di puncak klimaks tanpa sedikit pun merudum. Betul-betul memuaskan hati. Serius! 


Kami melihat intipati filem Spider-Man: No Way Home ini juga sangat menarik kerana ia sebenarnya menterjemahkan nilai kemanusiaan yang sangat ikhlas daripada watak utama kisah adiwira ini iaitu Peter Parker. Disebabkan visualnya yang kelihatan begitu semula jadi membuatkan kami sebagai penonton merasa sangat dekat dengan apa yang dirasai Peter kerana ianya boleh dihubungkan secara langsung dengan kehidupan kita sendiri. Filem ini memang penuh dengan pertemuan tidak dijangka yang membawa satu bentuk simbolik yang berharga dan sangat melucukan. Tetapi, pada masa yang sama,  bahagian perpisahan atau imbas kembali turut sama berjaya memberi kesan emosi yang bakal meruntun air mata dan membuai-buai rasa hiba anda nanti. Disokong pula dengan dialog komedi yang tampak spontan sememangnya menjadi perencah rasa kepada hampir sebahagian besar filem ini membuatkan ianya sangat berbaloi untuk ditonton di pawagam yang menawarkan sistem bunyi khas yang padu. 


Kami tidak ingin berkongsi 'spoiler' fillem Spider-Man: No Way Home ini dengan para pembaca untuk memastikan keterujaan anda sentiasa ada sewaktu menonton filem ini nanti. Cuma apa yang ingin kami tegaskan, filem ini telah berjaya mengangkat watak protagonis dan antagonis dengan peratusan kesan impak paling terbaik buat keseluruhan penonton yang sangat teruja menyaksikan filem ini bersama kami. Aksi pertarungan yang mendebarkan dan kejayaan untuk meminimumkan adegan-adegan klise sememangnya memberi satu lagi nilai tambah untuk filem ini diangkat sebagai filem Spider-Man paling terbaik buat masa ini. 


Jadi, selamat menonton filem Spider-Man: No Way Home bermula pada 16 Disember 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Filem The Matrix: Resurrections! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan