Review Filem The Matrix: Resurrections


Filem:
The Matrix: Resurrections 

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Lana Wachowski

Genre:
Aksi & Fiksyen Sains

Pelakon:
Keanu Reeves, Carrie-Anne Moss, Yahya Abdul-Mateen II, Neil Patrick Harris,
Priyanka Chopra, Jessica Henwick, Jonathan Groff, Brian J. Smith, Jada Pinkett-Smith & Etc.

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan:
22 Disember 2021

Sinopsis:
Filem keempat daripada francais The Matrix ini mengisahkan Morpheus di waktu yang masih muda datang mencari Neo dan Trinity untuk menyelesaikan kekacauan yang berlaku. Namun Neo dan Trinity seolah-olah tidak mengenali antara satu sama lain. Kini Neo berada di sebuah dunia simulasi dan perlu membantu menyelesaikan masalah yang berlaku sebelum ianya menjadi lebih rumit. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 Disember 2021 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Warner Bros. Malaysia untuk menonton sebuah filem yang juga dinanti ramai pada bulan Disember 2021 ini iaitu The Matrix: Resurrections yang berlangsung dengan cukup meriah di TGV 1 Utama IMAX pada 21 Disember 2021 yang lepas. 


Selepas 18 tahun maka terhasil sebuah filem The Matrix: Resurrections yang kembali membawa penonton untuk melihat apakah kisah seterusnya yang berhubung kait dengan hubungan antara Neo dan Trinity selain persoalan berkaitan manusia dan internet itu sendiri. Cuma antara perkara yang jelas dapat dilihat di dalam filem ini ialah pengarah mengambil keputusan untuk menyindir sendiri filem-filem francais The Matrix yang terdahulu dalam gaya bahasa yang kelakar. Kami boleh katakan ini merupakan satu-satunya filem The Matrix yang mempunyai adegan humor yang agak banyak berbanding filem lain.


Kami mencadangkan kepada semua penonton untuk menonton kembali keempat-empat filemnya yang terdahulu agar penceritaan dan watak-wataknya mampu difahami dengan baik sebelum anda menonton filem The Matrix: Resurrections ini. Kami berandaian kemungkinan besar disebabkan masalah Covid-19 membuatkan babak-babak aksi dikurangkan dan babak-babak yang penuh dengan dialog dan perbincangan berat berkaitan falsafah dan kemanusiaan disumbat di dalam sepanjang filem menyebabkan filem ini kelihatan agak membosankan terutama buat penonton yang kali pertama menonton filem Matrix ini. 


Aksi-aksi di dalam filem The Matrix: Resurrections ini boleh dikatakan kurang memberi impak berbanding filem-filemnya yang terdahulu. Dapat dilihat kebanyakkan adegan aksinya dipaparkan dalam pertarungan jarak dekat dan pengulangan kehebatan Neo yang mampu menangkis serangan peluru yang diulang di dalam banyak adegan adakalanya kelihatan membosankan. Ditambah pula dengan kehadiran ramai pelakon baru yang memainkan peranan watak-watak ikonik di dalam filem ini semestinya membuatkan perbandingan berlaku tidak dapat dielakkan kerana filem The Matrix ialah filem yang pernah menjadi sebutan dan kegilaan ramai pada belasan tahun yang lepas.


Namun, satu perkara yang menarik tentang filem The Matrix: Resurrections ini ialah penonton akan lebih mudah memahami perkara berkaitan dengan internet dan teknologi perisian, bot, robot dan sebagainya berbanding filem-filem terdahulu yang sememangnya memberi masa untuk penonton memikir dan menghadam hal-hal berkaitan teknologi ini. Filem ini masih mampu menghiburkan tetapi ianya masih tidak mampu menyaingin kehebatan dua filem terawal The Matrix pada pandangan kami. Mungkin anda akan menyukai filem ini atau sebaliknya.


Jadi, selamat menonton filem The Matrix: Resurrections bermula pada 22 Disember 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Animasi Yang Cukup Menarik Iaitu Sing 2! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!


Catat Ulasan

0 Ulasan