Review Filem G Storm

 

Filem:
G Storm 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
David Lam

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Louis Koo, Julian Cheung, Kevin Cheng, Jessica Hsuan, 
Bosco Wong, Rosyam Nor, Michael Tse & Etc.

Pengedar:
Lotus Five Star

Tarikh Tayangan:
31 Disember 2021

Sinopsis:
Filem francais kepolisan paling popular di Hong Kong ini tampil dengan filem kelimanya yang mengisahkan seorang lelaki bernama William Luk Che Lim yang merupakan Ketua Penyiasat dalam unit ICAC (Independent Commission Againts Corruption). Kali ini Luk perlu menyelesaikan jenayah yang berkaitan dengan pemerdagangan manusia yang didalangi oleh orang Cina dari Asia Tenggara. Luk juga perlu berhadapan dengan King yang merupakan pengganas yang cukup berbahaya dan sanggup melakukan apa sahaja demi wang. Saksikan filem aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 31 Disember 2021 untuk mengetahui jawapannya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Lotus Five Star untuk menonton sebuah filem aksi iaitu G Storm yang berlangsung di MBO Cinemas Atria Shopping Gallery pada 28 Disember 2021 yang lepas. Untuk makluman semua, filem G Storm ini merupakan filem kelima francais Storm bermula dengan Z Storm (2014), S Storm (2016), L Storm (2018) dan P Storm (2019). Filem kelima ini juga menjalani penggambaran sewaktu Malaysia sedang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas.


Filem G Storm kali ini seperti biasa tidak dapat lari daripada menampilkan pelbagai jenis aksi yang semestinya membuatkan peminat francais filem Storm ini berasa puas hati. Terdapat juga adegan-adegan yang berulang seperti kemunculan pengebom berani mati yang adakalanya membuatkan kami sudah boleh menjangkakan apa yang bakal berlaku. Namun, secara keseluruhan kami sangat terhibur dengan aksi-aksi yang dipaparkan di dalam filem kali ini. 


Apa yang membuatkan kami teruja menonton filem G Storm kali ini adalah disebabkan kemunculan Hero Malaya iaitu Rosyam Nor. Jika sebelum ini, pelakon hebat ini muncul di dalam filem antarabangsa dari India berjudul Kabali dengan watak antagonis. Sekali lagi Rosyam Nor kembali beraksi dengan watak antagonis yang digelar sebagai King di dalam filem aksi dari Hong Kong ini. Secara jujurnya, kami melihat lakonan Rosyam Nor di dalam filem ini sebenarnya sangat menarik dan mempunyai sisi-sisi kejam yang berjaya dipamerkan dengan baik. Cuma kami merasa agak kecewa kerana kemunculannya pada bahagian akhir boleh dikatakan agak terbatas. Mungkin disebabkan masalah penggambaran yang dilakukan pada waktu PKP menyebabkan hal ini terjadi. Tiada masalah dari segi lakonan mahu pun penghayatan Rosyam Nor untuk watak King ini cuma jumlah masa yang diberikan kepada watak ini pada kami agak sedikit.


Filem G Storm kali ini juga banyak menampilkan kaitan antara satu watak dengan watak yang lain melalui elemen kekeluargaan. Setiap perkara yang berlaku semestinya akan ada hubung kait antara watak A dan watak B. Sekali lagi kami melihat perkara ini sebagai satu stereotaip yang sudah boleh dijangka dan ianya membuatkan filem ini kelihatan biasa jika dipandang daripada sudut tersebut. Kami juga perasan pergerakan satu kamera yang kelihatan agak bergoyang dan ianya agak mengganggu tontonan kami. Tidak pasti adakah ini sememangnya trademark filem ini atau tidak tetapi ianya kelihatan kurang kemas pada pandangan kami.


Namun, secara keseluruhan filem G Storm ini masih menghiburkan dan membuatkan sesiapa yang merindukan aksi-aksi menarik daripada Louis Koo terubat apabila menonton beliau di dalam karya kelima ini. Lagi pun, bukan mudah nak lihat Rosyam Nor beraksi dan dapat membelasah watak yang dilakonkan oleh Louis Koo di layar kaca. Jadi, ini adalah satu kepuasan yang anda hanya boleh peroleh dengan menonton filem ini.


Jadi, selamat menonton filem aksi G Storm ini yang akan mula ditayangkan pada 31 Disember 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan