Review Filem Sing 2

 

Filem:
Sing 2 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Garth Jennings

Genre:
Animasi

Pelakon:
Matthew McConaughey, Reese Witherspoon, Scarlett Johansson, Taron Egerton, 
Bobby Cannavale, Tori Kelly, Nick Kroll, Pharrell Williams, Halsey, Chelsea Peretti, 
Letitia Wright, Eric Andre, Adam Buxton, Garth Jennings, Peter Serafinowicz, 
Jennifer Sunders, Nick Offerman, Julia Davis & Bono.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
30 Disember 2021

Sinopsis:
Filem sekuel daripada filem Sing yang ditayangkan pada tahun 2016 sebelum ini mengisahkan Buster Moon bersama rakan-rakan pentasnya mencuba nasib untuk berjumpa dengan Mr Crystal demi mencapai cita-cita mereka membuat persembahan di Teater Crystal Tower yang terletak di Bandar Redshore yang sangat terkenal. Namun, salah satu cabaran utama yang perlu mereka selesaikan ialah untuk memujuk bintang rock terkenal iaitu Clay Calloway yang telah lama menghilangkan diri daripada industri untuk membuat persembahan bersama mereka. Pada masa yang sama, Mr Crystal turut merancang satu perkara yang bakal memusnahkan impian Buster Moon. Apa sebenarnya yang terjadi? Berjayakan Buster Moon dan rakan-rakannya membuat satu pertunjukkan yang akan diingati semua penonton di Teater Crystal Tower? Saksikan filem animasi yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 30 Disember 2021 untuk mengetahui jawapannya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures Malaysia untuk menonton sebuah filem animasi yang sangat menghiburkan iaitu Sing 2 yang berlangsung di pawagam yang cukup hebat bertempat di Dadi Pavilion Star Max pada 28 Disember 2021 yang lepas. 


Filem Sing 2 ini sememangnya merupakan salah satu sekuel filem animasi yang boleh dikatakan berjaya membawa momentum yang sama seperti mana filem pertamanya. Kali ini dapat dilihat plot penceritaannya dibawakan dalam bentuk yang lebih besar dan berjaya menyatukan matlamat setiap watak-wataknya yang mempunyai impian tersendiri tetapi masing-masing bergantung kepada satu perkara iaitu melakukan persembahan terhebat mereka di Teater Crystal Tower. Jadi, kami melihat setiap watak di dalam filem ini berjaya diberi peluang yang sama untuk berdiri sendiri tanpa terpinggir dengan watak-watak utama. Kesemua watak diberi masa yang cukup untuk menangkap hati penonton untuk turut sama merasai dan memahami apa yang dirasakan oleh mereka.


Filem Sing 2 juga menampilkan senarai muzik dan lagu runut filem yang sememangnya begitu merdu, mengasyikkan dan menghiburkan untuk didengar sepanjang filem ini berlangsung. Setiap liriknya sangat dekat di hati serta agak 'catchy' dan kami merasakan ianya pasti dapat menarik perhatian bukan sahaja penonton kanak-kanak tetapi juga dewasa untuk turut sama terikut menyanyikan lirik-lirik lagu yang ada di dalam filem ini. Faktor ini menjadi lebih menarik apabila ianya disokong oleh koreograf tarian yang cukup kreatif, lucu dan semestinya kena dengan setiap lagu yang disampaikan.


Selain daripada intipati cerita, nilai-nilai murni serta kritikan sosial yang disampaikan secara ringkas, santai dan ringan dimana ianya memang sangat bersesuaian untuk tontonan dan pemahaman penonton cilik, filem Sing 2 juga menarik perhatian kami dengan rekaan Bandar Redshore, Teater Crystal Tower dan juga persembahan daripada kumpulan Buster Moon yang betul-betul kreatif dan memukau dengan warna-warna yang digunakan. Ini adalah antara salah satu sebab filem Sing 2 tidak jemu ditonton kerana warna-warna yang digunakan, rekaan props dan latar juga berjaya memainkan peranan yang besar untuk membuatkan penonton dibuai keindahan kota dan kawasan teater yang menjadi latar utama filem ini.


Perkara terakhir yang membuatkan filem Sing 2 ini sememangnya merupakan salah sebuah filem animasi yang menghiburkan dan sesuai menjadi filem penutup untuk tahun 2021 ini disebabkan elemen komedi yang berjaya menghiburkan kami yang menonton bermula daripada awal filem sehingga kepada penamat. Sebuah filem yang pada kami disampaikan secara ringan tetapi membawakan mesej serta nilai-nilai murni yang cukup besar yang secara tidak langsung mengingatkan kita semua tentang tiada yang mustahil di dalam mengejar cita-cita. Memang menghiburkan!


Jadi, selamat menonton filem animasi Sing 2 ini yang akan mula ditayangkan pada 30 Disember 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Yang Melibatkan Pelakon Malaysia Yang Cukup Dikenali Iaitu Rosyam Nor Yang Berjudul G Storm! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan