Review Filem Good Newwz


Filem:
Good Newwz 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Raj Mehta

Genre:
Komedi & Drama

Pelakon:
Akshay Kumar, Kareena Kapoor Khan, Diljit Dosanjh, Kiara Advani & Etc.

Pengedar:
Nusantara Seni Karya Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
27 Disember 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan dua pasangan yang mempunya nama keluarga Batra dan ingin melakukan persenyawaan in vitro. Namun masalah timbul setelah mereka mendapat tahu bahawa sperma mereka telah bercampur aduk dan bertukar. Situasi menjadi lebih teruk apabila kedua-dua isteri pasangan ini mula mengandung. Satu pasangan adalah orang berpendidikan dan mempunyai kerjaya yang hebat dari Mumbai. Sementara satu pasangan lagi pula adalah pemilik hartanah yang berperwatakan cukup berbeza. Walaupun mereka berbeza, mereka sedar yang mereka tiada pilihan tetapi perlu kekal berhubung. Ini membawa kepada situasi yang mengarut dan melucukan. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 27 Disember 2019 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang cukup menghiburkan berjudul Good Newwz bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 29 Disember 2019 yang lepas. Filem Bollywood ini membawakan satu kisah yang mungkin tidak asing bagi mereka yang gemar menonton drama, telenovela atau sinetron yang menceritakan tentang apa yang bakal dihadapi oleh pasangan suami isteri apabila sperma suami anda tertukar dengan sperma suami pasangan yang lain. Namun, bagaimana penceritaan filem ini diolah yang memberi fokus kepada nilai kemanusiaan, naluri seorang ibu, perasaan seorang bapa serta tekanan yang berlaku di persekitaran mereka menjadikan filem ini penuh dengan rasa dan warna yang cukup menarik.


Filem Good Newwz dimulakan dengan watak Varun Batra (lakonan Akshay Kumar) yang dilihat seperti kurang menyenangi kehadiran kanak-kanak di sekitarnya melalui adegan kegagalannya mencapai jualan kereta yang diharapkan disebabkan percubaannya dirosakkan oleh anak bakal prospek pembeli. Varun juga dilihat seperti kurang berminat dengan seks yang membuatkan penonton berfikir bahawa ini mungkin adalah punca-punca kenapa pasangan Varun dan isterinya Deepti masih belum mempunyai anak. Namun, apabila kisah mulai merungkai satu demi satu maka baru penonton akan mula memahami bahawa Varun bukannya tidak menyukai kanak-kanak tetapi dia tidak biasa dengan kanak-kanak kerana tiada pengalaman. Varun juga bukannya tidak menyukai seks tetapi sebenarnya mengelak untuk melakukan terlalu kerap disebabkan masalah tulang belakang yang dialaminya. Selain itu, tekanan yang dihadapi oleh Deepti saat berhadapan dengan ahli keluarga juga sangat dekat dengan para wanita Asia yang mempunyai masalahnya yang sama sepertinya. Kenapa wanita Asia? Kerana wanita Asia masih terikat dan berpegang teguh kepada menjaga hubungan silaturahim sesama ahli keluarga. Ada kebaikan dan keburukannya disitu apabila ia melibatkan masalah tidak mempunyai anak dimana soalan tersebut akan menjadi topik awal pembuka bicara.


Filem Good Newwz juga dilihat menarik saat masalah teknikal pertukaran sperma kepada ovum pasangan yang salah berlaku. Lebih menarik apabila kedua-dua wanita ini disahkan mengandung dan konflik mula berlaku apabila ia melibatkan pertembungan antara ego lelaki dan naluri seorang ibu. Pengguguran cuba dilakukan sebagai jalan penyelesaian tetapi naluri ibu membangkang sekeras-kerasnya dan akhirnya membiarkan anak yang tidak berdosa dan tahu apa-apa itu membesar di dalam perutnya. Jadi, ini adalah satu persoalan yang menarik apabila ia melibatkan nilai kemanusiaan serta bagaimana seorang suami melihat dan mengetahui bahawa anak yang dikandung oleh isterinya bukannya daripada benihnya. Namun, satu perkara yang menarik apabila pasangan Honey Batra dan Monika Batra pula melihat hal ini secara positif dan mengambil berat kedua-dua kandungan tersebut. Perkara ini juga menarik untuk dilihat apabila Monika mengakui kepada Deepti bahawa dia tetap cemburu dengan suaminya Honey yang lebih memberi perhatian kepada anak yang dikandung oleh Deepti disebabkan Deepti mengandungkan benih Honey. Namun, ungkapannya di dalam senyuman yang ceria ditemani oleh hujan yang turun dengan lebat melambangkan satu rasa yang cukup untuk menerangkan apa sebenarnya yang dirasai oleh Monika. Serius kami cukup suka dengan perlambangan yang dimainkan di dalam filem ini yang membantu memberi lebih impak kepada perkembangan watak serta jalan ceritanya.



Filem Good Newwz juga mempunyai kekuatan yang sangat kukuh dari sudut komedinya dimana hampir 90 peratus adegan filem ini akan membuatkan anda ketawa besar melihat keempat-empat pelakon utamanya yang tidak pernah penat membuatkan anda terhibur dengan kekuatan dialog mereka yang melucukan, riak wajah, permainan emosi serta pergerakan tubuh yang cukup melucukan. Walaupun ada beberap babak yang kelihatan agak meleret terutama pada pengakhirannya namun kami cukup suka dengan babak akhirnya dimana ianya berakhir tanpa ada sebarang perubahan yang klise dan masih mengekalkan unsur humor di dalam elemen dramanya. Kesimpulannya, sangat berbaloi untuk anda menonton filem ini kerana ia mempunyai segala-gala yang anda inginkan iaitu komedi, pengajaran menarik serta penceritaan yang berkualiti.



Jadi, selamat menonton filem Good Newwz di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 27 Disember 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Selepas Ini Kami Akan Kongsikan 10 Buah Filem Tempatan Pada Tahun 2019 Yang Menjadi Kegemaran Kami. Nantikan!

Catat Ulasan

0 Ulasan