Review Filem Detention


Filem:
Detention

Penilaian:
7/10

Pengarah:
John Hsu

Genre:
Seram

Pelakon:
Gingle Wang, Fu Meng-Po, Tseng Ching-Hua & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
9 Januari 2020

Sinopsis:
Filem yang berlatar belakangkan tahun 1962 ketika zaman White Terror di Taiwan ini ini mengisahkan Fang Ray Shin yang merupakan pelajar sekolah tinggi yang berdepan masalah di rumah dan sekolah. Dia kemudiannya jatuh cinta dengan guru kaunselingnya, Mr. Zhang yang menubuhkan kelas rahsia bagi buku-buku yang diharamkan. Miss Yin dan seorang pelajar lelaki bernama Wei Chong Ting turut terlibat dalam kelas rahsia itu. Suatu malam, Fang dan Wei Ting mendapati mereka telah terperangkap dalam sekolah mereka yang kini kosong dan dihantui roh-roh jahat. Dalam pada mereka mencari jalan keluar dan merungkai kisah silam gelap sekolah itu, mereka juga perlu mencari Mr. Zhang yang hilang secara tiba-tiba. Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 9 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood berjudul Detention di Amerin Cineplex pada 12 Januari 2020 yang lepas. Filem dari Taiwan yang judul asalnya bernama Fanxiao ini telah menerima 12 pencalonan untuk Golden Horse Awards 2019 dimana filem ini telah memenangi lima anugerah daripada keseluruhan pencalonan yang diterimanya. Filem yang dihasilkan berdasarkan permainan video yang cukup popular di Taiwan dengan judul yang sama yang dikeluarkan pada tahun 2017 ini mendapat respon yang cukup positif oleh masyarakat Taiwan dimana kutipan tiket yang diperoleh sangat memberangsangkan dan ia membawa penonton-penontonnya untuk mengimbas kembali sejarah yang berlaku terhadap negara tersebut sekitar era 1960-an dimana Taiwan pada ketika itu berada di bawah undang-undang tentera dimana Parti Koumintang Taiwan telah memenjarakan lebih daripada 140,000 penentang politik sepanjang tahun 1947 sehingga tahun 1987.


Memandangkan kami langsung tidak arif tentang sejarah negara Taiwan ini maka menonton filem Detention membuatkan kami berasa sangat gembira kerana berjaya mengetahui sesuatu isu serta peristiwa yang menarik sepanjang kejadian tersebut berlaku. Harus diingatkan kronologi penceritaan filem Detention ini dibahagikan kepada tiga bahagian dan ia dilihat sedikit kompleks buat mereka yang tidak biasa dengan filem yang gemar memainkan teknik imbas cerita ke belakang dan kemudian kembali kepada waktu kejadian sebenar yang terlalu kerap digunakan di dalam filem ini. Namun, kami cukup menyukai elemen mimpi yang digunakan dengan cukup kreatif di dalam membawa penonton untuk melihat apa sebenarnya yang terjadi kepada kisah dua orang pelajar ialah Fang Ray-shin dan juga Wei Chung-ting sambil menyuntik elemen seram melalui penggunaan jumpscare yang sederhana tetapi mengena pada kebanyakkan adegan-adegan seramnya.


Filem Detention dimulakan dengan bahagian pertama yang boleh dikatakan menampilkan elemen seram yang cukup baik serta mengelirukan penonton dengan kisah dua pelajar yang terperangkap di dalam sekolah mereka yang kelihatan sangat berbeza daripada asal dan dipenuhi dengan pelbagai kejadian pelik serta kemunculan makhluk yang menakutkan. Kemudian, sedikit demi sedikit penonton akan ditarik untuk melihat kisah berkaitan dengan sekumpulan pelajar yang diketuai oleh dua orang guru sekolah yang mewujudkan satu kumpulan rahsia untuk membaca, menyalin dan melukis semula senarai buku-buku yang dilarang oleh pihak tentera yang memerintah kerana tidak mahu sebarang bentuk liberal atau komunis memasuki negara tersebut. Jadi, plot penceritaan filem mula bijak bermain teka-teki untuk membuatkan penonton terfikir apa kaitannya mimpi pelajar tersebut dengan kisah disebalik kewujudan kumpulan rahsia pelajar dan guru ini. Dari sini penonton akan dibawa melihat elemen persahabatan, kekeluargaan, percintaan dan khianat berlaku secara tersusun dan menariknya ia berjaya dicantumkan dengan elemen mimpi dengan cukup kreatif sekali. Setiap kejadian aneh serta makhluk halus yang wujud di dalam mimpi pelajar Fang Ray-shin itu sebenarnya saling berkait dimana jawapannya hanya akan diperoleh penonton pada babak akhir filem ini. 


Namun, apa yang membuatkan filem Detention ini sangat istimewa bukan semata-mata kerana elemen seram atau kebijaksanaan kronologi kisah ini disusun sahaja. Tetapi, ia menjadi menarik disebabkan kejayaan filem ini di dalam memberikan kesan psikologi kepada penontonnya untuk merasai sendiri penderitaan, ketakutan, rasa tidak puas hati serta keberanian segelintir masyarakat Taiwan yang berjuang untuk mendapatkan apa yang mereka idamkan sewaktu era pemerintahan tentera yang terlalu kejam dan mengharamkan segala-galanya walaupun perkara tersebut adalah ilmu pendidikan yang harus diketahui dan dipelajari. Jadi, inilah yang membuatkan filem Detention ini merupakan salah satu filem Taiwan yang wajib anda tonton pada tahun 2020 ini. Naskah hebat ini menampilkan banyak elemen menarik yang sangat kreatif terutama dari sudut penyampaian ceritanya yang sukar diramal dan berubah-ubah gaya penyampaiannya sehingga membuatkan anda dapat merasai tiga perkara sewaktu menonton filem ini iaitu seram, teruja dan puas hati.


Jadi, selamat menonton filem Detention di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 9 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Filem Underwater. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan