Review Filem Pattas


Filem:
Pattas

Penilaian:
5/10

Pengarah:
R. S. Durai Senthilkumar

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
Dhanush, Sneha, Mehreen Pirzada, Naveen Chandra & Etc.

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
15 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pemuda bernama Sakhti yang menjadi penjenayah dan tinggal di sebuah bandar. Tanpa dia sedari, dia sebenarnya merupakan anak kepada seorang lelaki yang merupakan guru seni bela diri Adimurai yang terkenal suatu masa dahulu. Namun, seni bela diri tersebut semakin dilupakan disebabkan satu pengkhianatan yang berlaku sehingga menyebabkan dirinya terpisah dengan ibu kandungnya serta menyebabkan ayahnya mati di dalam insiden tersebut. Pertemuan Sakhti serta ibu kandungnya telah menyebabkan dia perlu menghidupkan kembali seni bela diri Adimurai tersebut dan perlu berhadapan dengan musuh lama ayahnya. Adakah dia akan berjaya menuntut bela atas kematian ayahnya? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Tamil berjudul Pattas di MMCineplex e-Curve Damansara pada 15 Januari 2020 yang lepas. Pattas yang bermaksud Bunga Api ini dilakonkan oleh seorang pelakon lelaki berbakat, serba boleh dan dikenali ramai penggemer filem Tamil iaitu Dhanush. Tidak dinafikan Dhanush sangat menghiburkan di dalam filem ini namun sayangnya filem ini menampilkan sebuah kisah yang dilihat seolah-olah disalinkan daripada sebuah manuskrip yang kelihatan malas penulisannya. Hakikatnya filem ini mempunyai cerita yang boleh digarap dengan lebih baik dan mampu pergi lebih jauh jika kena dengan cara penulisan serta penghasilannya yang betul.


Filem Pattas ini dimulakan dengan babak awal tentang Kanyakumari yang telah dipenjarakan disebabkan membunuh orang asing. Ini menjadi lebih menarik sewaktu Kanyakumari keluar daripada penjara dan memberitahu warden penjara bahawa dia akan kembali semula kesini. Kemunculan watak Sakhti lakonan Dhanush pula di dalam adegan mencuri barang-barang piala di bangunan latihan milik Nilan pula mula mencetuskan satu insiden yang agak melucukan. Namun adegan-adegan selepas itu dilihat agak meleret walaupun padat dengan elemen humor sebelum filem Pattas ini mula nampak lebih menarik apabila memperkenalkan watak bapak Sakhti iaitu Thiraviyaperumal yang mempunyai kaitan dengan Nilan.


Disini bermulalah pengenalan tentang seni bela diri yang bernama Adimurai yang merupakan seni bela diri yang berasal dari India. Seni bela ini merupakan seni bela diri tunggal yang asal dimana pecahannya menghasilkan beberapa seni bela diri lain yang merebak ke negara-negara di luar India. Seni bela diri silat turut disebutkan di dalam filem ini sebagai salah satu pecahan daripada seni bela diri Adimurai. Melalui penerangan ini baru kami dapat melihat motif sebenar filem Pattas ini yang dilihat lebih meyakinkan dan berjaya membawa unsur dramatik yang cukup menghiburkan.


Jadi, filem Pattas kembali membawa penonton ke gelanggang MMA untuk menunjukkan bahawa seni bela diri Adimurai sememangnya adalah seni bela diri terhebat di dunia. Memandangkan negara India sememangnya bangga dan cukup bersifat patriotik terhadap apa yang mereka ada atau miliki maka penonton sudah boleh menebak apa yang bakal mereka tonton tentang kehebatan seni beladiri Adimurai ini. Namun, apa yang membuatkan kami terasa agak terganggu menonton filem Pattas ini adalah disebabkan potongan adegan yang boleh dikenal pasti melalui beberapa adegan yang terus melompat ke adegan lain serta pemotongan lagu latar yang secara tiba-tiba. Jadi, secara tidak langsung hal ini sememangnya agak mengganggu tontonan kami terhadap keseluruhan filem ini.


Pelakon Dhanush diakui sangat hebat di dalam menghidupkan kedua-dua watak di dalam filem ini iaitu sebagai Sakhti dan juga Thiraviyaperumal dimana kedua-dua watak ini mempunyai karakter serta pembawakan yang berbeza. Sangat seronok untuk menonton persembahan hebat lelaki ini yang cukup hebat memberikan emosi serta ligat di dalam tarian menarinya. Namun, dek kerana jalan ceritanya yang ditulis terlalu mudah serta perubahan plot yang sangat mudah untuk diramal maka dapat dikatakan filem Pattas ini gagal berkembang seperti yang kami harapkan walaupun dengan kehadiran Dhanush yang memberikan persembahan yang cukup bertenaga dan berkualiti. Secara keseluruhannya, filem ini masih menghiburkan cuma ia bukannya sebuah filem terbaik seperti yang kami jangkakan.


Jadi, selamat menonton filem Pattas di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 15 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan! 

Catat Ulasan

0 Ulasan