20/01/20

Review Filem Underwater


Filem:
Underwater

Penilaian:
2/10

Pengarah:
William Eubank

Genre:
Aksi, Drama & Seram

Pelakon:
Kristen Stewart, Vincent Cassel, Jessica Henwick, John Gallagher Jr. & Etc.

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan:
9 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Norah Price yang merupakan salah seorang daripada sekumpulan penyelidik yang terperangkap jauh di dasar lautan selepas makmal bawah air mereka musnah akibat satu gempa bumi. Selain berdepan masalah kekurangan oksigen dan alatan yang rosak, mereka turut diburu oleh satu raksasa laut dalam bermisteri yang muncul akibat gempa bumi itu. Mereka perlu bekerjasama dalam mencari jalan untuk menyelamatkan diri dari terus diburu raksasa tersebut. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 9 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Hollywood berjudul Underwater di TGV The Mines pada 15 Januari 2020 yang lepas. Sepatutnya kami menonton lebih awal lagi filem ini selepas mendapat jemputan daripada pihak Walt Disney Pictures. Namun disebabkan kekangan kerja maka terpaksa kami menonton filem ini agak lewat. Apa kami boleh katakan pelaburan wang kami untuk membeli tiket bagi menonton filem ini adalah sangat tidak berbaloi dan agak membuang masa. 


Filem Underwater dimulakan dengan pengenalan adegan yang memaparkan keratan-keratan akhbar serta tulisan yang memaparkan misteri yang berlaku di kawasan stesen bawah laut kepunyaan syarikat Tian Industries yang galak menggerudi dasar laut. Kemudian adegan awal tidak dibazirkan apabila ianya terus memaparkan kejadian gegaran yang menyebabkan kebocoran kepada stesen dasar laut di bawah dan menunjukkan bagaimana watak utama filem ini iaitu Norah lakonan Kristen Stewart mula menyelematkan diri bersama pekerja-pekerja yang lain. Kemudiannya, kami dipertontonkan dengan perjalanan Norah dan rakan-rakannya yang menyelamatkan diri daripada mati kelemasan atau dibunuh oleh makhluk misteri yang tiada pangkal cerita. Memudahkan cerita ialah filem ini tiada apa-apa motif menarik untuk dikongsikan dengan penonton baik kepada pengenalan watak mahu pun pengenalan terhadap makhluk misteri yang terdapat di kawasan gerudi laut dalam tersebut. 


Filem Underwater sama sekali gagal dimana tiada usaha untuk membantu penonton untuk mengenali watak Norah ini dengan lebih mendalam. Kemunculan watak Kapten, jurutera serta watak-watak yang lain juga dilihat sekadar pengenalan kepada nama dan jawatan serta tidak lebih daripada itu. Lebih mengerikan ialah kami sebagai penonton tidak tahu apa-apa tentang kewujudan makhluk misteri yang sememangnya sangat misteri dan mengingatkan kami kepada makhluk The Trench di dalam filem Aquaman. Segala-galanya sangat samar dan sekali lagi kami tegaskan yang filem ini sebenarnya tiada sebarang motif menarik untuk dibicarakan.


Cuma filem Underwater ini dilihat berjaya di dalam memberikan sedikit elemen kejutan serta unsur seram melalui sinematografi di dalam laut dalam serta penggunaan jump scare yang berkesan pada sesetengah adegan yang membuatkan kami berjaya menahan mata daripada terpejam lena di dalam pawagam. Secara keseluruhannya, filem Underwater sememangnya sangat mengecewakan kami kerana segala-galanya dilihat lemah dan samar-samar. Jalan cerita lemah! Perkembangan setiap watak pula gagal! Makhluk misteri yang sememangnya misteri! Filem yang tiada sebarang motif! Semua faktor ini boleh disimpulkan ke dalam satu perkataan iaitu - BOSAN!


Jadi, selamat menonton filem Underwater di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 9 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tamil Berjudul Pattas. Nantikan Ulasannya! 

3 ulasan:

  1. Dgn Hans bg ulasan BOSAN... telah menyelamatkan masa dan duit saya, baik tonton film lain je. TQ Hans

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      untuk saya bosan lah
      tak tahu lah orang lain

      Padam
    2. To be safe... saya amat confident dgn ulasan Hans, heheh

      Padam