Review Filem A Moment Of Happiness


Filem:
A Moment Of Happiness

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Tai Ming Hwee

Genre:
Komedi

Pelakon:
Min Chen Lin, Tul Pakorn, Chan Fong, Danny One, Thian Siew Kim, Happy Pola & Etc.

Pengedar:
MM2 Entertainment

Tarikh Tayangan:
25 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang gadis bernama Zhen yang perlu terus tinggal bersama bapa tunggalnya Wu walaupun selepas tamat pengajian kerana masalah kewangan yang mereka hadapi. Dia bersama rakan baiknya Zitomira dan pakciknya Jin Shui telah mencipta imej Zhen di dalam talian sebagai seorang gadis cantik dan kaya dan berjaya mengubah dirinya menjadi seorang pengaruh atau influencer yang terkenal dan menjana keuntungan sebagai duta beberapa jenama. Berbeza dengan realiti, kehidupan dalam taliannya sentiasa baik dan dia perlu teruskan imej itu di media sosial untuk terus mendapatkan keuntungan dari Internet. Suatu hari, dia bertemu dan jatuh hati dengan Nat yang merupakan seorang pelancong Thai yang datang dari sebuah keluarga kaya. Apabila kisah cinta mereka menjadi terkenal dalam talian, dia terus berpura-pura menjadi kaya, walaupun bapanya tidak menyukai imej hipokritnya. Namun apabila Nat merancang untuk melamar Zhen, Wu tiada pilihan lain selain berlagak sebagai seorang lelaki kaya demi kebahagiaan anaknya. Namun, kekecohan mula berlaku disebabkan perancangan Zhen dan bapanya Wu mula memakan diri mereka sendiri. Saksikan filem yang sangat melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak MM2 Entertainment untuk hadir ke Majlis Gala A Moment Of Happiness yang berlangsung dengan cukup meriahnya di MMCineplex eCurve Damansara pada 20 Januari 2020 yang lepas. Sudah lama sebenarnya kami tidak menonton sebuah filem Mandarin tempatan yang sangat lucu dan nampak gayanya filem A Moment Of Happiness ini berjaya menghiburkan kami di tahap yang sangat maksimum.


Tidak dinafikan jalan cerita filem A Moment Of Happiness ini mudah dan naskahnya lebih kurang sama dengan filem-filem klise bergenre cinta yang pernah ditonton sebelum ini dimana si lelaki dan si wanita bertemu tanpa sengaja sebelum jatuh cinta namun hubungan cinta bakal terhalang dek kerana perbezaan darjat antara kedua-dua keluarga. Tetapi, apa yang menjadikan filem ini sangat menarik dan menghiburkan disebabkan tiga perkara yang jelas berjaya membantu momentum filem ini sentiasa berada di aras yang tinggi sejak permulaan sehingga kepada penamatnya.


Kekuatan pertama filem ini ialah elemen humor komikal yang sentiasa menjadi di dalam setiap adegan yang dipaparkan. Apa yang menjadikan setiap komedinya tepat menggeletek hati penonton disebabkan sentiasa berlakunya plot twist kepada setiap adegan kelakarnya yang kami sendiri tidak jangka sama sekali dan adakalanya kami menjangkakan perkara tersebut tetapi kami tidak sangka ianya betul-betul dimasukkan di dalam adegan filem tersebut. Selain komedinya yang komikal dan kerap menggunakan plot twist, kami juga tidak dinafikan terdapat lawak-lawak klise atau slapstik tetapi ianya berjaya dibina dengan cukup baik dan menyatu dengan begitu kukuh hasil persembahan mantap daripada kesemua para pelakonnya.


Kekuatan kedua filem ini semestinya ialah pemilihan pelakon yang berjaya bersinar dengan sangat baik. Walaupun mempunyai ramai pelakon pembantu tetapi setiap daripada mereka diberikan peranan yang cukup baik untuk berkembang dan bersinar walaupun kemunculan mereka tidak sekerap pelakon utama. Barisan pelakon utama pula tidak dinafikan sememangnya pakar di dalam membuatkan kami ketawa berdekah-dekah dengan gelagat mereka yang begitu melucukan. Pembinaan watak karakter serta bagaimana ianya dipersembahkan kepada penonton sememangnya diakui harus diberikan pujian kerana setiap pelakon berjaya menghidupkan peranan watak masing-masing dengan jayanya. Keserasian antara pelakon tempatan serta pelakon Thailand seperti Tul Pakorn dan Happy Pola juga dilihat menjadi dan membuatkan filem ini sentiasa berjaya menceriakan kami yang menonton.


Kekuatan ketiga filem ini ialah kualiti gred warna filemnya yang sangat cantik dan cemerlang. Adegan penggunaan dron juga dilihat cukup sempurna dimana warna visual yang dirakam menggunakan dron langsung tidak lari dengan gred warna untuk visual adegan-adegan lain. Sinematografi filem ini juga dilihat menawan dan berjaya menghubungkan setiap adegan dengan cantik sekali.


Diakui penggunaan imej janaan komputer untuk filem A Moment Of Happiness ini tidak lah kelihatan terlalu realistik. Namun disebabkan filem ini menampilkan unsur humor yang komikal maka penggunaan CGI filem ini dilihat sangat bersesuaian dengan kronologi jalan cerita yang dipaparkan. Secara keseluruhan, filem berkonsepkan kekeluargaan, persahabatan dan percintaan ini masih menawarkan mesej serta nilai-nilai murni yang baik dan sangat diperkukuhkan dengan elemen komedi yang cukup menjadi.


Sesuai untuk ditonton oleh sesiapa sahaja dan kami pasti jika anda menonton filem ini bersama keluarga besar anda, ia pasti akan menjadikan sambutan Tahun Baru Cina anda untuk tahun 2020 lebih ceria dan secara tidak langsung lebih merapatkan silaturahim sesama anda. Kami sangat mengesyorkan anda untuk menonton filem ini pada 25 Januari 2020 nanti kerana kami pasti anda tidak akan menyesal menonton filem yang cukup melucukan ini.


Jadi, selamat menonton filem A Moment Of Happiness di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 25 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Dari Indonesia Berjudul Si Manis Jembatan Ancol. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan