Review Filem M4M4


Filem:
M4M4 (MAMA)

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Eyra Rahman

Genre:
Jenayah, Seram & Thriller

Pelakon:
 Nabila Huda, Bella Dowanna, Faizal Hussein, Kodi Rasheed,
Ungku Hariz, Niezam Zaidi, Izzy Reef, Eyra Hazali, Amanda Hariz & Etc.

Pengedar:
Empire Film Solution

Tarikh Tayangan:
6 Februari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan dimulakan pada hari lahir ke-15 Alya yang disambut setiap tahun bersama mamanya iaitu Aini. Setelah kematian suami ketika Alya berusia lapan tahun, Aini berusaha keras setiap hari untuk memberikan kehidupan yang lebih baik untuk anaknya. Alya mempunyai dua kawan baik iaitu Danny dan Elly. Mereka bertiga tinggal di kawasan yang sama dan membesar bersama-sama. Pada suatu hari, mereka diganggu oleh tiga orang lelaki iaitu Apai, Luk dan Remy yang terkenal dengan gaya samseng mereka di kawasan tersebut. Mereka sering menganggu pelajar-pelajar sekolah yang makan di kawasan tersebut termasuk Alya. Namun, pada hari tersebut kesabaran Alya memuncak apabila Apai dengan beraninya menyentuh Alya. Berlaku pergaduhan di antara Apai, Alya dan Danny sehingga menyebabkan Alya dengan beraninya menyimbah sup panas kepada Apai. Sewaktu Alya dan Elly sedang menunggu bas, sesuatu menimpa Elly dan dia terpaksa beredar dari situ buat seketika. Semasa Alya menunggu Elly, Apai dan kawan-kawannya muncul bersama motor dan membuat onar di situ. Alya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Apai dan kawan-kawannya menarik Alya untuk pergi dari situ. Alya dibawa ke sebuah bangunan tinggal dan diperkosa dengan kejamnya. Alya pulang ke rumah dalam keadaan sakit dan cedera. Aini cuba menyembunyikan emosinya sebagai ibu demi membantu Alya yang masih trauma. Namun, tekanan yang diterima dalam kalangan masyarakat menyebabkan jiwanya sebagai ibu turut terkesan. Melihatkan keadaan Aini, Alya cuba bangkit dan cuba untuk melupakan apa yang sudah terjadi. Dia mahu memulakan segalanya bersama Aini. Bagaimana Aini sebagai seorang MAMA menangani kemelut emosinya? Adakah Aini sanggup memaafkan Apai, Luk dan Remy? Segalanya bakal terjawab di dalam filem M4M4 yang bakal ditayangkan di pawagam pada 6 Februari 2020.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan untuk menghadiri Mala Gala Filem M4M4 yang berlangsung dengan meriahnya di MMCineplex eCurve Mutiara Damansara pada 30 Januari 2020 yang lepas. Pada permulaannya, kami tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi kepada filem M4M4 arahan Eyra Rahman ini disebabkan rasa skeptikal kami terhadap filem-filem arahannya di bawah syarikat penerbitan MIG beberapa tahun yang lepas. Namun, sangkaan kami ternyata meleset sama sekali kerana kali ini Eyra Rahman betul-betul memberi kejutan yang cukup besar melalui filem jenayah M4M4 (MAMA) yang bergenre seram thriller ini. Menonton filem ini memberikan satu kepuasan yang agak baik buat kami yang berasa terhibur seperti mana kami menonton filem thriller daripada India. Untuk maklumat semua, industri perfileman negara India sememangnya hebat di dalam menghasilkan filem-filem berkonsepkan thriller. Walaupun M4M4 masih mempunyai beberapa kelemahan namun kami harus akui ia merupakan antara filem tempatan yang para penonton wajib tonton di pawagam pada tahun 2020 ini.


Judul M4M4 itu sendiri memberi perlambangan yang pada kami cukup menarik. Seperti kata pengarahnya yang menyatakan M4M4 itu bermaksud Mati Empat selain daripada perkaraan MAMA itu sendiri. Perlambangan yang menarik disini ialah Mati Empat dan Mama ini sebenarnya saling berkait rapat dimana kematian yang berlaku di dalam kisah ini juga mewakili hati dan jiwa seorang wanita bergelar MAMA yang turut sama mati. Kematian hati dan jiwa ini berjaya disokong dengan baik melalui penceritaan yang telah memberi pecahan tentang betapa rapat dan kukuhnya hubungan antara watak Aini yang merupakan mama kepada Alya. Hubungan anak beranak ini berjaya dipasak, dikekalkan dan dikembangkan dengan cukup teliti dan sangat meyakinkan sehinggakan kami merasa sendiri rasa kasih antara dua anak beranak ini dan bagaimana mereka terlalu bergantung dan memerlukan antara satu sama lain. Hal ini dilihat menarik kerana jarang untuk melihat filem tempatan yang berjaya memberikan satu dasar yang jelas kepada watak-watak utamanya seperti mana yang boleh dilihat di dalam filem M4M4 ini. Setidak-tidaknya ini adalah salah satu kejutan yang menjadi daripada pengarah bernama Eyra Rahman serta krew produksi yang lain.


Filem M4M4 juga dilihat mempunyai kekuatan yang sangat jitu dari sudut persembahan lakonan para pelakon yang wujud di dalam filem ini. Bukan sahaja pelakon utamanya sahaja yang hidup dan beraksi cemerlang tetapi juga pelakon-pelakon antagonis mahu pun para pelakon pembantu filem M4M4 ini. Kami secara jujurnya tidak mengenali pelakon Bella Dowanna yang memainkan peranan Alya iaitu anak kepada Aini. Namun, Bella dilihat sangat cemerlang di dalam menghidupkan watak Alya ini dan keserasiannya dengan Nabila Huda yang bertindak sebagai Aini dilihat sebagai satu gandingan ibu anak yang luar biasa dan cemerlang. Kedua-duanya berjaya hidup di dalam setiap adegan secara seiring dimana hubungan ibu anak ini sangat konsisten dan mampu meraih kepercayaan penonton dengan cukup mudah sekali. Tidak ada antara mereka yang ditenggelami atau menenggelamkan watak masing-masing. Gerak tubuh, permainan emosi serta lontaran vokal yang cukup baik daripada Nabila Huda dan Alya yang bijak bertukar karakter mengikut situasi wajar diberi pujian. Filem M4M4 kelihatan sangat meyakinkan disebabkan kekuatan persembahan lakonan kedua-dua pelakon yang cukup mantap ini. 



Selain itu, filem M4M4 juga dilihat menyerlah di layar perak pada tahun 2020 ini disebabkan tiada sebarang potongan babak daripada Lembaga Penapisan Filem seperti yang dimaklumkan kepada kami. Jadi, hal ini membuatkan filem ini berjaya difahami oleh penonton dengan lebih mudah disebabkan kronologi penceritaannya dilihat berjaya disusun dengan baik dan agak kemas. Hal ini juga sangat membantu di dalam mengangkat watak-watak antagonis iaitu Apai (lakonan Kodi Rasheed), Luk (lakonan Ungku Hariz) dan Remy (lakonan Niezam Zaidi) untuk berada di tempat sepatutnya. Filem ini dilihat bijak apabila ketiga-tiga watak antagonis ini berjaya menyinar disebabkan perwatakan masing-masing yang berbeza. Watak Apai berjaya dipaparkan di dalam beberapa versi yang sangat berbeza sewaktu watak ini di dalam fasa tenang atau pun fasa kegelapannya. Watak Luk juga berjaya dipaparkan sebagai seorang manusia yang masih mempunyai hati nurani. Paling memberi kesan dan membuatkan kami agak geram tetapi pada masa yang sama terhibur semestinya watak Remy yang betul-betul hidup dan mencabar kesabaran kami melalui aksi-aksi lagaknya serta penggunan frasa dialog yang betul-betul memanaskan telinga. Ketiga-tiga pelakon yang memegang watak antagonis ini juga sememangnya wajar diberi pujian.



Kami juga melihat filem M4M4 berjaya menyampaikan mesej-mesej yang bagus buat penonton dimana filem ini menyentuh banyak aspek kehidupan. Perkara pertama yang kami lihat ialah tentang agama. Hal ini dilihat menarik terutama untuk mereka yang beragama Islam dimana anda pasti pernah terdengar atau mengetahui bahawa kasih sayang kepada manusia harus diletakkan pada nombor kedua dimana anda perlu meletakkan Allah pada tingkat teratas sekali di dalam kehidupan anda. Jadi, cara ianya dipaparkan di dalam mesej ini di dalam satu adegan pada kami agak menarik dan dakwahnya juga kelihatan bijak. Perkara kedua semestinya tentang bahana penyalahgunaan dadah dimana sejak awal lagi filem ini telah memberitahu bahawa penagih dadah ini perlu mempunyai keupayaan mental yang kuat di dalam menghadapi dua perkara untuk mengelakkan mereka kembali menagih iaitu jangan dekati dadah dan jangan dekati rakan-rakan lama yang mengambil dadah. Sememangnya dadah adalah pemusnah kehidupan yang nyata dan ianya berjaya dipaparkan dengan berkesan di dalam filem ini. Ketiga ialah tentang sikap manusia itu sendiri yang sukar diramal dimana setiap watak di dalam filem ini sebenarnya berjaya melambangkan hati-hati manusia yang putih dan hitam yang sentiasa berubah-ubah disebabkan sesuatu perkara.



Walaupun filem M4M4 dilihat agak cemerlang pada awal tahun 2020 ini namun ada beberapa juga kelemahan yang memberi kesan kepada momentum positif filem ini. Antaranya ialah beberapa masalah kelompongan plot yang melibatkan adegan beberapa watak seperti rakan lelaki Alya misalnya yang menimbulkan kelompongan pada beberapa adegan yang kelihatannya tidak terjawab sehingga pada pengakhiran filem. Selain itu, filem ini juga dilihat masih terkekang dan kerisauan untuk memaparkan adegan-adegan pembunuhan yang lebih mengerikan dimana kami memahami kerisauan mereka seandainya adegan seperti itu dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem. Cuma kami berpendapat jika adegan-adegan ini dipaparkan dengan mengerikan maka ia akan memberi markah tambahan lagi buat filem ini untuk lebih kelihatan menarik. Selain itu, kami juga merasakan terdapat beberapa adegan yang kelihatan terlalu tergesa-gesa, tidak perlu serta tiada kesinambungan daripada satu adegan ke satu adegan yang kelihatan seperti terpotong atau janggal yang adakalanya membuatkan filem kelihatan sedikit meleret atau menimbulkan pertanyaan pada beberapa adegan. Adegan-adegan akhir melibatkan pihak berkuasa juga dilihat agak lemah. Namun, secara keseluruhannya filem M4M4 sangat menghiburkan, penuh kejutan dan semestinya dibantu dengan lakonan yang cukup hebat daripada para pelakon-pelakon yang terlibat di dalam filem ini yang kebanyakannya bukan bergantung kepada populariti tetapi sememangnya mempunyai bakat sebagai anak seni. 



Jadi, selamat menonton filem M4M4 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 6 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Mandarin Tempatan Berjudul Fight Lah! Kopitiam. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

8 Ulasan

  1. Jika Hans berkesempatan, bole tolong beri ulasan filem Perempuan Tanah Jahanam, TQ

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Hans. Film M4M4 dpt kelebihan 1 markah penilaian dr Perempuan Tanah Jahanam. Confuse masa satu nak tengok nih... baik tengok dua² sekali kan Hans? Heheh...

      Padam
    2. dah ada dah ulasan untuk Perempuan Tanah Jahanam

      Padam
    3. Perempuan Tanah Jahanam menarik dan wajib tonton
      M4M4 ini mungkin tak semua juga suka cuma bagi Hans filem tempatan ini menarik sebab lakonan mantap dan jalan cerita walaupun tidak terlalu kuat tetapi tidak terlalu lemah atau merepek seperti Wangi

      Padam
    4. Jika begitu saya follow Hans, Insyaallah esok Perempuan Tanah Jahanam, lusa Harley Quinn's Bird of Prey. Terima kasih sekali lagi Hans...

      Padam
    5. Nasib baik la tak tengok film Wangi yg merepek tu, kalo tak... nyesal tak sudah, heheh. TQ TQ

      Padam
  2. Mmg terbaik filem mama ni...xpuas tgk rasa nak tgk sekali lagi...filem melayu paling best bagi sy...sedih sgt xsedar mengalir air mata sy...nabila huda pelakon yg xpernah menghampakan peminat dan watak kali ni betul² berkesan...tahniah eyra rahman berjaya mengarahkan filem yg terbaik sehingga meninggalkan kesan pada penonton...sy betul² puas ati filem mama ni...xrugi tgk...

    BalasPadam