Review Filem Fight Lah! Kopitiam


Filem:
Fight Lah! Kopitiam

Penilaian:
4/10

Pengarah:
Matt Lai

Genre:
Komedi

Pelakon:
Jack Lim, Cedric Loo, Wan Wai Fun, Steve Yap & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
30 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Bao Li Jin yang merupakan generasi kedua yang juga merupakan pemilik "Kopitiam Ada Bukit Ada Air". Bapanya yang merupakan pengasas kopitiam itu telah menghidap penyakit Alzheimer. Kini dia perlu mengambil alih perniagaan bapanya serta menghalang Tao yang merupakan seorang pemaju yang sombong daripada membeli tapak kopitiamnya. Untuk itu, dia terpaksa menerima cabaran Tao dalam menyertai pertandingan tinju demi menyelamatkan kopitiamnya. Saksikan filem kantonis tempatan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 30 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem  kantonis tempatan berjudul Fight Lah! Kopitiam bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 31 Januari 2020 yang lepas. Usai menonton filem ini, apa yang kami boleh nyatakan bahawa filem bergenre komedi ini merupakan sebuah filem komersial ringan yang menghiburkan untuk ditonton sempena perayaan tahun baru cina yang berlangsung pada waktu tayangan filem ini. Namun, kami berpendapat filem ini tidak menawarkan sebarang aura baru melainkan ianya hanya menampilkan elemen-elemen komedi yang kita boleh tonton di dalam filem-filem komedi yang lain dari negara Hong Kong, Taiwan mahu pun China.


Filem Fight Lah! Kopitiam ini dimulakan dengan pengenalan tentang salah-silah pemilik Kopitiam Ada Bukit Ada Air serta tentang kehebatan kopi putih yang ditawarkan oleh premis kopitiam ini yang menjadikan ianya sangat terkenal di kawasan tersebut. Namun, segala-galanya berubah apabila pemilik asal iaitu generasi pertama mengalami masalah alzheimer dan bagaimana sambutan terhadap kopitiam ini menjadi semakin malap selepas ianya diambil alih oleh anak pemilik tersebut yang tidak mengetahui rahsia menghasilkan kopi putih yang terbaik di dunia seperti mana yang dilakukan oleh ayahnya. Kemudian, penonton akan dipaparkan dengan persaingan daripada kafe yang bertentang dengan kopitiam ini dimana pemilik kafe tersebut adalah rakan kepada anak pemilik generasi pertama kopitiam ini. Namun, mereka menjadi musuh disebabkan kisah silam sebelum kemunculan watak anak-anak mereka yang tiba-tiba jatuh cinta pandang pertama. Namun, hal ini kelihatan mati begitu sahaja dimana kewujudan konflik ini tidak diberikan fokus atau penekanan menjadikan ianya sebuah persoalan atau permasalahan yang sia-sia.


Konflik sebenar filem Fight Lah! Kopitiam ini dapat dilihat pada pertengahan cerita apabila kemunculan anak pemilik kawasan jalanan disitu ingin membangunkan kawasan tersebut dan berniat untuk merosakkan serta membatal perjanjian yang ditandatangani oleh semua pemilik disitu dengan ayahnya pada suatu masa dahulu. Namun, perkembangan watak anak pemilik agak samar-samar dimana kenapa ia berperilaku sedemikian rupa seperti terlalu ganas atau pemarah tidak diketahui sehingga ke akhir cerita. Begitu juga dengan kisah-kisah lampau watak-watak utamanya yang dikhabarkan sebagai peninju suatu masa dahulu namun ia dipaparkan secara tergesa-gesa tanpa ada sebarang adegan yang kuat untuk menyokong perkara tersebut. Ini yang menyebabkan plot penceritaan filem ini kelihatan biasa dan terlalu mendatar.


Namun filem Fight Lah! Kopitiam sedikit terselamat apabila menampilkan pelbagai jenis komedi yang kami lihat ada yang menjadi dan juga sebaliknya. Ada lawak-lawak slapstik mahu pun komikal yang menjadi. Ada juga lawak-lawak yang dilihat seperti kitar semula yang mengingatkan kami kepada filem-filem komedi yang lain. Namun, kami agak menyukai perihal filem ini di dalam memaparkan aksi yang agak realistik untuk perlawanan tinju dimana ia masih mengekalkan tahap realiti perlawanan tinju yang boleh diterima pakai. Secara keseluruhannya, filem ini agak menghiburkan tetapi tiada sebarang aura menarik atau terbaru yang boleh kami peroleh selepas selesai menonton filem ini.


Jadi, selamat menonton filem Fight Lah! Kopitiam di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 30 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Yang Cukup Menghiburkan Berjudul Jawaani Jaaneman. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan