Filem:
Jawaani Jaaneman
Penilaian:
8/10
Pengarah:
Nitin Kakkar
Genre:
Drama, Romantik & Komedi
Pelakon:
Saif Ali Khan, Alaya Furniturewala, Kubbra Sait, Tabu & Etc.
Pengedar:
Suraya Filem
Tarikh Tayangan:
31 Januari 2020
Filem ini mengisahkan Jazz yang merupakan seorang kaki perempuan berusia 40 tahun. Dia menjalani kehidupannya seperti biasa dengan berparti sehinggalah dia mendapat tahu bahawa dia mempunyai anak perempuan bernama Tia bersama seorang wanita. Situasi menjadi semakin rumit apabila dia mendapat tahu anaknya itu sedang mengandung. Saksikan filem yang cukup menarik dan menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 31 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem bollywood yang cukup menarik berjudul Jawaani Jaaneman bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 31 Januari 2020 yang lepas. Kami sangat menyukai filem ini yang bijak di dalam memaparkan kisah perhubungan antara seorang ayah dan anak perempuan yang mana pertemuan ini berlangsung tanpa pengetahuan si bapa dan mengambil masa selama 21 tahun untuk ianya betul-betul terjadi. Menariknya apabila setiap elemen kejutan ini kelihatan sangat segar mengambil kira tahap kematangan si ayah yang masih belum mencapai tahap sepatutnya di dalam berhadapan dengan seorang anak gadis yang walaupun muda namun mempunyai ciri-ciri kedewasaan yang bagus di dalam menghadapi kehidupannya yang mendatang.
Filem Jawaani Jaaneman sememangnya tidak membuang masa pada bahagian pertamanya di dalam memberi penerangan tentang watak-watak utama serta plot-plot menarik yang berlaku terhadap dua watak utama iaitu Jazz dan Tia. Detik-detik menarik boleh dilihat dimana watak lelaki 40-an iaitu Jazz yang tidak meminati perkahwinan atau berkeinginan untuk mempunyai sebuah keluarga kerana baginya itu semua menyekat kebebasannya sebagai seorang lelaki. Jadi, kehidupannya sentiasa dipenuhi dengan aktiviti pesta dan mabuk bersama pelbagai jenis wanita muda dan cantik. Jadi, bayangkan apabila seorang bapa cuba menggoda seorang gadis yang sebenarnya merupakan anak sendiri dan kemudian mengetahui bahawa gadis tersebut adalah anaknya. Kegilaan ini yang berjaya dipaparkan dengan cukup baik di dalam filem ini menggunakan gabungan elemen drama serta komedi yang menjadikan penyampaiannya ringan tetapi sampai kepada penonton.
Filem Jawaani Jaaneman ini dilihat sangat menarik pada bahagian pertama dimana ianya langsung tidak menghakimi sebarang watak atau menggunakan watak lain untuk menghakimi watak-watak utama di dalam filem ini. Ia dapat dilihat kepada watak anak perempuan Jay iaitu Tia yang langsung tidak pernah berkata buruk atau menghukum bapanya yang telah menggoda dirinya atau atas sebab kisah lampau. Begitu juga dengan keluarga Jay dimana watak ibu Jay lakonan Farida Jalal sangat menonjol saat mengetahui bahawa Tia merupakan cucu perempuannya. Hal ini dilihat menarik dimana secara logiknya juga watak ibu Jay ini memberi cerminan kepada penonton tentang mengapa perlu masyarakat terutama ibu bapa memberi persepsi buruk atau hukuman terhadap individu atau darah daging mereka (cucu) yang sememangnya tidak bersalah atau tahu apa-apa tentang perlakuan dan tindakan ibu bapa mereka pada masa silam. Begitu juga bagaimana filem ini memaparkan kekesalan watak Jay lakonan Saif dengan cukup baik tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan kejituan watak tersebut yang mustahil untuk mengubah cara hidup yang diamalkan selama lebih 20 tahun. Filem ini tidak menggunakan ceramah atau dialog berjela-jela untuk menyedarkan penonton tentang kesilapan yang dilakukan oleh watak-watak ini. Sebaliknya, ia menggunakan isi penceritaan itu sendiri untuk menyedarkan manusia-manusia seperti Jay ini tentang tanggungjawab dan dosa-dosa lampau apabila perkara yang sama berlaku kepada anak perempuannya Tia yang sedang mengandungkan cucu Jay. Menarik untuk melihat bagaimana Jay pada mulanya sangat memarahi lelaki yang telah menyebabkan anak perempuannya mengandung sebelum dia sendiri tersedar lebih awal bahawa dia telah melakukan perkara yang sama dan hasilnya ialah anak perempuannya yang berada di hadapan mata. Pada kami, kisah lelaki liar bernama Jay di dalam filem Jawaani Jaaneman ini sememangnya menarik dan berjaya dipaparkan dengan cemerlang.
Filem Jawaani Jaaneman ini juga bukan sekadar hidup disebabkan oleh dua pelakon utama ini sahaja tetapi juga dikukuh lagi dengan watak-watak pembantu yang lain. Misalnya pelakon Kubbra Sait yang hadir cemerlang di dalam adegan-adegan yang melibatkan dirinya dengan Saif. Menarik untuk melihat bagaimana watak wanita ini menerangkan tentang kematangan serta lelaki yang matang menurut pandangan sendiri yang berjaya menyentak jiwa Jay tentang apa yang lelaki ini hilang sebelum ini. Selain itu, persembahan lakonan Saif Ali Khan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi dimana pelakon ini sememangnya berjaya menghidupkan watak Jay dengan cukup baik. Disaat artis lelaki bernama Khan yang lain asyik mengejar filem serta watak yang kedengaran tinggi darjatnya, Saif pula sebaliknya dimana pelakon ini hanya memilih watak-watak sebegini tetapi bijak memberikan keistimewaan dan keunikan yang membuatkan Saif kini semakin disegani peminat Bollywood. Kehadiran pelakon muda iaitu Alaya F juga dilihat sangat menyerlah dimana naskah yang dipilih untuk kemunculannya ini boleh diibaratkan benar-benar membantunya untuk dikenali dan diminati. Persembahannya yang dilihat bertenaga dan menawan ditambah tanpa elemen melodrama yang klise berjaya menghidupkan watak Tia dengan cukup cemerlang. Manakala kemunculan Tabu pula dirasakan sedikit samar-samar dimana kehadirannya tidak memberi terlalu banyak keistimewaan kepada filem ini. Filem Jawaani Jaaneman ini mempunyai keistimewaan di dalam isi penceritaannya yang pada asasnya berat tetapi berjaya disampaikan dengan cara penceritaan yang ringan. Elemen humor juga menjadi. Mesej-mesej tentang kekeluargaan juga berjaya memberi impak kepada kami yang menonton. Secara keseluruhan, kami sangat mengesyorkan para peminat filem Bollywood untuk menonton filem yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda.
Jadi, selamat menonton filem Jawaani Jaaneman di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 31 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tamil Yang Melucukan Berjudul Dagaalty. Nantikan Ulasannya!
0 Ulasan