Review Filem Scoob!

Filem:
Scoob!

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Tony Cervone

Genre:
Animasi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Will Forte, Mark Wahlberg, Jason Isaacs, Gina Rodriguez, Zac Efron, Amanda Seyfried, Kiersey Clemons, Ken Jeong, Tracy Morgan, Frank Welker & Etc.

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan:
6 Ogos 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan bagaimana Scooby dan Shaggy bertemu dan menjadi rakan baik, termasuk bagaimana Mystery Inc. ditubuhkan bersama detektif muda Fred, Velma dan Daphne. Mereka berdepan cabaran terbesar apabila perlu menyelamatkan dunia dengan cuba menghalang roh anjing bernama Cerberus daripada dibebaskan. Pada masa yang sama, mereka juga mula mengetahui mengenai legasi rahsia dan takdir Scooby. Saksikan filem animasi yang melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 6 Ogos 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem animasi yang menghiburkan iaitu Scoob! bertempat di TGV Sunway Pyramid pada 6 Ogos 2020 yang lepas. Walaupun filem animasi ini bukanlah terbaik seperti yang diharapkan namun ia masih berjaya menawarkan elemen-elemen lucu yang diperlukan tatkala pawagam-pawagam di Malaysia pada waktu kini banyak menawarkan majoriti pilihan filem yang mengecewakan. Filem ini dimulakan dengan babak imbas kembali yang menarik tentang bagaimana pertemuan awal antara Shaggy dan seekor anjing yang dipanggil Scooby-Doo sebelum mereka berdua bertemu dengan tiga lagi rakan baik iaitu Fred, Daphne dan Velma atas insiden tidak sengaja untuk mendapatkan kembali beg gula-gula kepunyaan Shaggy.
Pertemuan tersebut telah menyebabkan mereka secara tidak sengaja telah menyelesaikan satu perkara misteri sebelum tertubuhnya kumpulan Mystery Inc. yang dianggotai oleh mereka berlima. Namun, kemunculan watak Simon Cowell yang memecah belahkan kumpulan berlima ini nampaknya dilihat kurang menyerlah. Ia digarap dengan terlampau mudah untuk membuatkan kami sebagai penonton berasa terpinga-pinga melihat perpecahan kumpulan tersebut yang berlaku secara tiba-tiba dan terlampau mudah tanpa sebagai isu penting. Insiden seterusnya dimana Shaggy dan Scooby diserang oleh sekumpulan robot comel yang ganas sebelum diselamatkankan oleh Blue Falcon, Dynomutt th Dog Wonder serta Dee Dee Skyes sebelum diserang oleh kapal milik watak antagonis iaitu Dick Dastardly juga boleh dikatakan sebagai terlampau tergesa-gesa tanpa ada garapan perkembangan watak yang kemas. Ini menyebabkan penonton-penonton yang baru ingin mengenali watak-watak di dalam filem ini terlepas dan mula sesat untuk mendekati sisi sebenar setiap watak yang muncul secara tiba-tiba ini.
Apa yang lebih mengecewakan apabila filem Scoob! yang caca merba dari sudut perkembangan watak ini sekali lagi mengulangi kesilapan besar apabila mengabaikan 3 watak utama lain yang tidak pentingnya iaitu ahli-ahli Mystery Inc iaitu Fred, Daphne dan Velma di dalam penceritaan filem ini. Ketiga-tiga watak ini boleh dikatakan hilang daripada radar penceritaan filem pada keseluruhan pertengahan kisah filem ini dan ini menyebabkan watak-watak ini tidak dapat memberi kesan mahu pun impak yang lebih kuat kepada penonton untuk diingati. Masalah terbesar filem ini memang tidak disangkal lagi ialah ia sangat berkait rapat dengan watak, perwatakan serta kisah watak-watak ini diangkat serta dikembangkan yang boleh dikatakan gagal untuk menyatu dengan baik.
Filem Scoob! cuba menerapkan tema serta nilai-nilai murni berkaitan persahabatan yang dapat dilihat pada hubungan watak Shaggy dan Scooby serta hubungan mereka berdua dengan ahli-ahli Mystery Inc iaitu Fred, Daphne dan Velma. Namun, disebabkan masalah-masalah yang kami nyatakan sebelum ini telah menyebabkan filem ini gagal diselamatkan dari sudut tersebut. Segala isi berkaitan persahabatan ini dilihat terlalu mentah dan kosong tanpa sebarang perkara hebat yang boleh dikenang, dihayati dan sangat jauh untuk meyakinkan kami yang menonton. Ia terlihat seolah-olah sebuah filem yang terlampau ringan tetapi bagaikan ingin mencuba untuk menjadi sebagai sebuah filem yang membawa tema yang berat. Sayangnya filem ini tersangat rapuh untuk menyokong apa yang ia cuba perjuangkan pada naskah ini.
Namun, elemen komedi bersahaja yang digunakan di dalam penceritaan filem ini sedikit sebanyak berjaya menghiburkan kami yang menonton filem animasi Scoob! yang berdurasi sekitar 1 jam 30 minit ini untuk masih kekal terhibur menyaksikan kesudahan penceritaannya sehingga ke akhir kisah. Tidak terlalu mengecewakan untuk ditonton jika anda inginkan naskah yang ringan dan melucukan. Namun, jangan terlalu mengharap lebih kerana sememangnya filem ini tidak berupaya untuk mengotakan impian tinggi yang anda angankan sebelum ini.
Jadi, selamat menonton filem animasi Scoob! ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 6 Ogos 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Jepun Yang Diadaptasi Daripada Kisah Benar Iaitu Fukushima 50! Nantikan Ulasannya Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan