Filem Fukushima 50 ini boleh dikatakan bermula dengan cukup baik pada suku pertama penceritaannya dimana premis ini telah mengotakan janji untuk membawa kami sebagai penonton untuk merasai sendiri debaran serta ketakutan dengan babak-babak kejadian gempa bumi serta tsunami yang dipaparkan dengan visual yang betul-betul tampak cukup nyata. Ia seakan-akan kami melihat kejadian sebenar di hadapan mata dan ini adalah satu perkara yang kami cukup suka tentang filem ini. Tidak perlu buat kami untuk menunggu terlalu lama kerana filem ini sememangnya cukup tegas dan pantas di dalam menyatakan pendiriannya dengan memaparkan segala kejadian menarik pada peringkat awal filem ini.
Filem Fukushima 50 menjadi lebih menarik apabila ia tiba kepada bahagian pertengahan dimana kami melihat bagaimana budaya masyarakat Jepun di dalam menjaga amanah pekerjaan sehingga sanggup menggadai nyawa sendiri demi untuk mengelakkan lebih banyak nyawa yang terkorban. Elemen emosi serta budaya nyata masyarakat Jepun ini sememangnya kelihatan janggal jika dibandingkan dengan filem-filem berkonsepkan kejadian sebenar daripada negara-negara luar yang lain. Namun, inilah keistimewaan yang ada pada masyarakat mereka yang membuatkan filem ini kelihatan cukup luar biasa dari segi nilai kemanusiaan. Namun, menariknya juga apabila filem ini pada masa yang sama turut memaparkan nilai-nilai kemanusiaan daripada golongan atasan yang sememangnya semakin terhakis dan pada masa yang sama turut bertindak di luar kawalan serta kepakaran yang mereka miliki. Kami melihat hal ini cukup baik dan ianya juga boleh dikaitkan dengan situasi di negara kita sendiri apabila melihat tentang isu mengawal penularan virus Covid-19. Apabila masalah-masalah ini diberikan kepada yang bukan pakar yakni ahli politik maka bencana yang lebih besar bakal tiba. Namun berbeza apabila masalah ini diberi kepada mereka yang arif di dalam bidang berkaitan dan pastinya akan ada solusi yang paling terbaik untuk menyelesaikan masalah genting seperti mana yang dapat ditonton di dalam filem ini. Pertembungan antara ilmu, kuasa, nilai nyawa serta masa yang terhad membuatkan filem ini sentiasa berjaya memberikan debaran yang cukup mengujakan kami.
Namun, apa yang membuatkan filem ini agak mengecewakan ialah apabila tiga perkara utama gagal di dalam kombinasi yang cuba digabungkan pada bahagian kedua filem ini. Pertama sekali ialah tentang bilangan 50 orang pekerja yang cuba dipaparkan dimana hanya kisah beberapa orang sahaja yang diceritakan. Manakala yang selebihnya sekadar sebutan tanpa ada unsur penceritaan yang jelas. Kedua ialah perkembangan kisah watak yang disulam dengan elemen emosi yang kurang menyengat. Hal ini berikutan kisah-kisah emosi melibatkan unsur kekeluargaan yang lewat dipersembahkan dan ianya kurang mencengkam sewaktu filem ini gagal untuk memberikan aksi klimaks kejutan pada bahagian akhir filem ini. Perkara ketiga yang semestinya membuatkan kecemerlangan awal filem ini dibahagian pertamanya terbantut disebabkan penceritaan berkaitan reaktor nuklear yang kurang jelas. Penerangannya hanya sepintas lalu dan ia semestinya membuatkan kami serta penonton-penonton yang kurang arif dari sudut kimia ini agak terpinga-pinga dan hanya sekadar menyaksikan apa sahaja yang dipertontonkan kepada kami. Gambaran yang diberi tidak terlalu menyeluruh dan ianya dilihat kurang memberi impak pada bahagian akhir filem ini. Kesimpulannya, kami melihat filem Fukushima 50 ini secara zahirnya berjaya membuatkan kami lebih dekat tentang dunia nuklear yang sememangnya cukup asing buat masyarakat Malaysia yang tidak menggunakannya sebagai sumber tenaga utama sehari-hari. Secara tidak langsung juga kami dapat belajar bahawa setiap perkara itu pasti ada kebaikan dan keburukannya yang sukar diramal atau ditangani oleh manusia saat ia berhadapan dengan amukan alam semulajadi. Apa-apapun, filem ini masih menarik untuk ditonton dan memberi kita peluang untuk melihat sendiri wira-wira Fukushima 50 yang berjaya menyelamatkan negara mereka daripada musnah akibat radiasi nuklear yang menakutkan ini.
0 Ulasan