25/07/19

Review Filem BoBoiBoy Movie 2


Filem:
BoBoiBoy Movie 2

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Nizam Abdul Razak

Genre:
Animasi, Pengembaraan & Lucu

Pelakon:
Nur Fathiah Diaz, Fadzli Mohd Rawi, Dzubir Mohammed Zakaria,
Wong Wai Kay, Nur Sarah Alisya Zainal Rashid, Yap Ee Jean & Etc.

Tarikh Tayangan:
8 Ogos 2019

Pengedar:
Astro Shaw

Sinopsis:
Filem animasi BoBoiBoy Movie 2 ini mengisahkan BoBoiBoy dan rakan-rakannya yang diserang oleh Retak'ka yang merupakan pengguna asal Kuasa Elemental yang dimiliki BoBoiBoy pada ketika ini. Retak'ka ingin merampas semula kuasa tersebut untuk menguasai galaksi. Jadi, BoBoiBoy dan rakan-rakannya perlu mencari cara untuk menghalang niat jahat musuh mereka yang penuh misteri ini sekali gus menyelamatkan galaksi dari ancaman Retak'ka. Saksikan filem animasi yang melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 8 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:
Alhamdulillah Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak Astro Shaw untuk menghadiri tayangan media untuk filem BoBoiBoy Movie 2 bertempat di MBO Starling pada 24 Julai 2019 yang lepas. Memandangkan terdapat embargo yang dikenakan kepada media yang datang menonton maka ada beberapa perkara yang kami tidak dapat kongsikan dengan anda semua sehinggalah 18 Ogos 2019. Jadi, ulasan kali ini lebih bersifatkan secara dasar tanpa terlalu memberi fokus kepada sesuatu perkara. Namun, kami akan mengemas kini ulasan ini dengan lebih padat selepas melepasi tarikh tersebut.


Para peminat BoBoiBoy pastinya sudah arif bahawa filem BoBoiBoy Movie 2 yang menelan kos belanja sekitar RM7 juta ini adalah kesinambungan daripada siri Boboiboy Galaxy yang berkaitan dengan bola sphera kuasa. Jadi, pada filem BoBoiBoy Movie 2 ini dapat dilihat bagaimana watak utama BoBoiBoy dan rakan-rakannya berhadapan dengan sebuah watak baru yang merupakan musuh utama mereka di dalam filem kali ini iaitu Retak'ka yang sebenarnya merupakan pengguna asal Kuasa Elemental. Jadi, para penonton akan dibawa untuk mengenali dengan lebih dekat tentang salah silah kehidupan Retak'ka dan kaitannya dengan kuasa tersebut.


Pada pandangan kami, kekuatan utama filem BoBoiBoy Movie 2 sebenarnya terletak pada penggunaan frasa dialog watak-wataknya yang bersifat komikal, gila-gila dan penuh dengan unsur humor. Kami sangat terhibur dengan watak-watak yang mempunyai elemen yang disebut-sebutkan ini seperti Papazola, Gopal dan Probe yang sangat mencuit hati. Dibantu pula dengan watak cilik Pipi Zola yang merupakan anak perempuan kepada Papazola telah berjaya menggamatkan lagi ketawa kami dengan aksi-aksi lucunya yang comel dan bersahaja. Lawak-lawak komikal ini sememangnya kelihatan sangat spontan dan adakala sukar dijangka yang membuatkan kami sentiasa ketawa riang sepanjang menonton filem animasi ini.


Filem BoBoiBoy Movie 2 juga dipenuhi dengan elemen aksi-aksi perlawanan mahu pun pertarungan menarik serta dramatik yang membuatkan anda sentiasa konsisten untuk menonton babak-babak penting di dalam keseluruhan filem ini. Babak-babak aksi ini dilihat menambah kekuatan kepada elemen humor yang telah berjaya mencengkam jiwa kami sejak dari awal lagi filem ini berlangsung.


Cuma kami melihat kualiti animasi yang terdapat di dalam filem BoBoiBoy Movie 2 ini ada turun naiknya dimana ia kelihatan tidak konsisten. Walaupun kami sememangnya tidak arif berkaitan dengan penghasilan animasi namun hasil daripada tinjauan dan juga pertanyaan kami kepada beberapa pihak yang terlibat di dalam bidang animasi telah membantu kami memberi penilaian dari sudut tersebut. Hasil pengalaman tontonan kami sendiri untuk keseluruhan filem, dapat dilihat ada beberapa babak yang menampilkan hasil visual animasi yang cukup menawan. Selebihnya hanya bersifat sederhana dan ada yang biasa-biasa sahaja. Kami tidak pasti adakah kualiti penghasilan animasi ini berkait rapat dengan waktu yang diambil untuk menyiapkan filem animasi ini kerana kami difahamkan oleh pihak Monsta bahawa filem ini mengambil masa yang agak cepat juga untuk proses penghasilannya iaitu sekitar dalam tempoh 12 bulan sahaja.


Filem BoBoiBoy Movie 2 juga bukannya sekadar sebuah filem animasi yang dihasilkan untuk tontonan kanak-kanak kerana ia juga telah berjaya disesuaikan untuk turut menarik perhatian penonton dewasa. Permainan plot ceritanya juga dilihat agak menarik kerana terdapat beberapa permainan serta perubahan plot yang bakal membuatkan anda terkejut dan teruja apabila menyaksikan filem animasi ini nanti. Kami akan mengulas lebih lanjut tentang hal ini selepas 18 Ogos 2019 nanti dengan menambah ulasan kami di dalam artikel ini. Nantikan ulasan penuh kami pada waktu tersebut!


Jadi, selamat menonton filem animasi BoBoiBoy Movie 2 di lebih 144 buah pawagam di seluruh Malaysia, 8 buah pawagam di Singapura, 4 buah pawagam di Brunei, 150 pawagam di Indonesia dan 120 pawagam di Vietnam bermula pada 8 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Psiko Berjudul Ma. Nantikan Ulasannya!

10 ulasan:

  1. tak kuar plak sampai Thailand yer? mujur nak balik cuti bulan 8 nanti, hero sorang tu la...sibuk ngan boboi boy dia...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      okay lah
      bawa hero pergi tengok Boboiboy
      mesti dia suka

      Padam
  2. Nak tgk jugak.....best lah movie boboiboy....

    BalasPadam
  3. Ma dah ulas kan sblum ni..review Anna la bos..

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak sure lagi nak tonton Anna ke tak...hahahaha

      Padam
  4. Best giler, nak repeat lagi. Terbaik!

    BalasPadam
  5. yg boboiboy 1st tu pun best, harapnya yg ni best mcm dulu jgk la... tp kira bangga jgk la... malaysia ada filem animasi yg kira meletops gini

    BalasPadam
    Balasan
    1. saya suka yang kedua nih sebab kelakar dan banyak aksi :)

      Padam