Review Filem Curses


Filem:
Curses

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Jit Kamnoedrat

Genre:
Seram

Pelakon:
David Asavanond, Sonthaya Chitmanee, Chinawut Indracusin, 
Wanpiya Omsinnoppakul, Thana Chatborirak, Autrud Kongrasree & Etc.

Tarikh Tayangan:
25 Julai 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem seram Thai ini dibahagikan kepada tiga bab. Bab pertama berjudul "Wicked", berlatar belakangkan zaman pemerintahan Raja Rama VI dan mengisahkan sebuah kampung yang terletak jauh di dalam hutan. Ia telah diganggu dengan pelbagai kejadian aneh yang dipercayai angkara sumpahan. Bab kedua, "Tattoo", adalah tentang sumpahan kejam melalui dakwat yang dikenakan pada kulit mangsa menyebabkan mereka disumpah sehingga mati. Dalam bab ketiga dan terakhir, "Wife`s Curse" menceritakan seseorang yang terkena pelbagai sumpahan sehingga tiada perkara baik boleh memadamkannya. Takdir hidupnya bergantung pada sumpahan tersebut. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 Julai 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak GSC Movies untuk menghadiri tayangan filem Curses bertempat di GSC Paradigm Mall, Petaling Jaya pada 23 Julai 2019 yang lepas. Filem ini menampilkan tiga kisah yang berbeza dan tidak menyatu antara satu sama lain. Namun satu persamaan ketara antara ketiga-tiga cerita yang terdapat di dalam filem ini ialah ianya berkaitan dengan sumpahan.


Kisah pertamanya telah membawa kami melihat era dahulu kala yang memaparkan kisah seorang wanita yang menyumpah manusia-manusia jahat yang membuli dan menganiaya dirinya agar mati dalam keadaan terseksa dan dasyat. Bagi kami, penceritaan untuk kisah pertama ini tiada sebarang keistimewaan yang menarik dimana dapat dilihat formula yang diguna pakai seperti kitar semula daripada filem-filem seram Thailand yang lain. Babak seram atau kejutan yang menggunakan jump scare pula tidak memberi kesan kepada kami namun kami lihat kebanyakan penonton berjaya dikejutkan dengan babak-babak seram di dalam kisah pertama ini. Sinematografi untuk kisah pertama ini juga dilihat kurang memuaskan dan teknik solekan ngeri yang dipraktikkan kepada beberapa watak seramnya juga dilihat lemah. Secara keseluruhan untuk kisah pertama ini, kami kurang teruja dan tidak berapa gemarkannya.


Kisah kedua filem ini merupakan kisah yang kami paling suka antara ketiga-tiga kisah. Ia berkaitan dengan sumpahan yang menggunakan tatoo bagi memastikan orang yang disayangi menjadi hak milik si pengamal ilmu hitam itu. Kami sukakan olahan ceritanya yang mempunyai misteri serta menimbulkan persoalan-persoalan menarik sebelum ianya dimuktamadkan pada pengakhiran kisahnya. Menarik juga untuk dilihat bagaimana kisah kedua ini berjaya memanfaatkan teknik jump scare, sinematografi serta gerak kerja kemejanya di dalam suntingan beberapa adegan yang berjaya memberi jaminan bahawa babak tersebut sememangnya menyeramkan dan penuh dengan kejutan. Sebuah kisah yang tidak membenarkan anda untuk membuat ramalan mudah dan ianya sangat menarik buat kami yang menonton.


Seperti biasa filem-filem berkonsepkan kisah 3 dalam 1 ini pasti akan meninggalkan kisah yang paling menarik pada kisah ketiga atau terakhir filem ini. Inilah juga yang terjadi kepada filem Curses. Bak kata rakan kami, filem Thailand ini tidak sah jika tidak ada watak lelaki lembut atau lelaki skema dan akhirnya ia menjadi kenyataan pada kisah ketiga ini. Berlainan dengan kisah pertama dan kedua yang kelihatan serius, kisah ketiga ini dipenuhi dengan banyak adegan komedi yang berjaya digabungkan dengan elemen seram menjadikan kisah terakhir ini berjaya menggamatkan suasana penonton dengan gelak tawa penonton. Walaupun kami cukup terhibur dan pada masa yang sama berasa agak seram dan ngeri sewaktu menonton kisah ketiga ini, namun klimaks nya pada kami sangat mudah diramal dan ramalan kami benar belaka. Maka sebab itu, kami lebih menyukai kisah kedua berbanding kisah ketiga dari sudut jalan cerita. Secara keseluruhannya, filem Curses masih menarik untuk ditonton dimana anda pasti akan merasa seram dan terkejut dengan kejutan-kejutan yang telah disiapkan khas untuk anda sewaktu menonton nanti. Cuma pada kami, jangan terlalu menaruh harapan yang tinggi dari sudut keunikan jalan cerita. Apa yang anda boleh harapkan ialah dari segi kejutannya yang banyak bergantung kepada teknik jumpscare. Selain itu, ianya hanya sekadar sebuah filem ini untuk anda menguji ketakutan dan berhibur pada waktu yang sama.


Jadi, selamat menonton filem Curses di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 25 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Psiko Berjudul Ma. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Hmmm... penilaian Hans 5/10 sahaja tapi tak apa, PH nak pergi tonton. Hari tu dah tengok Krasue : Inhuman Kiss. Tak suka. hah...hah...

    BalasPadam
    Balasan
    1. ada story dia yang Hans suka
      ada yang Hans tak berapa gemar
      PH tengok lah sendiri sebab kawan-kawan Hans yang tengok pun suka story lain-lain
      hehehe

      Padam