Review Filem Doraemon: Nobita's Chronicle Of The Moon Exploration


Filem:
Doraemon: Nobita's Chronicle Of The Moon Exploration

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Shinnosuke Yakuwa

Genre:
Anime

Pelakon:
Wasabi Mizuta, Megumi Ohara, Yumi Kakazu, Subaru Kimura, Tomokazu Seki & Etc.

Tarikh Tayangan:
25 Julai 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Nobita yang pada mulanya diketawakan oleh rakan-rakannya apabila dia memberitahu yang dia percaya terdapat hidupan arnab di bulan selepas berita berkenaan tular di dalam rancangan berita di televisyen. Tetapi, selepas Doraemon memberinya "Lencana Kelab Penjelajah Sejarah", mereka mendapati terdapat seorang yang misteri tinggal jauh di hujung bulan. Nobita, Doraemon dan rakan-rakan mereka memulakan pengembaraan ke bulan namun dihalang oleh Diabolo dan pengikutnya yang mempunyai niat jahat untuk memusnahkan bumi. Berjayakan mereka menghalang niat jahat Diabolo? Saksikan filem animasi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 Julai 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Doraemon: Nobita's Chronicle Of The Moon Exploration bertempat di GSC One Utama pada 25 Julai 2019 yang lepas. Ini adalah pengalaman pertama kami menonton filem Doraemon di layar perak kerana sebelum ini kami hanya berpeluang menontonnya di televisyen sahaja pada musim perayaan. Namun, kami sememangnya lebih gemar menonton Doraemon di dalam versi filem berbanding siri pendek kerana watak Nobita di dalam filem adalah jauh lebih bijak dan sedikit berdikari berbanding jika anda menonton watak ini di dalam siri pendek.


Apa yang menjadikan filem-filem Doraemon ini sentiasa menarik perhatian para peminatnya adalah kerana keunikan intipati kisah yang diguna pakai di dalam jalan cerita setiap filemnya. Ianya boleh dikatakan sangat segar setelah diberi suntikan baru serta penambah baikan yang menjadikan kisah-kisah dongeng atau mitos yang sudah acap kali kita dengar dapat ditonton di dalam versi yang luar biasa. Ia seolah-olah satu kisah lain yang baru dan hal ini juga dapat ditemukan di dalam filem Doraemon: Nobita's Chronicle Of The Moon Exploration.


Filem Doraemon: Nobita's Chronicle Of The Moon Exploration telah berjaya memikat jiwa kami untuk sama-sama memasuki dunia animasi ciptaan mereka yang dipaparkan di dalam keadaan yang penuh warna-warni. Walaupun animasi yang dihasilkan bukannya bersifat 3D atau live action yang lebih digemari oleh kebanyakkan lapisan penonton zaman kini, namun filem ini tetap mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri yang cukup istimewa disebabkan plot penceritaannya yang kemas, menarik dan sesuai untuk penonton kanak-kanak mahu pun dewasa. 


Memaparkan tentang kisah berkaitan kehidupan makhluk di bulan, anda akan dipertontonkan dengan beberapa perubahan plot atau plot twist yang boleh dikatakan menarik bagi filem animasi seperti ini. Filem-filem Doraemon juga selalunya tidak pernah lari daripada mengetengahkan berkenaan mesej-mesej positif dan nilai murni seperti semangat setiakawan yang tinggi, cintakan keamanan serta mempamerkan sikap-sikap positif di dalam setiap wataknya dimana kesemua ini turut dapat ditemui di dalam filem Doraemon: Nobita's Chronicle Of The Moon Exploration ini.


Secara keseluruhannya, filem Doraemon: Nobita's Chronicle Of The Moon Exploration ini amat berbaloi untuk ditonton oleh para peminat tegar serta penonton yang meminati siri animasi yang masih bertahan sehingga saat ini. Anda bukan sekadar dapat melihat keistimewaannya dari segi jalan cerita, elemen emosi atau pun nilai-nilai murni yang cuba disemaikan di dalam diri penonton terutama kanak-kanak namun pada satu sudut lain, filem ini membuatkan anda begitu terhibur disamping mengingatkan kembali anda kepada zaman sewaktu kecil dahulu. 


Jadi, selamat menonton filem Doraemon: Nobita's Chronicle Of The Moon Exploration di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 25 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Apa Pula Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Semua? Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan