Review Filem Ma


Filem:
Ma

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Tate Taylor

Genre:
Seram

Pelakon:
Octavia Spencer, Luke Evans, Juliette Lewis, Missi Pyle, Allison Janney & Etc.

Tarikh Tayangan:
25 Julai 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Sue Ann yang merupakan seorang wanita kesunyian dan diminta oleh Maggie, seorang remaja baru di pekan Ohio untuk membelikan minuman keras buat dia dan rakan-rakannya. Sue Ann melihat ini sebagai peluang untuk dirinya mendapatkan rakan muda. Dia bersetuju untuk membenarkan mereka melepak dan minum di rumahnya. Peraturan yang dikenakan kepada mereka adalah salah seorang daripada mereka tidak boleh mabuk, mereka tidak boleh melontarkan kata-kata kesat, tidak boleh naik ke tingkat atas dan semua orang perlu memanggilnya Ma. Tanpa diketahui mereka, Sue Ann sebenarnya menyimpan niat jahat yang cukup menakutkan. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 Julai 2019 untuk mengetahui keseluruhan ceritanya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Ma bertempat di TGV One Utama pada 25 Julai 2019 yang lepas. Filem Ma adalah filem seram psiko yang kami nanti-nantikan selepas menonton trailer filem ini yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Namun, harapan kami yang terlalu tinggi menggunung terhadap filem ini nampaknya sia-sia kerana hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Sebaliknya, terdapat begitu banyak kelompongan pada jalan ceritanya serta beberapa perkara yang tidak jelas untuk membantu menyokong perkembangan watak Ma yang kelihatan dibangunkan terlalu tergesa-gesa.


Filem ini bermula dengan babak remaja perempuan bernama Maggie yang perlu menyesuaikan diri dengan rumah serta sekolah barunya. Disini, Maggie bertemu dengan rakan-rakan barunya seperti Andy Hawkins, Haley, Chaz dan Darrel yang menjemput Maggie untuk menyertai parti mereka. Jadi, memandangkan mereka masih di bawah umur untuk membeli minuman keras maka hal inilah yang mempertemukan mereka dengan Ma. Pengenalan Ma dengan mereka kemudiannya mula kelihatan bercampur baur, mengelirukan dan tidak kuat untuk menyokong rasa obses Ma terhadap dendam yang dipendamnya berbelas tahun terhadap ibu bapa kumpulan remaja ini.


Kami menyedari momentum filem ini berjalan agak perlahan dan ada beberapa perkara yang kerap kali diulang-ulang menjadikan filem ini kelihatan mendatar pada bahagian pertengahan cerita. Babak imbas kembali yang mengimbau sejarah kehidupan Ma sewaktu di zaman persekolahannya dilihat telah menghilangkan kejutan yang sepatutnya boleh dilakukan dengan lebih hebat lagi di dalam filem. Hanya dalam suku pertama sahaja anda sebagai penonton sudah mengetahui tentang siapa watak antagonis dan punca watak tersebut menjadi demikian. Jadi, secara tidak langsung filem Ma ini kelihatan terlalu mengambil jalan selamat dari segi penyampaian ceritanya yang menyebabkan elemen dramatik dan kejutan ini tidak dapat diberikan kepada penonton secara maksimum.


Babak-babak gore pada klimaks cerita sedikit sebanyak berjaya menambah seri kepada filem yang sedikit pudar pada sebahagian besar penceritaannya. Kami melihat filem Ma sebenarnya mempunyai segala-galanya untuk dihasilkan sebagai sebuah filem psikologi yang menakutkan dan mengerikan. Sepatutnya naskah ini menjadi sebagai sebuah naskah yang baik namun sayangnya disebabkan olahan ceritanya yang lemah dan mendatar menyebabkan pelakon hebat seperti Octavia Spencer pun tidak dapat menonjol semaksimum yang boleh. Ditambah lagi dengan beberapa watak yang memberikan persembahan lakonan yang kurang hidup dan meyakinkan telah menyebabkan filem ini dilihat semakin lemah di dalam mengekalkan fokus tontonan kami.


Beberapa mesej universal yang melanda pelajar-pelajar di sekolah terutamanya yang berkaitan dengan isu buli telah berjaya disampaikan dengan baik di dalam penceritaan filem ini. Jadi, anda akan memahami kenapa watak Ma menjadi begitu psiko kerana pengalaman yang dilaluinya telah menyebabkan dirinya menjadi tertekan, pendendam dan terlalu bersikap melindungi sehingga anak perempuannya sendiri turut menjadi mangsa tanpa Ma sedari. Cuma kerugian terbesar filem ini ialah jalan ceritanya yang dibina terlalu mendatar, mudah diramal dan berakhir dengan pengakhiran yang kurang memberi kesan kepada diri kami walaupun ianya masih menghiburkan untuk ditonton. Secara keseluruhan, filem ini bukan lah sebuah filem psiko yang kami harap-harapkam selama ini. Naskah ini sebenarnya mampu menjadi lebih baik tetapi apakan daya hasilnya tidak mampu memuaskan hati kami yang menonton. 


Jadi, selamat menonton filem Ma di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 25 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Animasi Dari Jepun Iaitu Doraemon: Nobita's Chronicle Of The Moon Exploration. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

9 Ulasan

  1. Adeh, dh beli tiket.. Tengok dr trailer dh letak harapan tinggi.. Keliru nk pilih antara filem ni atau rocketman.. Lepas ni ade review rocketman tak?..

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak pasti lagi
      hahahaha
      tengok kalau sempat In Sha Allah tengok

      Padam
  2. Saya pilih film AnnA arahan director legend Luc Besson minggu ni... yeah

    BalasPadam
  3. Encik H ni mesti peminat film2 Luc Besson. Seronok dgn aksi ye Hans, Insyaallah saya nak tonton esok, nanti saya bagi ulasan, heheh...

    BalasPadam
  4. Kesini gara2 tayangan premiere di HBO. 28 mei 2020.

    BalasPadam