Review Filem Valimai

 

Filem:
Valimai 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
H. Vinoth

Genre:
Aksi & Jenayah

Pelakon:
Ajith Kumar, Huma Qureshi, Kartikeya Gummakonda & Etc.  

Pengedar:
Lotus Five Star

Tarikh Tayangan:
24 Februari 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang polis yang menjalankan misi memburu kumpulan penunggang motosikal haram yang terlibat dalam kes pembunuhan, ragut, pengedaran dadah dan pelbagai jenayah lagi yang cukup menakutkan. Namun, kumpulan jenayah ini lain daripada biasa kerana mereka susah dijejaki dan menjalankan segala arahan diberikan melalui satu kod rahsia. Berjayakah polis menewaskan kumpulan mereka ini? Saksikan filem aksi yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 24 Februari 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Lotus Five Star untuk menonton sebuah filem aksi yang cukup menarik berjudul Valimai pada 24 Februari 2022 bertempat di MBO Atria


Perkara pertama yang cukup menarik dan menjadi kekuatan buat filem Valimai untuk berjaya mengekalkan tumpuan penonton terhadap durasi filemnya yang lebih daripada 2jam 30 minit ialah koreografi aksi dan permainan kamera yang cukup menakjubkan sekali pada pandangan kami. Tidak dinafikan sememangnya ada penggunaan imej janaan komputer(CGI) tetapi menariknya hampir keseluruhan babak-babak aksi ini dipaparkan dengan visual yang cukup hebat dan kelihatan begitu realistik. Sebut sahaja apakah aksi yang anda ingin saksikan kerana segala-galanya boleh ditonton di dalam filem ini dengan cukup puas. Aksi melompat, terbang, terbalik, dilenyek dan babak pertarungan yang cukup mencemaskan sememangnya berjaya menaikkan adrenalin kami untuk kekal menonton denagn cukup fokus. Setiap babak aksi di dalam filem ini mencapai kualiti yang sangat baik terutama pada dua babak aksi yang sukar untuk dilupakan iaitu bahagian kejar mengejar antara motosikal dan bas polis serta aksi lasak motor cross yang terbang ke udara dimana inilah yang membuatkan filem aksi ini berada di tahap yang tersendiri dan wajar diberi pujian menggunung. Satu sebab lagi untuk menyokong pandangan kami ini ialah walaupun banyak babak aksi di dalam filem ini yang dipaparkan dalam tempoh yang agak lama tetapi kami masih merasakan ianya sangat sekejap disebabkan kehebatan visual yang melalui suntingan yang cukup baik untuk membuatkan ianya bagai tidak terasa lama langsung.


Perkara kedua yang mengangkat filem Valimai ini ke satu tahap yang cukup baik iaitu permainan dan perubahan plot kisahnya yang sentiasa membuatkan kami sebagai penonton teruja dan terhibur. Di dalam kejutan pasti akan ada kejutan lain yang membuatkan  kebanyakan plot ceritanya sukar untuk ditebak lebih tepat daripada selalunya. Agak sukar untuk melihat filem aksi Tamil berteraskan hiburan mediocre seperti ini berjaya menampilkan elemen kejutan yang berulang-ulang kali tanpa ada satu pun cela yang terlihat. Inilah yang membuatkan filem Valimai tidak boleh dipandang enteng.


Perkara ketiga yang turut membuatkan filem Valimai berada di dalam kelasnya yang tersendiri ialah persembahan dan penjiwaan lakonan para pelakon utamanya yang bertindak sebagai protagonis dan antagonis yang cukup cemerlang. Kesempurnaan ini semakin terserlah apabila ianya mempunyai kaitan dengan isu-isu jenayah semasa yang bijak digabungkan dengan kritikan sosial terhadap budaya masyarakat Asia khasnya berkenaan tekanan yang diberikan kepada anak-anak untuk berjaya baik dari segi pelajaran, pekerjaan dan perkahwinan. Perkara ini sememangnya sangat dekat dengan persekitaran masyarakat malaysia sendiri tetapi menariknya pertembungan fikiran generasi muda dan tua ini berjaya di neutral dengan bijak di dalam filem ini untuk membuatkan ianya mempunyai jawapan kukuh untuk membidas kembali pandangan negatif anak muda terhadap isu-isu yang dibangkitkan di dalam filem aksi ini. Secara keseluruhan, filem Valimai bukan sekadar sebuah filem aksi biasa tetapi ianya berjalan dengan cukup baik daripada pelbagai sudut sama ada teknikal, jalan cerita, penghayatan lakonan dan nilai kehidupan yang berpijak di dunia nyata. 


Jadi, selamat menonton filem Valimai yang telah pun ditayangkan bermula pada 24 Februari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan