Review Filem The Batman

 

Filem:
The Batman 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Matt Reeves

Genre:
Aksi & Adiwira

Pelakon:
Robert Pattinson, Zoe Kravitz, Paul Dano, Jeffrey Wright, John Turturro,
Peter Sarsgaard, Jayme Lawson, Andy Serkis, Colin Farrell & Etc.  

Pengedar:
Warner Bros Pictures

Tarikh Tayangan:
3 Mac 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan perjalanan seorang lelaki bernama Bruce Wayne yang berusaha membasmi kejahatan yang wujud di Kota Gotham. Pada awalnya beliau tidak bersemangat untuk melawan kejahatan gara-gara dirinya tidak berpengaruh. Namun, tidak tahan melihat dunia persekitarannya yang penuh dengan penjahat yang korupsi seperti The Riddler yang sangat kejam melakukan jenayah pembunuhan menyebabkan Bruce Wayne berubah dengan cuba menghentikan jenayah tersebut dengan menjadi Batman. Mampukah beliau mengubah landskap jenayah yang semakin berleluasa dan seakan-akan menjadi identiti Kota Gotham? Saksikan filem aksi yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 3 Mac 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Warner Bros Pictures untuk menonton sebuah filem aksi adiwira yang sangat dinantikan oleh peminat filem DC iaitu The Batman yang berlangsung dengan cukup meriah di TGV Sunway Pyramid pada 1 Mac 2022. Kami suka untuk mengingatkan bahawa majoriti daripada kalangan kita sedar bahawa Batman merupakan salah satu adiwira yang sebenarnya tidak mempunyai kuasa sakti tetapi lebih bergantung kepada kecanggihan teknologi ciptaan Alfred untuk dipandang hebat dan berkuasa. Namun, filem Batman versi lakonan Robert Pattinson ini kelihatan cukup berbeza di tangan pengarah Matt Reeves yang berjaya menjadikan filem kali ini lebih gelap, sukar diramal dan boleh dikatakan agak epik pada pandangan kami.


Pemilihan Robert Pattinson yang sebelum ini dikritik ramai peminat tegar Batman nampaknya berjaya 'menutup mulut' sebahagian besar daripada mereka kerana lakonannya di dalam filem The Batman sememangnya luar biasa. Dapat dilihat bagaimana 'keghairahan' pelakon ini di dalam menjiwai watak Batman dengan pembukaan frasa awal dialog pembukaan,"Mereka fikir aku bersembunyi di sebalik bayang-bayang. Tetapi, aku lah sebenarnya bayang-bayang tersebut!" berjaya memacu perkembangan watak ini ke puncak dengan cukup meyakinkan. Kami cukup suka melihat keselesaan Pattinson dalam menghidupkan karakter lelaki bersut hitam ini yang terperangkap di dalam 'kegelapan' yang melambangkan dendam, kesakitan, kesedihan dan kekecewaan yang berjaya disampaikan dengan cukup tenang serta ianya dapat difahami dan diselami dengan mudah. Lebih mengagumkan apabila melihat bagaimana Pattinson berjaya menghidupkan hubungan yang terbina antara watak Batman dan Catwoman yang terlihat dari sudut emosi dan fizikalnya mempunyai keserasian yang jitu. Memang menghiburkan! 


Satu perkara yang cukup menarik perhatian kami tentang filem The Batman ini ialah babak-babak pergaduhan dan pertempuran yang mempunyai seni cukup berlainan berbanding filem-filem Batman sebelum ini. Keterujaan setiap kali menyaksikan adegan bertumbuk dan tembak-menembak di kawasan gelap yang diterangi oleh cahaya tembakan serta dibantu dengan bunyi skor muzik yang cukup gah membuatkan babak-babak tersebut kelihatan cukup besar dan sangat mempesonakan. Babak aksinya bukan sekadar dibuat untuk memuaskan kehendak peminat yang dahagakan aksi-aksi hebat daripada wakta Batman semata tetapi secara konsisten turut membawa mood filem ini sendiri yang sejak awal memberi fokus kepada dua warna utama seperti mana di dalam poster filem ini sendiri iaitu hitam dan merah yang membawa maksud tertentu tentang pandangan dan jiwa karakter Batman itu sendiri.


Kronologi kisah filem The Batman ini nampaknya berjaya memberi fokus kepada perkara-perkara yang penting dan tidak memaparkan babak-babak imbas kembali yang kita sendiri sudah tahu dalam versi-versi filem terdahulu. Cara ianya dikongsikan untuk mengekalkan kisah kehidupan watak Batman itu sendiri adalah sangat bagus dimana filem ini tidak menunjukkan kepada kita bagaimana kisah kematian ibu bapa Batman itu. Sebaliknya, filem ini bijak dengan menggambarkan kesakitan yang dialami oleh watak Batman melalui emosi yang diterjemahkan oleh pelakon Pattinson terhadap reaksi dan emosi wajahnya yang cukup berkesan. Selain itu, bagaimana Kota Gotham divisualkan kali ini juga tampak cukup menarik dimana ianya digambarkan sebagai sebuah kota yang berada di dalam kategori yang cukup parah dek kerana dirosakkan oleh manusia-manusia di atas yang menyalahguna kuasa yang diberi sehingga melahirkan ramai golongan manusia berhaluan kiri seperti The Riddler. Hal ini dilihat menarik kerana pendekatan yang digunakan oleh watak protagonis dan antagonis adalah berbeza tetapi bermotifkan satu perkara yang hampir sama iaitu cuba membersihkan Kota Gotham daripada 'kotoran' hati manusia yang tamak dengan kekayaan. 


Secara keseluruhan, kami melihat filem The Batman ini berjaya membawa sinergi yang bukan sahaja berlainan tetapi pembaharuan yang lebih baik berbanding filem-filem Batman yang terdahulu. Memuaskan dalam banyak aspek dan sememangnya menonton filem yang durasinya lebih daripada 2 jam 30 minit ini bukan sahaja berbaloi tetapi memberikan satu kegembiraan yang cukup menarik apabila dapat melihat sisi lain adiwira Batman yang cukup gelap dan berbeza daripada yang sedia ada. 


Jadi, selamat menonton filem The Batman yang mula ditayangkan di pawagam-pawagam berdekatan anda bermula pada 3 Mac 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan