Review Filem Jujutsu Kaisen 0

 

Filem:
Jujutsu Kaisen 0 

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Park Sung-Hoo

Genre:
Anime

Pelakon Suara:
Megumi Ogata, Kana Hanazawa, Mikako Komatsu, Koki Uchiyama & Etc.  

Pengedar:
ATriNaga Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
10 Mac 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pelajar lelaki sekolah menengah iaitu Yuta Okkotsu yang mempunyai satu masalah serius dimana ramai mengatakan Yuta terkena sumpahan Rika yang merupakan rakan perempuannya semasa kecil yang mati selepas terlibat di dalam satu kemalangan jalan raya. Sumpahan Rika ini bukannya sumpahan biasa dimana Yuta boleh bertindak ganas jika dirinya diganggu atau dibuli oleh samseng sekolah. Hal ini disedari oleh Satoru Gojo yang merupakan seorang guru di Jujutsu High iaitu sebuah sekolah tempat pengusiran syaitan. Gojo meyakinkan Yuta untuk mendaftar supaya Yuta boleh mengawal sumpahan Rika daripada terus mengganas. Namun, perkara sebaliknya berlaku yang mengejutkan mereka. Apakah sebenarnya yang terjadi? Saksikan filem anime yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 10 Mac 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak ATriNaga untuk menonton sebuah filem anime yang yang cukup menarik iaitu Jujutsu Kaisen 0 yang berlangsung dengan cukup meriah bersama peminat setia anime tersebut di TGV Sunway Pyramid pada 5 Mac 2022 yang lepas. Untuk makluman semua, filem anime ini merupakan filem anime blockbuster kedua tertinggi di Jepun selepas Demon Slayer: Mugen Train. Selain itu, filem ini juga merupakan filem prekuel kepada siri anime ini. Jadi, jika anda tidak pernah mengikuti anime Jujutsu Kaisen ini maka tiada masalah langsung untuk menonton filem yang sangat menghiburkan ini.


Ulasan ini akan cuba mengelakkan sebarang pembocoran kisah, plot mahu pun klimaks penceritaan. Secara jujurnya, kami sendiri langsung tidak pernah tahu tentang siri anime ini dan datang menonton dengan diri yang kosong tanpa melakukan sebarang kajian sekali pun terhadap filem ini. Ini disebabkan filem ini merupakan filem prekuel yang menceritakan kembali kisah penting beberapa watak utama yang ada di dalam kisah Jujutsu Kaisen ini. Namun, tanpa disangka kami mulai jatuh hati dengan kisahnya serta karakter watak-wataknya yang menghiburkan.


Filem Jujutsu Kaisen ini akan membawa anda untuk mengenali siapakah watak Yuta Okkotsu ini dengan lebih dekat. Menarik untuk melihat perjalanan watak utama untuk filem ini sama ada secara imbas kembali kisah masa kecilnya mahu pun kisah wataknya yang terkini yang digabungkan dengan cukup menarik dan berjaya disampaikan dengan cukup ringkas tetapi mudah memahamkan penonton seperti kami yang sememangnya tidak tahu apa-apa tentang anime ini. Jadi, setiap kejutan mahu pun permainan plot yang ada di dalam filem anime ini sentiasa berjaya memberikan kejutan serta keterujaan pada waktu yang sama. Serius sejak awal lagi formula tersebut berjaya digunakan dengan jayanya sehingga akhir filem. Memang cukup untuk membuatkan kami berasa sangat teruja!


Pengenalan setiap watak di dalam Jujutsu Kaisen ini juga sememangnya bagus. Terdapat banyak watak di dalam filem ini namun semuanya berjaya diterangkan dengan cukup baik. Kami dengan cepat dapat menangkap karakter serta kelebihan setiap watak tidak kira watak protagonis mahu pun antagonis. Lebih menghiburkan kerana filem anime ini juga turut dipenuhi dengan babak-babak aksi yang cukup tegang sehingga adakalanya membuat kami tidak senang duduk seperti menyaksikan sebuah kisah realiti pula. Namun, ketegangan tersebut turut disulami dengan elemen humor yang membuatkan jalan ceritanya menjadi seimbang dan berjaya membuatkan kami sentiasa fokus sepanjang filem ini berlangsung.


Istimewanya filem anime seperti Jujutsu Kaisen ini ialah bagaimana kisahnya bukan sekadar membawa tema kasih sayang dan persahabatan yang berjaya disampaikan dengan baik tetapi juga elemen-elemen negera Jepun yang cukup menghiburkan. Kami juga kini mulai merasa minat untuk mula mengikuti siri anime Jujutsu Kaisen ini kerana perkembangan kisah dan watak-watak yang cukup menarik. Serius ianya merupakan sebuah filem prekuel yang cukup berbaloi untuk anda tonton di pawagam tidak kira sama ada anda merupakan peminat anime ini mahu pun untuk sesiapa yang baru pertama kali menonton seperti kami. Sebuah filem anime yang sangat disyorkan untuk tontonan dan jangan terkejut jika anda akan menjadi peminat nombor satu siri anime ini selepas menonton.


Jadi, selamat menonton filem anime Jujutsu Kaisen 0 yang mula ditayangkan di pawagam-pawagam berdekatan anda bermula pada 310 Mac 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tamil Yang Menarik Berjudul Etharkkum Thunindhavan! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan