Review Filem Etharkkum Thunindhavan

 

Filem:
Etharkkum Thunindhavan 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Pandiraj

Genre:
Aksi, Drama & Ngeri

Pelakon:
Suriya, Priyanka Arul Mohan, Vinay Rai, Sathyaraj & Etc.  

Pengedar:
Lotus Five Star

Tarikh Tayangan:
10 Mac 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Kannabiran yang merupakan seorang peguam yang berani dan hebat. Beliau merupakan anak lelaki yang sangat menyayangi ibu bapa dan sentiasa dipandang tinggi oleh ramai wanita di kampungnya. Namun segalanya berubah apabila Kannabiran terpaksa berhadapan dengan Inba yang merupakan seorang ahli perniagaan korup dan mempunyai sindiket memperdaya gadis muda dengan perangkap cinta sebelum diperalatkan dengan rakaman video seksual yang memalukan. Kannabiran cuba menyelesaikan masalah tersebut dan hampir berjaya sebelum segala-galanya musnah apabila isterinya pula diperangkap oleh kumpulan Inba. Mampukah Kannabiran menyelamatkan maruah isterinya daripada dimalukan Inba? Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 10 Mac 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Lotus Five Star untuk menonton sebuah filem aksi drama yang menarik berjudul Etharkkum Thunindhavan pada 10 Mac 2022 bertempat di LFS Petaling Jaya. Melihat pelakon utama filem ini iaitu Suriya yang sebelum ini terlibat di dalam filem Jai Bhim dan turut memainkan watak yang sama sebagai peguam, kami sememangnya ingin melihat satu sisi lain yang pelakon ini boleh berikan. Ternyata Suriya berjaya memberikan satu sisi lain watak peguam yang sememangnya cukup berbeza dengan karakternya di dalam filem Jai Bhim.


Filem Etharkkum Thunindhavan arahan Pandiraj ini sememangnya meneruskan legasi filem-filem Tamil yang lain dimana masih kekal menggabungkan formula aksi, komedi dan memilih satu mesej teras sebagai penggerak kepada keseluruhan plot penceritaan. Filem ini menyuarakan tentang suara wanita yang menjadi mangsa kepada serangan video seksual dimana kami melihat mesej yang disampaikan ini cukup kuat, berani dan terbuka. Ianya memang menarik untuk dibincang mahu pun diperhalusi kerana kebenaran kata-kata yang diucapkan watak wanita tentang masalah tersebut sememangnya ada kebenarannya. Tetapi, pada masa yang sama kami melihat penyampaian mesej ini adakalanya agak terganggu dan tidak seimbang apabila muncul adegan-adegan melibatkan watak antagonis utamanya iaitu Vinay. Penggunaan emosi yang adakalanya terlalu berlebihan dan punca kegilaan watak antagonis yang kurang dikembangkan dengan baik di dalam penceritaan dilihat mengganggu kelancaran filem ini untuk memberikan impak yang lebih tinggi terhadap pengalaman tontonan kami.   

Penceritaan filem Etharkkum Thunindhavan ini sebenarnya dimulakan dengan cukup baik dimana elemen komedi yang disuntik berjaya memberikan kesan yang sangat maksimum sepanjang filem ini berlangsung. Dimulakan dengan latar masa lampau yang menceritakan kisah tentang dua kawasan iaitu Thennaadu dan Vadanaadu yang mengalami konflik akibat masalah sebuah pasangan suami isteri yang mana si isteri mengambil keputusan untuk membunuh diri dan mengakibatkan perkahwinan antara dua kawasan ini selepas peristiwa tersebut bagaikan satu perkara yang mustahil. Jadi, bahagian pertama penceritaan yang lebih memberi penekanan kepada hubungan antara watak utamanya iaitu Kannabiran dan Aadhini sememangnya berjaya disampaikan dengan cukup baik. Lakonan watak ibu bapa bagi kedua-dua belah pihak sememangnya cukup berjaya menggeletek hati penonton terutama watak  Anjumani yang merupakan ibu kepada Aadhini. Bahagian pertama boleh dikatakan bergerak dengan cukup lancar dan sangat menghiburkan. Namun kami melihat bahagian kedua filem ini yang dibawakan dengan emosi lebih serius tidak dapat disatukan dengan cukup baik. Tetapi, bertuahnya filem ini kerana ianya berjaya diselamatkan dengan elemen aksi yang memukau, mesej serta suara wanita tentang isu video seksual serta suntikan komedi yang berterusan pada waktu yang tidak dapat diramal sehingga kepada pengakhiran filem ini.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan kilauan bakat pelakon utamanya iaitu Suriya sekali lagi terbukti menyinar dan segar sebagai wira utama filem Etharkkum Thunindhavan ini. Kata-kata keramat berjuang sebagai wira di mahkamah atau wira berpakaian dhoti berjaya melekat dengan cukup mudah di fikiran kami. Ditambah dengan persembahan yang hebat daripada pelakon ini membuatkan kami cukup terhibur sekali. Walaupun filem ini mengalami masalah dalam mengetengahkan isu serangan seksual yang dilihat tidak sekata atau lebih tepat terlalu memberi tumpuan kepada suara wanita yang teraniaya sehingga terlupa untuk melihat sisi negatif kepada punca terjadinya masalah tersebut namun secara keseluruhan filem ini tetap menarik dan mempunyai kualiti yang terbaik.


Jadi, selamat menonton filem Etharkkum Thunindhavan yang telah pun ditayangkan bermula pada 10 Mac 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Berjudul Gila Gusti! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan