Review Filem Gila Gusti

Filem:
Gila Gusti 

Penilaian:
2/10

Pengarah:
Silver Yee

Genre:
Aksi & Komedi

Pelakon:
Syafie Naswip, Aisar Khaledd, Elizabeth Tan, Ayez Shaukat Fonseka, Nor Diana,
Pekin Ibrahim, Nia Atasia Jalaluddin Hassan & Etc.

Pengedar:
MM2 Entertainment & TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
17 Mac 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan dua orang sahabat iaitu Mamat dan Zul yang begitu obses terhadap gusti dan mengidolakan seorang ahli gusti bernama Naga. Apabila Naga tewas dalam perlawanannya akibat pengkhianatan dalaman dan patah semangat untuk terus bergusti, Mamat dan Zul nekad untuk membantu idola mereka mencari semula semangat yang hilang demi memenangi kembali kejuaraan gusti Asia Pasifik. Berjayakah Mamat dan Zul membantu Naga? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 17 Mac 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Horizon Film Entertainment untuk menonton sebuah filem bergenre aksi komedi yang pertama di Malaysia bertemakan gusti profesional iaitu Gila Gusti pada 8 Mac 2022 bertempat di TGV One Utama. Kami melihat filem Gila Gusti ini dimulakan dengan cukup baik pada awalnya dengan terus membawa penonton untuk merasai aura berada di dalam gelanggang gusti dengan memaparkan pertarungan hebat melibatkan Naga dan pesaing-pesaingnya yang lain. Latar gelanggang yang diisi dengan puluhan penonton juga memberikan satu gambaran yang agak meyakinkan untuk kami mempercayai bahawa ia adalah suasana perlawanan gusti yang sebenar. Secara mudahnya walaupun suasananya tidak lah kelihatan terlalu mewah namun ia masih dihasilkan dengan sebaik mungkin dan kami percaya bahawa keseluruhan pasukan produksi sudah melakukan yang terbaik untuk perkara ini.


Filem Gila Gusti sebenarnya menampilkan sebuah jalan cerita yang sebenarnya sangat mudah untuk diramal. Pada asasnya naskah ini mempunyai sebuah kisah yang cukup bagus jika ianya bijak disulami dengan kejutan-kejutan yang menarik. Namun, sayangnya kerana tidak ada sebarang plot twist yang mampu mengejutkan kami. Sebaliknya karya ini lebih terarah kepada elemen komedi yang cuba dicetuskan oleh dua watak utama filem ini yang dilakonkan oleh Syafie Naswip dan Aisar Khaledd. Namun percubaan dua watak ini dalam mencetuskan tawa penonton agak bersimpang-siur dimana adakalanya ia berjaya dan ada waktunya ia gagal sama sekali. Sebagai contoh terdapat beberapa dialog yang mempunyai bahasa ciptaan tersendiri antara dua watak ini dimana kami melihat tidak ada sebarang kewajaran untuk meletakkan dialog sebegitu di dalam babak-babak tertentu. Ini kerana hal tersebut tidak diperkembangkan dengan baik dan punca mereka bercakap sebegitu juga tidak kukuh untuk diterima.


Walaupun filem Gila Gusti menampilkan beberapa orang ahli gusti sebenar untuk terlibat di dalam filem ini, namun kami harus nyatakan dengan jujur bahawa persembahan lakonan dan penjiwaan watak mereka sememangnya masih kelihatan sangat amatur dan ada banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki. Ini kerada ada banyak adegan yang memerlukan permainan emosi serta lontaran vokal yang baik namun mereka dilihat kurang menyerlah sehingga menyebabkan babak-babak tersebut kelihatan lemah dan tidak meyakinkan. Elemen lawak yang digunakan juga dilihat agak terbelakang dan digunakan berulang-ulang yang mana ia membuatkan kami berasa agak janggal pada sesetengah adegan yang sepatutnya menjadi lucu. Selain itu, kami juga melihat plot penceritaannya agak lemah dan berlompong dimana-mana dan agak menyedihkan apabila sejak awal penceritaan lagi rahsia sebenar tentang kisah di sebalik tabir gelanggang gusti ini telah dibocorkan kepada penonton. Jadi, memang tidak ada kejutan terbaik yang boleh diberikan kepada kami untuk diingati. 

Secara keseluruhannya, kami lebih suka untuk menyatakan filem Gila Gusti ini hanya sekadar sebuah filem ringan buat penonton yang ingin bersuka ria sambil melihat pelakon beraksi di gelanggang gusti. Cuma persoalannya disini ialah adakah filem ini mampu menepati selera komedi masyarakat Malaysia yang semakin tinggi dari masa ke masa ini? Jadi, selamat menonton filem Gila Gusti yang bakal ditayangkan bermula pada 17 Mac 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Animasi Berjudul The Bad Guys! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Ada nampak filem ni sekarang tengah dimarketingkan.

    Maaf cakap tapi tak nampak macam menarik ceritanya, tiada tarikan.

    Mungkin sebab saya bukan peminat gusti.

    BalasPadam