Review Filem The Bad Guys

 

Filem:
The Bad Guys 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Pierre Perifel

Genre:
Aksi, Animasi & Komedi

Pelakon:
Sam Rockwell, Marc Maron, Craig Robinson, Anthony Ramos, Awkwafina,
Richard Ayoade, Zazie Beetz, Lilly Singh, Alex Borstein & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
17 Mac 2022

Sinopsis:
Filem animasi mengisahkan sekumpulan perompak iaitu Mr. Wolf, Mr. Snake, Mr. Piranha, Mr. Shark dan Ms. Tarantula yang terlibat dalam banyak kes pencurian lagenda. Mereka akhirnya membuat keputusan untuk berubah menjadi baik. Namun, cabaran terbesar menanti mereka yang menyebabkan hubungan persahabatan mereka berlima mulai goyah. Apa sebenarnya yang berlaku? Saksikan filem animasi yang menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 17 Mac 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures untuk menonton sebuah filem animasi yang sangat menghiburkan iaitu The Bad Guys pada 15 Mac 2022 bertempat di TGV One Utama


Walaupun filem The Bad Guys ini merupakan sebuah filem animasi yang pastinya tertumpu kepada golongan penonton kanak-kanak sebagai sasaran utama mereka, namun menariknya penceritaan filem ini tidak melupakan lapisan penonton dewasa. Kami melihat jalan ceritanya agak menarik dan lari daripada skeptikal filem animasi yang kami jangkakan pada awalnya. 


Filem The Bad Guys seperti biasa mengguna pakai elemen-elemen yang wajib ada dalam sebuah filem animasi untuk memberi kesesuaian kepada tontonan kanak-kanak seperti unsur komedi,  elemen persahabatan, pengajaran dan nilai murni pada penghujung filemnya. Tetapi, berbezanya filem ini kerana ia memaparkan hal-hal negatif dulu dan beransur-ansur mengubah perkara tersebut menjadi positif. Hal ini secara tidak langsung memberi kefahaman kepada penonton cilik untuk memahami tentang realiti sebenar yang bakal mereka tempuhi pada masa akan datang dengan lebih jelas. Kami melihat inilah salah satu keistimewaan terbesar yang ada pada filem ini namun ibu bapa masih diperlukan untuk memberi pemahaman yang lebih mendalam kepada anak-anak mereka sewaktu menonton filem animasi ini nanti.


Kekuatan utama filem The Bad Guys ini semestinya elemen lucu yang memenuhi hampir keseluruhan penceritaan filem ini yang membuatkan kami sentiasa terhibur dan bergelak ketawa melihat keletah watak-watak yang wujud di dalam filem ini. Perkembangan setiap watak dibina dengan agak baik dan perubahan plot yang ada di dalam filem ini agak menarik. 


Cuma sayangnya ada beberapa kisah watak di dalam filem The Bad Guys ini yang pada kami agak lompong dan sebahagian adegan yang dilihat berlangsung dengan tergesa-gesa. Kami turut merasakan kemungkinan besar disebabkan ianya sebuah filem animasi untuk kanak-kanak maka jalan cerita yang dihasilkan agak ringan untuk mudah difahami golongan cilik tersebut. Namun, secara keseluruhan filem ini sangat menghiburkan dan sesuai untuk ditonton seisi keluarga.


Jadi, selamat menonton filem animasi The Bad Guys yang bakal ditayangkan bermula pada 17 Mac 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Berjudul Ambulance! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan