Review Filem Ambulance

 

Filem:
Ambulance 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Michael Bay

Genre:
Aksi, Thriller & Ngeri

Pelakon:
Jake Gyllenhaal, Yahya Abdul-Mateen II, Eiza González, Garret Dillahunt, A Martinez & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
24 Mac 2022

Sinopsis:
Filem yang diadaptasi dari filem Denmark dengan tajuk yang sama ini mengisahkan  William Sharp yang merupakan seorang veteran perang dan memerlukan sejumlah wang yang banyak untuk membiayai operasi pembedahan isterinya. Disebabkan masalah kewangan dan permohonan bantuannya tidak dilayan telah membuatkan Will memilih untuk menerima tawaran Danny yang merupakan saudara angkatnya untuk terlibat di dalam satu rompakan sebuah bank di Los Angeles yang mempunyai simpanan wang tunai bernilai 32 Juta Dollar. Sewaktu rompakan, Willian dan Danny tanpa sengaja telah tertembak salah seorang anggota Los Angeles Police Department (LAPD). Ini membuatkan mereka mula menjadi buruan pihak berkuasa LAPD. Apakah yang bakal terjadi seterusnya? Saksikan filem aksi yang mencemaskan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 24 Mac 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures untuk menonton sebuah filem aksi ngeri yang cukup menarik iaitu Ambulance pada 22 Mac 2022 yang lepas bertempat di TGV IMAX One Utama. Sesiapa yang meminati filem-filem arahan pengarah Michael Bay pasti mengetahui tentang kelebihan pengarah ini dari sudut adegan aksinya yang sentiasa berjaya memuaskan hati penonton yang mencari dan dahagakan perkara tersebut. Jadi, adakah formula yang sama berjaya diaplikasikan di dalam filem Ambulance ini?


Kami melihat filem Ambulance ini mempunyai keunikan daripada beberapa sudut pandang yang membuatkan ianya bukan sekadar sebuah filem aksi yang penuh dengan adegan kejar-mengejar, tembak-menembak, letupan atau pun apa-apa yang berkaitan dengannya. Kami melihat kekuatan utama filem ini datangnya daripada transformasi watak-watak utamanya yang mempunyai karakter serta perwatakan yang berlainan antara satu sama lain. Selain itu, perubahan karakter dan emosi watak-watak utamanya yang dilakonkan oleh Jake Gyllenhaal dan Yahya Abdul-Mateen II sentiasa membantu permainan teknik plot ceritanya berjaya memberi kejutan tanpa disangka kepada penonton seperti kami. 


Keunikan dan perbezaan antara watak Will dan Danny yang dilakonkan oleh Jake Gyllenhaal dan Yahya Abdul-Mateen II di dalam filem Ambulance benar-benar membuatkan filem ini berjaya di isi dengan pelbagai emosi menarik. Secara tidak langsung ianya dapat memaparkan perkembangan hubungan dan konflik adik dan abang ini dengan cukup baik dan mempesona. Kami cukup tertarik melihat perbezaan bagaikan langit dan bumi telah disatukan dengan sempurna dan memberikan hasil yang sangat meyakinkan. Pertembungan antara kekayaan, kekeluargaan, hubungan persaudaraan dan ketaatan kepada negara yang dikhianati membuatkan filem ini mampu berdiri sendiri tanpa perlu bergantung kepada faktor-faktor lain.


Tidak dinafikan filem Ambulance juga sebenarnya mendapat kekuatan daripada babak-babak aksi yang memenuhi sebahagian besar filem ini. Koreografi aksi yang dihasilkan cukup menarik dan menaikkan adrenalin kami sewaktu menonton. Dibantu pula dengan permainan kamera yang bijak dimanfaatkan sehingga membuatkan kami dapat merasai suasana tersebut secara semulajadi. Begitu juga dengan hasil visual yang menggunakan drone dimana ianya cukup jelas dan mengagumkan. Namun, kami tidak nafikan bahawa ada sebahagian babak aksi yang berlangsung terlalu lama sedangkan ianya boleh dipadatkan.  Aksi kejar mengejar yang berulang-ulang telah menjadikan filem ini agak meleret. Namun, adegan yang melibatkan teknik solekan ngeri wajar diberi pujian kerana adegan-adegan ini telah berjaya membuatkan kami berasa meremang dan cemas pada waktu yang sama. 


Filem Ambulance boleh kami katakan sebagai sebuah filem mediocre yang bakal disukai ramai dengan mudah terutamanya buat mereka yang meminati filem aksi. Namun, apa yang mengangkat filem ini ke satu tahap yang lebih tinggi sedikit kerana keistimewaan dan keunikan watak-watak utamanya yang mempunyai pandangan tersendiri tentang sesuatu perkara yang diperjuangkan di dalam penceritaan filem ini. Keseluruhannya, filem ini berbaloi dan menghiburkan untuk ditonton di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem Ambulance yang bakal ditayangkan bermula pada 24 Mac 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Everything Everywhere All At Once! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan