Review Filem Everything Everywhere All At Once

Filem:
Everything Everywhere All At Once 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Daniel Kwan & Daniel Scheinert

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Michelle Yeoh, Ke Huy Quan, Stephanie Hsu, Jenny Slate,
Harry Shum Jr., James Hong, Jamie Lee Curtis & Etc.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
24 Mac 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Evelyn Wang yang merupakan seorang wanita pertengahan umur dan mengusahakan sebuah dobi bersama suaminya. Evelyn menghadapi pelbagai maslaah di dalam hidupnya. Lebih menyedihkan dia dipanggil oleh IRS yang merupakan salah satu organisasi memungut cukai pendapatan dan perniagaan kerana didapati terdapat masalah dalam deklarasi audit cukai syarikat dobinya. Namun, segalanya berubah sewaktu dia berada di bangunan IRS dimana dirinya telah didedahkan kepada dunia multiverse. Di dalam dunia tersebut, Evelyn melihat dirinya di dalam pelbagai jenis karakter dan kebolehan. Jadi, Evelyn mulai memahami dan belajar kemahiran tersebut satu persadu dengan sepantas yang mungkin kerana dia perlu menewaskan Jobu Tupaki yang ingin memusnahkan dunia multiverse dan membunuhnya. Namun, Evelyn sangat terkejut apa mengetahui siapa sebenarnya individu di sebalik nama Jobu Tupaki. Siapakah Jobu Tupaki? Apa kaitannya Evelyn dengan dunia multiverse yang memeningkan kepala ini? Saksikan filem aksi komedi yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 24 Mac 2022 untuk mengetahui jawapannya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Everything Everywhere All At Once pada 28 Mac 2022 yang lepas bertempat di GSC One Utama. Memang satu pilihan yang tepat apabila kami memilih untuk menghabiskan wang saku yang ada dengan menonton filem yang cukup menghiburkan ini. Gabungan komedi, aksi dan emosi yang pelbagai ini dilihat berjaya menyatukan dua konsep iaitu mediocre dan seni di dalam filem ini dengan cukup baik sekali.


Filem Everything Everywhere All At Once ini pada asasnya membawakan sebuah kisah biasa berkenaan hubungan kekeluargaan dan perbezaan pandangan antara suami isteri, anak dan bapa serta ibu dan anak. Kisah sebegini memang tidak asing di kalangan kita dan ianya sudah boleh diramal sejak awal. Namun, yang menjadikan naskah ini lain daripada kebiasaan adalah disebabkan kronologi kisah yang dipaparkan melalui visual yang cukup kreatif sehingga membuatkan tema penceritaannya yang berat pun terasa ringan untuk ditonton. Kegilaan visual dalam pelbagai era berjaya dihasilkan dengan gaya santai yang cukup melucukan dan usaha ini sangat konsisten dibuat sehingga pengakhiran cerita. Memang terbaik!


Ini juga adalah kali pertama kami menyaksikan filem yang menampilkan konsep multiverse yang berlainan daripada filem-filem yang sedia ada. Everything Everywhere All At Once menampilkan watak utamanya iaitu Evelyn yang mampu mempelajari bakat daripada dirinya di dalam dunia multiverse lain. Setiap perubahan yang berlaku pada dirinya juga akan berjaya mempengaruhi dan mengubah dirinya di dalam dunia tersebut dengan cukup pantas. Perkara ini yang membuatkan kami cukup teruja menyaksikan perubahan watak Evelyn ini daripada sekadar seorang wanita cina yang berusia dan hidup dalam kebosanan kepada satu penggembaraan mengubah kehidupan mengikut impiannya. 


Selain itu, filem Everything Everywhere All At Once juga menawarkan elemen komedi yang sememangnya sukar dijangka. Bayangkan susuk tubuh Evelyn ini bukan sekadar berlainan disebabkan karakter dan kerjanya di dunia lain yang sememangnya berbeza. Tetapi, Evelyn juga turut wujud di dalam dunia asing yang tangannya seperti hotdog dan dalam bentu batu-batuan. Memang unsur humor yang mengejutkan dan membuatkan kami tidak segan dan silu untuk ketawa kuat di pawagam. Koreograf aksi kungfu juga berjaya dihasilkan dengan baik, meyakinkan dan memenuhi kehendak elemen komedi dengan cukup baik.


Cuma apa yang mengecewakan kami apabila filem Everything Everywhere All At Once ini seperti mana kebanyakan filem lain yang datang daripada dunia Hollywood yang kini secara terang-terangan dan tanpa segan silu telah menjadikan isu LGBT seakan-akan bukannya satu masalah kepada kehidupan normal manusia. Walaupun ia tidak disampaikan secara terang-terangan namun pada akhirnya filem ini telah mengiktiraf perkara tersebut dengan memberikan sebuah persepsi kebahagiaan yang pada kami telah mencacatkan keseluruhan filem ini yang sepatutnya boleh berakhir dengan lebih baik. Namun secara keseluruhan, filem ini memang menghiburkan, kreatif dan mudah difahami.


Jadi, selamat menonton filem Everything Everywhere All At Once yang telah pun ditayangkan bermula pada 24 Mac 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Morbius! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan