Review Filem Morbius

 

Filem:
Morbius 

Penilaian:
3/10

Pengarah:
Daniel Espinosa

Genre:
Aksi

Pelakon:
Jared Leto, Matt Smith, Adria Arjona, Jared Harris, Al Madrigal, Tyrese Gibson & Etc.  

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment 

Tarikh Tayangan:
31 Mac 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Dr Michael Morbius yang merupakan seorang doktor yang cukup hebat tetapi menghidap penyakit darah yang jarang berlaku dan membawa maut. Dia bertekad untuk mencari penawar kepada penyakit tersebut. Kepandaian Morbius dalam mencari jalan penyelesaian akhirnya membuahkan hasil. Bukan sahaja penawar yang ditemui berjaya menyembuhkan penyakit tetapi turut memberinya kekuatan dan kuasa yang tidak dapat dibayangkan. Namun, tanpa dijangka kesan selepas itu amat buruk dimana Morbius mula dahaga kepada darah manusia dan kehendaknya tidak dapat dikawal lagi. Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Saksikan filem aksi yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 31 Mac 2022 untuk mengetahui jawapannya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Sony Pictures Entertainment Malaysia untuk menonton sebuah filem aksi yang sangat dinantikan iaitu Morbius yang berlangsung dengan cukup meriah di TGV IMAX One Utama pada 29 Mac 2022


Tidak ada banyak perkara menarik yang boleh diperkatakan tentang filem Morbius ini. Kami melihat filem ini tidak ubah seperti sebuah filem yang memaparkan kisah klise tentang mereka yang berubah menjadi adiwira atau antiwira disebabkan insiden tertentu dan diselitkan dengan babak-babak aksi yang mempertemukan watak protagonis dan antagonis pada penghujung filem. Plot penceritaannya juga seakan-akan 10 tahun ke belakang dimana segala konflik yang berlaku tidak memberi impak seperti yang diharapkan. 


Kualiti warna filem Morbius ini juga pada pandangan kami agak lemah. Suka bermain dengan kegelapan malam seperti mana filem Batman namun kualitinya sangat berbeza. Kegelapan yang bercampur dengan kelabu serta ditambah dengan paparan visual dan grafik yang sedikit kabur sememangnya meletihkan mata untuk menghabiskan tontonan filem yang berdurasi sekitar 1 jam 40 minit ini. Gerakan kamera yang sentiasa bergoyang pada babak-babak aksi juga menambahkan lagi senarai kelemahan yang wujud pada filem ini.


Kami tidak pasti adakan penceritaan yang disampaikan di dalam filem Morbius ini mengikuti intipati kisah sebenar yang wujud di dalam komiknya. Namun, jika dilihat jalan ceritanya yang lemah dan penuh dengan lompong terutama terhadap setiap konflik yang dicetuskan di dalam setiap babak, kami dapat simpulkan yang filem ini sememangnya terlalu bergantung kepada babak aksi berbanding jalan penceritaan yang menarik. Kualiti teknik janaan komputer atau CGI di dalam filem ini juga ada naik dan turun dari segi kualitinya. Secara keseluruhan, filem ini boleh kami katakan sebagai sebuah filem yang biasa sahaja. Tidak terlalu buruk tetapi cukup lah sekadar menonton untuk berhibur semata-mata.  


Jadi, selamat menonton filem Morbius yang bakal ditayangkan bermula pada 31 Mac 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Telugu Yang Cukup Hebat Iaitu RRR! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan