Review Filem RRR (Rise Roar Revolt)

 

Filem:
RRR 

Penilaian:
9/10

Pengarah:
S.S. Rajamouli

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
N. T. Rama Rao Jr., Ram Charan Teja, Ajay Devgn, Olivia Morris, Alia Bhatt & Etc.  

Pengedar:
Malik Streams Corporation

Tarikh Tayangan:
25 Mac 2022

Sinopsis:
Filem fiksyen ini mengisahkan dua lelaki iaitu Komaram Bheem dan Alluri Sitarama Raju yang berjuang menentang penjajahan British dan Nizam Hyderabad pada era 1920-an. Namun kedua-dua lelaki ini mempunyai misi yang berlainan dimana Bheem ingin menyelamatkan adik perempuannya yang diambil oleh pihak British untuk dijadikan hamba di bangunan kolonial. Manakala Sitarama Raju pula ingin mencapai gelaran tertinggi sebagai pegawai besar British. Tetapi, ada rahsia tersembunyi yang disimpan oleh kedua-dua orang lelaki ini yang membuatkan mula tercetus satu konflik besar antara mereka. Jangan lupa saksikan filem aksi dari Telugu yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 Mac 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem RRR (Rise Roar Revolt) pada 2 April 2022 yang lepas bertempat di GSC IOI Puchong. Untuk makluman para pembaca filem ini telah mencatatkan rekod di India apabila menjadi antara filem yang mencapai kutipan tertinggi pada minggu pertama tayangannya. Bukan sekadar dilihat berjaya di negara sendiri malahan filem ini turut menarik perhatian dan pujian menggunung daripada penonton di negara luar seperti Amerika dan Britain.


Kami suka untuk menyatakan filem RRR bijak bermain dengan elemen api dan air melalui dua watak utamanya iaitu Komaram Bheem dan Alluri Sitarama Raju. Elemen ini sebenarnya menggambarkan perpecahan dan percanggahan dua pemikiran di dalam masyarakat India seperti mana yang digambarkan melalui pandangan dua watak utama ini yang berbeza tentang kejayaan dan kemerdekaan yang ingin mereka kecapi. Namun, perbezaan ini yang memberi warna kepada filem ini untuk mengangkat karya arahan pengarah S.S. Rajamouli ini pada satu aras yang cukup tinggi dan sangat mengagumkan.


Kekuatan utama filem RRR ini semestinya kepada plot penceritaannya yang cukup berani dan kronologi kisahnya disusun dengan sangat baik. Filem yang sememangnya sarat dengan nilai patriotik ini betul-betul berani untuk memberi gambaran visual tentang pendudukan pihak British di tanah India dengan memaparkan sikap serta ayat-ayat percakapan mereka yang cukup biadap kepada rakyat India sejak dari awal penceritaan lagi. Ungkapan seperti 'Brown Rubbish' dan 'Jangan bazirkan peluru' yang berjaya menaikkan 'rasa marah' penonton telah menjadikan momentum filem ini sentiasa berjaya kekal di kemuncak. Ia ditambah pula dengan permainan penceritaan yang berjaya diubah dan hal ini dapat diaplikasikan dengan cukup baik melalui watak Sitarama dimana perwatakan serta tindakan yang dibuat oleh watak ini berjaya membuatkan ramalan penonton sentiasa tersasar dan berubah 360 darjah. Sangat bijak! 


Begitu juga dengan koreografi aksi yang berjaya dihasilkan dengan cukup menawan. Kami merasakan kos pembikinan filem RRR sememangnya besar dan hasilnya sangat berpadanan dengan baget tersebut. Babak-babak aksi ini turut disokong dengan jumlah pelakon tambahan yang cukup ramai serta teknik solekan ngeri yang betul-betul menyakinkan. Perkara ini sentiasa akan membuatkan adrenalin anda yang menonton sentiasa kekal tinggi kerana setiap babak aksi yang dihasilkan di dalam filem ini benar-benar berkualiti dan memberi impak yang cukup padu kepada pengalaman tontonan anda di dalam panggung wayang. 


Kami juga sangat kagum dengan latar tempat yang ditampilkan di dalam filem RRR ini yang sangat bersesuaian dengan setiap lapis waktunya. Selain itu, props dan busana yang diguna pakai untuk menggambarkan kisah filem ini berlaku pada era 1900-an hingga 1920-an juga sangat meyakinkan. Teknik janaan komputer yang diaplikasikan kepada penciptaan haiwan-haiwan liar hutan juga boleh diterima akal walaupun tidak sempurna seperti haiwan sebenar. Namun, kami harus akui filem RRR sememangnya cukup mengagumkan kami pada setiap detik walaupun kami menonton filem ini pada pukul 12 tengah malam.


Secara keseluruhan, filem RRR merupakan antara filem terbaik India untuk tahun 2022 buat masa ini kerana ia memenuhi skala kecemerlangan kepada hampir semua aspek yang ada. Kisah penceritaannya yang sarat dengan nilai patriotisma serta falsafah kehidupan yang cukup hebat membuatkan karya ini berada pada satu tahap tertinggi yang sukar untuk diperkecilkan. Ditambah dengan elemen-elemen lain seperti sinematografi, kerja kamera serta suntingan yang berkualiti membuatkan filem ini bukan sekadar berjaya mengangkat dan membanggakan negara Asia di dalam memberikan hasil filem yang cukup hebat tetapi secara tidak langsung berjaya memalukan dan menenggelamkan karya-karya filem luar negara terutama Hollywood yang semakin hilang punca dan idea. Setiap kesan yang anda lihat di dalam filem ini sebenarnya berjaya diterjemahkan di luar dunia realiti melalui keseluruhan filem yang hebat ini. Tahniah buat semua yang terlibat di dalam penghasilan filem RRR.


Jadi, selamat menonton filem RRR (Rise Roar Revolt) yang telah pun ditayangkan sejak 25 Mac 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Komedi Berjudul The Lost City! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Nampaknya tonton film RRR lebih berbaloi dari Morbius, heheh...

    BalasPadam