Review Filem The Lost City

 

Filem:
The Lost City 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Aaron Nee & Adam Nee

Genre:
Aksi & Komedi

Pelakon:
Sandra Bullock, Channing Tatum, Patti Harrison, Oscar Nunez,
Da'Vine Joy Randolph, Daniel Radcliffe, Brad Pitt & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
7 April 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang novelis romantis bernama Loretta Sage yang lebih senang hidup menyendiri selepas kehilangan insan yang disayanginya pada beberapa tahun yang lepas. Kehidupannya berubah saat dia bertemu dengan seorang model tampan bernama Alan yang menjadi penghias muka depan novel terbarunya. Namun, konflik mula timbul apabila dia diculik oleh seorang jutawan bernama Abigail Fairfax yang bercita-cita untuk mencari harta karun di sebuah kota yang hilang. Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Saksikan filem yang ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 7 April 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures untuk menonton sebuah filem aksi komedi iaitu The Lost City pada 6 April 2022 bertempat di TGV One Utama. Menonton trailer filem ini sejak tahun lepas sememang membuat kami ternanti-nanti kemunculan tayangannya di panggung wayang. Kisahnya kelihatan menarik dan lucu namun adakah keseluruhan filem ini bertepatan dengan apa yang dipaparkan di dalam trailer tersebut?


Filem The Lost City ini boleh kami katakan sebagai sebuah filem berbentuk komersial yang mempertaruhkan elemen komedi untuk menarik perhatian penonton. Adegan-adegan lucu yang wujud di dalam hampir sebahagian besar filem ini memberi risiko yang agak besar sebenarnya kepada momentum filem ini. Kami menyatakan demikian kerana hanya separuh daripada lawak tersebut yang betul-betul ada 'punchline' yang kuat dan memberi impak kepada tontonan kami. Selebihnya adalah lawak-lawak yang boleh dijangka serta lawak-lawak yang tidak mampu bersaing dengan 'punchline' sebelum lawak tersebut muncul di layar. Adakalanya kami merasakan seolah-olah dua watak utama filem ini yang dilakonkan oleh Sandra Bullock dan Channing Tatum seperti dipaksa untuk berlawak sepanjang masa tanpa kerelaan mereka.


Menyentuh berkenaan jalan cerita filem The Lost City ini pula, kami berpendapat kisah yang ditampilkan bersifat sehala tanpa ada sebarang permainan plot yang mencabar. Ia lebih berbentuk kepada penceritaan sehala yang sememangnya bersesuaian dengan filem komersial sebegini. Filem ini sangat sesuai buat mereka yang datang untuk berhibur dan bergelak ketawa semata-mata tanpa perlu berfikir kerana segala jawapan disumbat tanpa henti pada setiap waktu. Kisah pengembaraan yang boleh kami katakan agak klise tetapi ianya masih menghiburkan.


Berkenaan dengan imej janaan komputer (CGI) dan sinematografi di dalam filem The Lost City ini pula, kami boleh katakan hasilnya agak cantik dan meyakinkan untuk ditonton terutama babak-babak yang melibatkan kawasan rahsia harta karun yang dipenuhi pokok-pokok hutan yang cantik. Secara keseluruhan, filem ini masih berbaloi untuk anda tonton di pawagam jika anda cuma inginkan hiburan ringan yang melucukan.


Jadi, selamat menonton filem The Lost City yang bakal ditayangkan pada 7 April 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul  Fantastic Beasts: The Secrets Of Dumbledore! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan