Review Filem Fantastic Beasts: The Secrets Of Dumbledore

 

Filem:
Fantastic Beasts: The Secrets Of Dumbledore 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
David Yates

Genre:
Pengembaraan & Fantasi

Pelakon:
Eddie Redmayne, Katherine Waterston, Dan Fogler,
Alison Sudol, Ezra Miller, Jude Law, Mads Mikkelsen & Etc.  

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan:
14 April 2022

Sinopsis:
Filem ketiga dari francais "Fantastic Beasts" yang juga kesinambungan kepada filem "Fantastic Beasts and Where to Find Them" (2016) dan "Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald" (2018) ini mengisahkan ahli sihir Newt Scamander, Jacob Kowalski dan ahli sihir lain telah direkrut oleh Albus Dumbledore untuk menghalang Grindelwald dari rancangan jahatnya untuk memperluaskan kuasanya dan menguasai dunia sihir menerusi kempen pemilihan presiden untuk dunia sihir yang dikenali sebagai International Confenderation Of Wizard. Newt Scamander dan rakan-rakannya juga harus membongkar rancangan jahat Grindelwald di khalayak ramai. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 14 April 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Tiktok Malaysia dan Warner Bros. Pictures untuk menonton sebuah filem yang sangat dinanti-nanti oleh peminat Fantastic Beasts dan Harry Potter iaitu Fantastic Beasts: The Secrets Of Dumbledore pada 12 April 2022 bertempat di GSC The Starling Mall. Untuk naskah kali ini, fokus utamanya diberikan kepada hubungan dua watak iaitu Albus Dumbledore dan Grindelwald yang pada awalnya baik namun segalanya berubah apabila matlamat mereka berdua mula berbeza.

Tidak dinafikan filem Fantastic Beasts: The Secrets Of Dumbledore kali ini lebih menarik berbanding filem terdahulu. Namun, kami harus akui plot penceritaannya masih kurang kemas dan adakalanya teramat bergantung kepada kisah-kisah sebelum ini untuk menarik perhatian penonton. Ianya mungkin tidak sukar buat para penggemar filem Fantastic Beasts mahu pun Harry Potter untuk memahami penceritaan dengan lebih baik namun buat mereka yang baru menonton buat pertama kali filem ini tanpa sebarang rujukan daripada filem-filem tersebut, kami merasakan agak sukar untuk penonton kategori ini bertahan lama kerana umum tahu filem ini menampilkan kisah yang berat dan kompleks daripada sekuel terdahulu.


Walau bagaimanapun, keputusan menggantikan Johnny Depp dengan pelakon Mads Mikkelson untuk watak Grindelwald adalah satu keputusan yang sangat bijak kerana pelakon ini sangat kreatif menghidupkan watak tersebut. Kesuraman dan kegelapan karakter mengikut acuan pelakon ini berjaya menimbulkan satu rasa gerun yang cukup baik sehinggakan kemunculannya di setiap babak amat dinantikan kami. Selain itu, filem ini juga tidak lupa mengekalkan keunikan haiwan-haiwan magis yang ada dan secara tidak langsung cukup membantu momentum filem ini untuk kekal menarik di mata peminat trilogi Fantastic Beasts secara dasarnya. Tetapi, kami secara jujurnya ingin mengucapkan terima kasih buat pengarah dan penulis dimana elemen humor yang dimasukkan di dalam beberapa adegan sememangnya cukup melucukan terutamanya babak tarian ketam merah yang sangat menggeletek hati kami sewaktu menonton.


Selain daripada itu, filem Fantastic Beasts: The Secrets Of Dumbledore juga turut menampilkan kesan khas yang cukup baik terutamanya dari sudut visual lokasi serta impak magik-magik yang digunakan di dalam setiap babak filem ini. Secara tidak langsung, faktor ini berjaya menutup beberapa kelemahan yang ada terutamanya dari sudut kelembapan sesetengah babak yang agak meleret serta pembangunan karakter watak-watak sampingan yang agak tenggelam disebabkan filem ini terlalu memberi tumpuan kepada hubungan Albus Dumbledore dan Grindelwald. Namun, secara keseluruhan filem ini masih menghiburkan dan mampu membawa anda melupai dunia sebenar untuk menikmati dunia magis versi Fantastic Beasts: The Secrets Of Dumbledore.


Jadi, selamat menonton filem Fantastic Beasts: The Secrets Of Dumbledore yang bakal ditayangkan pada 14 April 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem India Yang Sangat Menarik Berjudul K.G.F: Chapter 2! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan