Review Filem Haunted Universities 2nd Semester

 

Filem:
Haunted Universities 2nd Semester 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Kuyteav Jatuphong Rungrueangdechaphat

Genre:
Seram

Pelakon:
James Teeradon Supapunpinyo, Nana Sawanya Paisarnpayak,
Music Praewa Suthamphong, Care Panisara Rikulsurakan & Etc.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
2 Jun 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuah cerita seram di sebuah kampus yang diturunkan dari kelas ke kelas. Terdapat tiga kisah paling menakutkan yang akan diceritakan pada filem kali ini iaitu Katil "C", Sorakan Terakhir dan Bangunan Sains Lama. Saksikan filem seram di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Jun 2022 untuk mengetahui ketiga-tiga kisah seram tersebut.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram daripada Thailand berjudul Haunted Universities 2nd Semester yang telah berlangsung dengan cukup meriah di GSC The Starling Mall pada 31 Mei 2022 yang lepas. Terima kasih kepada Kakimuvee di atas tiket yang diberikan kepada kami untuk kali ini.


Bagi sesiapa yang meminati filem seram Thailand yang berkonsepkan gabungan filem-filem pendek yang dikumpulkan di dalam satu tema pastinya memahami apa yang cuba disampaikan di dalam  filem Haunted Universities 2nd Semester ini. Terdapat tiga kisah yang berlainan tetapi bertemakan satu perkara yang sama iaitu kisah paling seram yang berlaku di sekolah dipertaruhkan di dalam naskah kali ini. 


Ketiga-tiga filem pendek yang terdapat di dalam filem Haunted Universities 2nd Semester ini memaparkan kisah seram yang berlainan namun persamaan yang dapat dilihat disini ialah setiap kisahnya pasti akan memaparkan hubungan silaturahim yang melibatkan salah satu daripada tiga kategori ini iaitu rakan, pasangan atau keluarga. Kami merasakan setiap kisah berjaya menyampaikan mesej tersebut walaupun cara penyampaian kisah-kisahnya agak sederhana.


Unsur seram yang wujud di dalam filem Haunted Universities 2nd Semester ini boleh dikatakan berada di dalam kategori sederhana. Adakalanya keseraman tersebut berjaya menggugat keberanian penonton melalui teknik solekan ngeri yang agak cantik serta permainan sudut kamera yang berjaya meningkatkan suasana seram setiap kisah-kisah yang ada di dalam filem ini. Namun, elemen seramnya juga adakalanya gagal disampaikan dengan baik di dalam beberapa adegan atas beberapa faktor terutama yang berkaitan dengan suntingan filem ini sendiri. Kami menyatakan demikian kerana pada hakikatnya boleh dikatakan hantu-hantu yang ada di dalam ini sudah mempunyai penampilan yang menyeramkan namun disebabkan adegan kemunculannya yang terlampau lama serta suntingan pergerakan hantu tersebut yang agak aneh menyebabkan keseraman bertukar menjadi kelucuan melampau. Sayang sebenarnya kerana keseraman filem ini sepatutnya perlu dikekalkan tetapi momentum tersebut berubah seperti jongkang jongket. 


Namun, kekuatan utama filem-filem seram Thailand yang sememangnya tidak pernah mengecewakan apabila unsur seram tersebut digabungkan dengan elemen komedi yang santai bersahaja. Filem Haunted Universities 2nd Semester juga turut mempertaruhkan salah satu kisah seram komedi di dalam filem ini dan pada kami kisah tersebut yang paling kuat dan betul-betul menghiburkan. Secara keseluruhan, kami boleh nyatakan filem seram ini merupakan sebuah filem yang biasa sahaja tetapi masih menghiburkan untuk anda tonton.


Jadi, selamat menonton filem seram Haunted Universities 2nd Semester yang mula ditayangkan pada 2 Jun 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul Jurassic World: Dominion! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.


Catat Ulasan

1 Ulasan