Review Filem Top Gun: Maverick

 

Filem:
Top Gun: Maverick 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Joseph Kosinski

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
Tom Cruise, Miles Teller, Jennifer Connelly,
Jon Hamm, Glen Powell, Lewis Pullman, Ed Harris & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
26 Mei 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang juruterbang U.S Navy iaitu Kapten Pete "Maverick" Mitchell yang telah berkhidmat lebih tiga dekad dan kini dilantik sebagai seorang mentor penerbangan. Maverick mendapati dirinya perlu melatih sekumpulan generasi baru Top Gun untuk menyertai sebuah misi khas yang sangat sulit, sukar dan merbahaya. Di situ dia bertemu dengan Lt. Bradley Bradshaw yang dikenali sebagai "Rooster" iaitu anak kepada "Goose" yang merupakan bekas rakan baik Maverick, Lt. Nick Bradshaw. Maverick turut mendapati dirinya perlu berdepan dengan ketakutannya sendiri yang akhirnya membawa dia ke dalam sebuah misi yang memerlukan juruterbang yang terpilih untuk melakukan pengorbanan terbesar. Mampukah Maverick menggalas tugas dan amanah yang diberikan? Adakah kejadian lampau akan berulang kepada anak rakan baiknya iaitu Rooster? Saksikan filem aksi drama yang cukup hebat ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 26 Mei 2022 untuk mengetahui jawapannya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak United International Pictures untuk menonton sebuah filem aksi drama lakonan pelakon hebat Tom Cruise yang sudah lama dinantikan peminat iaitu Top Gun: Maverick. Tayangan ini telah berlangsung dengan cukup meriah di Big Screen GSC The Starling pada 24 Mei 2022 yang lepas. Untuk makluman semua, filem ini merupakan sekuel kepada filem Top Gun yang ditayangkan sekitar tahun 1986. Akhirnya, setelah menunggu sehingga 36 tahun maka tertunai impian sebilangan besar peminat filem ini yang mahu menyaksikan sambungan kisah watak utama bernama Maverick ini. 


Salah satu faktor utama yang membuatkan filem Top Gun: Maverick begitu menghiburkan untuk ditonton adalah apabila anda menonton filem ini di dalam panggung yang menawarkan ciri IMAX pada skrin layar. Ini kerana filem ini sememangnya dihasilkan menggunakan kamera berteknologi IMAX dan menawarkan anda pengalaman tontonan yang cukup indah terutamanya dari sudut kepuasan penataan bunyi dan sinematografi. Kami yang menonton di dalam panggung Big Screen sahaja pun sudah cukup terpesona dengan keindahan ini. Jadi, apatah lagi jika menonton filem hebat ini di panggung IMAX. Pasti lebih padu!


Filem Top Gun: Maverick sememangnya memberi satu jaminan buat para penonton yang meminati babak aksi dimana setiap babak yang melibatkan pesawat pejuang sama ada di dalam latihan atau pertempuran dihasilkan dengan cukup baik dan sangat kemas. Gabungan suntingan, permainan kamera dan kesan imej janaan khas CGI betul-betul menjadi. Setiap babak ini sentiasa diisi dengan suntikan suasana cemas dan ianya memang berjaya membuatkan kami turut sama merasai debaran, ketakutan dan keberanian setiap watak di dalam filem ini yang berdepan dengan ambang kematian di saat perlu membuat keputusan drastik yang membabitkan antara hidup mahu pun mati mereka semua. Kami boleh katakan setiap babak ini memang tidak mengecewakan dan ini antara salah satu faktor yang membuatkan filem ini boleh dikatakan sebagai salah sebuah filem aksi drama dari Hollywood yang terbaik untuk tahun 2022 buat masa ini.


Apa yang membuatkan kami lebih tertarik dengan filem Top Gun: Maverick ini ialah dari sudut plot cerita yang tidak terlalu klise. Pengarah dan penulis skrip bijak menyumbat konflik-konflik menarik melibatkan watak Maverick sejak daripada awal filem dan ianya diperkembangkan sedikit demi sedikit sehingga menjadikan filem ini bukan sekadar filem yang menawarkan babak aksi semata-mata untuk menagih pujian penonton. Boleh kami katakan 90 peratus watak yang wujud di dalam filem ini berjaya menonjol dengan cukup baik walaupun ada sebahagian daripada mereka hanya muncul dalam beberapa adegan. Membawakan watak-watak cameo daripada filem pertama Top Gun untuk muncul di dalam beberapa adegan filem ini juga adalah satu tindakan yang sangat bijak kerana aura setiap watak cameo ini berjaya dieksploitasikan secara maksimum. Ianya berjaya memberi satu kesan nostalgia terbesar pada tontonan kami semalam.


Memilih untuk mengekalkan pelakon hebat Tom Cruise di dalam filem Top Gun: Maverick juga adalah satu keputusan yang sangat tepat. Kami menyedari bahawa Tom Cruise mempunyai satu karisma yang cukup besar. Menariknya pelakon ini masih berjaya mengekalkan aura dominannya yang boleh dilihat pada filem Top Gun dan ianya berjaya dirasai pada filem sekuel ini. Tetapi, menariknya juga ialah lakonan Tom Cruise tidak memakan atau mematikan lakonan para pelakon yang lain tetapi berjaya menambah impak kepada setiap adegan yang berkaitan dengan lakonannya. Memang terbaik!


Selain itu, kami juga turut tertarik dengan filem Top Gun: Maverick ini disebabkan dua perkara ini. Pertama ialah cara mereka memperkenalkan musuh mereka tanpa mengaitkan dengan mana-mana negara atau ideologi. Jika sebelum ini, apa-apa yang melibatkan musuh tentera Amerika Syarikat pasti penonton akan dimomokkan dengan nama negara-negara seperti Rusia, China, Korea Utara, Iran dan Cuba. Namun, di dalam filem ini tiada perkara tersebut dan sifat neutral ini sangat membantu kami untuk menonton filem ini dengan lebih puas tanpa ada sebarang sikap prejudis. Kedua ialah kami menyedari bahawa filem-filem aksi yang melibatkan peperangan di udara menggunakan pesawat pejuang agak jarang untuk memaparkan bagaimana kaedah pertempuran menyerang dan bertahan yang lebih bersifat realistik untuk tontonan penonton. Namun, inilah perbezaan dan keistimewaan filem ini yang bijak di dalam menyampaikan perkara tersebut melalui adegan aksinya. Kami secara jujur sangat gembira menikmati setiap 'sajian' yang ditawarkan sepanjang keseluruhan filem ini berlangsung. Secara keseluruhan, filem Top Gun: Maverick sangat berbaloi untuk anda tonton di dalam pawagam bercirikan IMAX. 


Jadi, selamat menonton filem Top Gun: Maverick yang mula ditayangkan pada 26 Mei 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Berjudul Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.


Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Maaf tuan, sy tak jumpa kelemahan cerita ini berdasarkan rating 8/10 yang diberikan. Tk

    BalasPadam
    Balasan
    1. rating peribadi saya sendiri...lain orang lain penilaiannya :)

      Padam