Review Filem Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah

 

Filem:
Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Dato' Zahim Albakri

Genre:
Komedi Gelap

Pelakon:
Dato' Rahim Razali, Dato' Zahim Albakri, Bernice Chauly, Sean Ghazi, Na'a Murad,
Juliana Ibrahim, Jit Murat, Harith Iskander, Bernie Chan, Junji Delfino, Dara Raziana Othman, Joelah Charles, Carliff Carleel, Amerul Affendi, Hairi Safwan Aznan, Diana Danielle,
Nanu Baharudin, Melissa Saila, Ida Nerina, Sabrina Hassan, Namron, Mika Aaron Jenewein, Badrika Baluch Bahadur, Amir Johan Nadim, Badrish Isnin Bahadur, Farah Nadiah & Etc.  

Pengedar:
Earlybird Productions Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
9 Jun 2022

Sinopsis:
Filem yang diadaptasikan daripada Spilt Gravy On Rice karya Allahyarham Jit Murad ini berkisar mengenai sebuah keluarga Melayu kelas pertengahan atas yang agak porak peranda. Latar masa kisahnya cuma sehari sahaja iaitu pada 8 Jun 2011 dimana Bapak merasakan bahawa dia tidak lagi mempunyai masa yang lama untuk hidup. Jadi dia menjemput semua anaknya untuk makan malam pada keesokan harinya untuk membincangkan mengenai wasiat di mana sebahagian besarnya adalah tentang rumah keluarga yang meliputi beberapa ekar di pusat bandar Kuala Lumpur itu. Namun, satu lawatan tidak dijangka oleh dua orang asing menyebabkan Bapak menukar rancangannya dan menyegerakan makan malam pada 8 Jun 2011 juga. Dia mengirimkan pesanan untuk anak-anaknya tetapi mampukah mereka semua menerima mesej itu dan menunaikan impian bapak? Saksikan filem komedi gelap yang cukup hebat dan berani ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 9 Jun 2022 untuk mengetahui jawapannya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak ZSA Production untuk menonton sebuah filem tempatan bergenre komedi gelap iaitu Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah yang berlangsung dengan agak meriah di DADI Cinema Pavilion Kuala Lumpur pada 24 Mei 2022 yang lepas. 


Untuk makluman semua, filem Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah ini berdurasi selama 115 minit dan diklasifikasikan sebagai tontonan untuk penonton berumur 13 tahun dan ke atas. Lebih mengejutkan kami apabila mengetahui bahawa filem ini pertama kali dihantar ke Lembaga Penapis Filem (LPF) pada tahun 2012 tetapi diklasifikasikan sebagai tidak sesuai untuk tayangan umum. Selepas beberapa kali filem dengan judul asalnya iaitu Spilt Gravy on Rice ini diubahsuai dan dihantar semula mengikut garis panduan yang ditetapkan maka akhirnya filem ini diluluskan untuk tayangan pada Mac 2020. Namun, sekali lagi dugaan menjelma dimana filem ini terpaksa menunggu selama 2 tahun gara-gara pandemik Covid-19 yang melanda Malaysia. 


Filem Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah ini pernah ditayangkan di Colombo International Film Festival pada 9 November 2015. Namun, selepas itu filem ini tidak pernah
ditayangkan lagi di mana-mana festival lain. Jadi, apabila kami berkesempatan untuk hadir menonton filem 'panas' seperti ini maka semestinya peluang emas sebegini tidak harus dipersiakan. Usai menonton, pandangan kami agak bercampur baur antara suka dan tidak dengan apa yang disajikan oleh filem ini kepada kami.  


Satu perkara yang cukup jelas kami boleh nyatakan tentang filem Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah ini ialah ianya merupakan sebuah karya yang betul-betul menongkah arus pada tahun yang sepatutnya filem ini ditayangkan. Diakui sendiri oleh pengarah filem ini bahawa ini adalah antara filem terawal arahannya dan keberaniannya untuk memaparkan plot penceritaan sebegini sememangnya bakal menjentik hati atau memanaskan punggung ramai pihak selepas ini. Kami yakin filem ini bakal memecahkan penonton kepada tiga kategori. Kategori pertama ialah mereka yang menyokong beberapa isu berat, taboo dan panas yang disentuh di dalam filem ini. Kategori kedua ialah mereka yang neutral dan lebih memandang naskah ini sebagai seni dan mengambil iktibar daripada positif dan negatif mesej yang disampaikan di dalam karya ini. Kategori ketiga ialah mereka yang sememangnya menentang isu-isu yang cuba disampaikan berlandaskan kepercayaan kepada agama dan budaya. Jadi, anda hanya akan tahu anda berada di dalam kategori penonton yang mana apabila anda menonton filem ini nanti.  


Kami harus akui bahawa untuk menonton filem Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah ini, para penonton perlu bersikap cukup terbuka sementelah ianya diadaptasi daripada karya teater yang tersohor. Kemunculan watak-watak 'Malaikat' dan 'kepercayaan' masyarakat Melayu terutamanya apabila kita berada di dalam suasana yang bising dan tiba-tiba menjadi sunyi sepi buat seketika dengan mengatakan bahawa 'Malaikat Lalu' adalah antara salah satu intipati ringkas yang diguna pakai di dalam penceritaan filem ini. Perkara tersebut disampaikan di dalam filem ini dengan suntikan elemen 'dark comedy' yang mana ianya memberikan sebuah gaya hiburan yang unik dan kreatif. Kami sememangnya tertarik dengan cara penyampaian hal-hal yang berkaitan dengan perkara sebegini yang jika kita pandang pada sudut positif, ia lebih kepada gambaran kepada pengalaman kehidupan kita sendiri, Namun, ianya juga berkemungkinan besar sensitif bagi segelintir pihak.  


Filem Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah ini juga boleh dikatakan sangat berani menyentuh isu-isu panas yang masih taboo di Malaysia iaitu berkaitan dengan golongan LGBTQRS. Tetapi, satu perkara yang menarik perhatian kami ialah kisah-kisah yang disampaikan tersebut adalah realiti sebenar kepada keadaan masyarakat kita pada era kini dan bagaimana pemikiran dan luahan rasa mereka yang menceritakan punca berlaku dan keinginan untuk berubah menjadi normal seperti manusia biasa. Isu ini bukan lah isu utama filem namun kisahnya boleh dikatakan berat tetapi menarik untuk diperhalusi. Namun, kami secara jujurnya agak terkejut dengan klasifikasi PG13 yang diberikan kepada filem ini kerana perkara berkaitan agak berat untuk tontonan mereka yang berumur 13 tahun hingga 18 tahun sebenarnya. Namun dari satu sudut, filem ini berjaya membongkar kisah hitam masyarakat kita yang cuba 'disembunyikan' walaupun hakikat sebenarnya majoriti ramai sudah menyedari tentang hal ini. 


Namun, kekuatan utama filem Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah ini sememangnya pada unsur humor yang cukup nakal dan dibantu oleh kekemasan suntingan, penataan cahaya, props serta busana yang berjaya memberikan gambaran latar yang berbeza dan bersesuaian dengan dua era yang berlainan. Menarik untuk melihat bagaimana filem ini memberi pandangan dengan menyentuh perihal kisah hubungan bapa dengan setiap anak daripada isteri yang berlainan. Setiap layanan berbeza membentuk acuan yang berlainan walaupun daripada benih yang sama. Lebih menarik apabila ia disampaikan melalui kacamata seorang lelaki nakal di waktu mudanya yang kini seakan-akan mula menerima hidayah di kala jasad mula dimamah usia. Perkara ini yang membuatkan kami sangat tertarik kerana kekuatan jalan cerita yang dibantu oleh lakonan para pelakon yang hebat dalam menghidupkan kelainan karakter masing-masing sememangnya menjadi dan tidak kelihatan kaku. Lebih menarik perhatian apabila mesej-mesej yang disampaikan juga sebenarnya sangat menarik dimana elemen kekeluargaan dan pendidikan keibubapaan sebenarnya sangat penting dalam memastikan kejayaan anak-anak bukan sekadar diukur melalui pencapaian pekerjaan atau kekayaan semata tetapi turut diberi perhatian pada pengisian jiwa dan rohani masing-masing.  


Walaupun ada beberapa pandangan yang cuba diutarakan di dalam filem Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah ini yang kami kurang bersetuju namun secara keseluruhan filem ini sememangnya mempunyai keunikan yang tersendiri dan ianya cukup kuat untuk berdiri di dalam penceritaan filem ini. Gaya bahasanya menawan. Penceritaan pula sangat berani dan betul-betul menongkah arus. Namun, sudah namanya pun 'dark comedy' maka pada pengakhirannya naskah ini menyerahkan sendiri keputusan kepada penonton untuk memilih apa yang anda mahu terima dan apa yang anda mahu tolak daripada kepercayaan watak-watak yang dicipta di dalam filem ini. Jika anda sukakan filem-filem yang mempunyai tahap seni yang agak artistik, ini adalah antara filem yang anda wajib tonton. Namun, sekali lagi kami nyatakan anda harus bersikap lebih terbuka untuk menyaksikan filem yang menampilkan seni sebegini kerana ianya bukan sebuah filem tipikal biasa yang kita kerap lihat di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem Spilt Gravy: Ke Mana Tumpahnya Kuah yang mula ditayangkan pada 9 Jun 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Dari Thailand Berjudul Haunted Universities 2nd Semester! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.


Catat Ulasan

0 Ulasan