Review Filem The Assistant

 

Filem:
The Assistant 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Adrian Teh

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Iedil Dzuhrie Alaudin, Hairul Azreen, Henley Hii, Farali Khan & Etc.  

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan:
19 Mei 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Zafik yang terpaksa meringkuk di dalam penjara atas kesalahan yang bukan dilakukannya. Selepas hilang segalanya, dia bertemu Feroz yang sering muncul pada waktu “tepat”. Adakah Zafik berjaya merungkai motif sebenar
Feroz? Saksikan filem aksi thriller ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 19 Mei 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Sony Pictures Entertainment untuk menonton sebuah filem tempatan bergenre aksi thriller iaitu The Assistant yang berlangsung dengan sangat meriah dengan aura antarabangsanya di GSC The Starling Mall pada 11 Mei 2022 yang lepas. 


Apa yang menariknya tentang filem The Assistant ini ialah cubaan pengarah dan penulis skrip untuk cuba bermain dengan plot cerita yang pelbagai. Sebahagian percubaan ini agak menarik dan boleh diberi pujian. Sebahagian plot lagi pula sangat mudah diramal oleh kami yang sememangnya gemar dengan filem-filem berkonsepkan permainan perubahan plot seperti filem ini. Namun secara tidak langsung percubaan ini berjaya membawa filem ini untuk lari daripada kepompong kebiasaan filem tempatan yang lebih gemar memilih untuk bermain dengan kisah yang lebih kurang sama dan tipikal. Tahniah diucapkan buat pasukan yang terlibat di dalam merangka kisah filem ini.


Kami juga sangat tertarik dengan kualiti persembahan lakonan yang diberikan oleh Iedil Dzuhrie di dalam filem The Assistant ini. Tenaga, suara, gerakan tubuh dan permainan emosi yang diluahkannya untuk watak utama iaitu Zafik sememangnya mempunyai kelas yang tersendiri. Namun, sayangnya kekuatan dan kelebihan yang ada pada pelakon Iedil ini sedikit sebanyak telah menenggelamkan aura lakonan pelakon Hairul Azreen yang membawakan watak Feroz. Watak Feroz ini jika dilihat pada luarannya memang hebat. Susuk tubuh kekar yang memang bersesuaian dengan watak. Permainan emosi melalui reaksi wajah yang ganas dan adakalanya sesekali nakal berjaya disampaikan dengan baik oleh Hairul. Namun, masalah utama yang Hairul perlu atasi dan ubah pada masa hadapan ialah berkaitan dengan nada suaranya di dalam menuturkan dialog-dialog tertentu. Faktor ini dilihat sebagai salah satu kelemahan yang mengganggu momentum persembahan watak Feroz daripada berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kehebatan watak Zafik.


Namun, satu perkara menarik yang ada pada pelakon Hairul Azreen ini ialah kehebatannya di dalam melakukan babak-babak aksi yang boleh kami katakan sama taraf dengan babak-babak aksi filem luar negara. Faktor ini juga sangat membantu momentum filem The Assistant untuk sentiasa bertahan di dalam menarik perhatian penonton dimana babak-babak aksinya yang merangkumi 30 peratus filem ini memang cukup menarik dan menaikkan adrenalin kami untuk merasai debaran dan kelincahan pelakon ini di dalam setiap pergaduhan dan pertarungan yang memukau. Pelakon Henly Hii juga tidak kurang hebatnya di dalam babak pertarungan yang menjadikan aksi Hairul kelihatan lebih menawan dan menyerlah. Tahniah buat Hairul, Henly dan pasukan yang terlibat di dalam menghasilkan koreograf aksi yang cukup padu untuk filem ini.


Namun, tidak dinafikan ada beberapa kelemahan yang kami dapat lihat di dalam filem ini. Antaranya dari sudut 'plot twist' filem ini yang agak mudah diramal. Selain itu, babak-babak yang melibatkan teknik janaan imej CGI pula dilihat kurang menyerlah dan nampak tidak realistik. Pengakhiran filem ini juga dilihat kurang memberi impak yang sepatutnya dimana anda boleh ketahui tentang perkara ini jika anda menonton filem ini nanti. Namun, secara keseluruhan filem The Assistant cuba membawa satu lagi pembaharuan buat filem tempatan untuk berani mencuba sesuatu yang baru dan unik. Tahniah sekali lagi buat semua krew produksi yang terlibat di dalam penghasilan filem The Assistant ini.

Jadi, selamat menonton filem The Assistant yang bakal ditayangkan pada 19 Mei 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul Aksi Drama Lakonan Tom Cruise Yang Dinanti Ramai Iaitu Top Gun: Maverick! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan