Review Filem Tiga Janda Melawan Dunia

 

Filem:
Tiga Janda Melawan Dunia 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Hyrul Anuar

Genre:
Komedi & Aksi

Pelakon:
Khatijah Tan, Normah Damanhuri, Raja Azura, Norman Hakim,
Rosnah Mat Aris, Ellyza Azizi, Abbas Mahmoood & Etc.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
19 Mei 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Midah, Rohayu dan Ani adalah tiga janda yang tinggal di sebuah kampung dan merupakan peminat tegar penyanyi Aiman Zalini. Apabila beliau mengumumkan persaraannya dan bakal mengadakan konsert terakhir untuk peminatnya, ketiga-tiga janda berusaha untuk mengumpul duit untuk membeli tiket konsert. Pelbagai usaha mereka lakukan namun masih belum berjaya. Setelah mendapat inspirasi daripada seorang peniaga di kampung, akhirnya mereka menghasilkan perisa vape dengan bantuan seorang pembantu makmal. Perisa yang mereka hasilkan mendapat sambutan hangat namun malangnya perisa Vape mereka ini mendapat perhatian pengedar dadah. Ini kerana perisa vape mereka boleh menghentikan ketagihan dadah. Di dalam kegirangan mereka untuk ke konsert tanpa mereka sedari kini mereka diburu! Saksikan filem komedi aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 19 Mei 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada GSC Movies untuk menonton sebuah filem tempatan bergenre komedi aksi iaitu Tiga Janda Melawan Dunia yang berlangsung dengan cukup meriah di GSC Tropicana Gardens Mall pada 10 Mei 2022 yang lepas. 


Secara jujurnya kami tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap filem Tiga Janda Melawan Dunia ini. Namun, sangkaan kami meleset jauh sama sekali kerana filem ini bukan sekadar menarik tetapi juga tampil dengan formula baru yang betul-betul berjaya menghiburkan kami daripada awal sehingga kepada pengakhiran filem ini. Faktor ini disebabkan formula yang disuntik dan diguna pakai di dalam filem ini adalah berbentuk seperti iklan komersial raya yang penuh dengan humor serta emosi yang sentiasa berjaya menarik perhatian penonton untuk memperkatakan tentang elemen tersebut. Contoh paling senang untuk difahami ialah jika anda bergelak ketawa menonton iklan raya bergenre humor daripada syarikat gergasi seperti TNB, TM dan Petronas maka aura ini jugalah yang anda akan temui di dalam filem Tiga Janda Melawan Dunia ini.


Sebenarnya agak sukar untuk melihat sesebuah filem yang 'hero' nya adalah wanita berjaya menarik perhatian kami. Antara filem yang menampilkan pelakon wanita sebagai tunjang utama tetapi berjaya mengemudi filem dengan jayanya pada pandangan kami ialah filem Mami Jarum yang dilakonkan oleh Kartina Aziz. Namun, filem Tiga Janda Melawan Dunia ini juga boleh dikatakan telah berjaya menceroboh masuk ke dalam kategori yang sama dimana keserasian serta lakonan mantap tiga pelakon utamanya iaitu Khatijah Tan, Normah Damanhuri dan Raja Azura sememangnya terbukti berjaya menarik perhatian ramai penonton di dalam panggung untuk sama-sama bergelak ketawa dan merasai jiwa dan karakter watak-watak yang dibawakan oleh mereka.  


Selain lakonan para pelakonnya yang berkesan dan gila-gila, faktor lain yang membuatkan filem Tiga Janda Melawan Dunia ini berada di dalam kelasnya yang tersendiri juga berpunca daripada kekuatan setiap dialog yang diungkapkan oleh para pelakonnya. Dialog-dialog ini yang kelihatan bersahaja, unik, gila-gila dan komikal berjaya digabung dengan baik untuk mengelakkan adegan-adegan di dalam filem ini daripada menjadi hambar. Inilah penangan otai masih berbisa. Memang berbisa betul lakonan masing-masing yang akan membuatkan anda semua tidak kering gusi menyaksikan keletah setiap watak-watak ini. 


Selain itu, permainan kamera yang berjaya menghasilkan sudut gambar yang cantik dan setaraf dengan iklan komersial juga sangat memainkan peranan besar di dalam filem Tiga Janda Melawan Dunia ini. Ditambah dengan sinematografi, props, busana serta runut bunyi yang dihasilkan bukan secara semberono juga menjadikan filem tempatan ini bukan sebuah filem murahan. Sebaliknya setiap usaha ini amat kami hargai kerana ia menjadikan filem ini cukup luar biasa untuk sebuah filem tempatan bergenre komedi aksi sebegini. Cuma seperti biasa filem ini masih tidak dapat lari daripada kelemahan apabila mengulang pakai beberapa elemen seksual berulang kali yang pada awal tontonannya menarik namun menjadi sedikit menjengkelkan pada pandangan kami. Pengakhiran filem ini juga sebenarnya pada pandangan kami agak kurang cantik dimana ia bagaikan menjadi sebuah 'trend' pengarah filem tempatan yang suka menamatkan filem dengan cara yang tergantung dan membuatkan penonton agak terpinga-pinga sedangkan ianya boleh ditamatkan dengan sebuah pengakhiran yang sudah sedia cantik. Namun secara keseluruhan kami sangat terhibur dengan filem Tiga Janda Melawan Dunia ini dan menantikan karya-karya seterusnya daripada pengarah Hyrul Anuar. Tahniah kepada semua krew produksi yang terlibat di dalam pembikinan filem ini. 


Jadi, selamat menonton filem Tiga Janda Melawan Dunia yang bakal ditayangkan pada 19 Mei 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Yang Dinanti Ramai Berjudul The Assistant! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan