Review Filem The Croods


Filem:
The Croods

Pengarah:
Kirk De Micco & Chris Sanders

Genre:
Animasi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Nicolas Cage, Ryan Reynolds, Emma Stone, Catherine Keener,
Cloris Leachman, Clark Duke, Chris Sanders, Randy Thom & Etc.

Penilaian:
9 / 10

Sinopsis:

Filem yang berlatar belakang zaman prasejarah ini mengisahkan Grug, seorang lelaki yang menjadi ketua kepada keluarganya dan mereka hidup di kawasan gunung berapi yang cukup bahaya. Kedudukan Grug sebagai ketua pemburu di dalam keluarganya tercabar dengan kehadiran seorang pemuda bernama Guy yang genius dan mampu mencipta api. Masalah menjadi lebih sukar apabila anak perempuan Grug iaitu Eep jatuh cinta dengan Guy. Disebabkan gempa bumi telah melanda dan mengakibatkan kawasan gua yang menjadi tempat tinggal keluarga Grug musnah maka mereka terpaksa mengikut Guy mencari kawasan penempatan baru. Grug semakin cemburu apabila kesemua ahli keluarganya mula menyukai dan mengagumi kehebatan Guy dan ini menyebabkan Grug mula melakukan sesuatu untuk menambat kembali hati keluarganya tetapi dalam masa yang sama menyebabkan misi perjalanan mereka semua dilanda kesusahan.

Ulasan Hans:

Filem yang memaparkan tentang perjuangan seorang ayah yang cuba melindungi keluarganya dengan cara tradisional dan menolak segala bentuk pemodenan yang dianggap kesemuanya sebagai bahaya amat menarik perhatian aku. Kedatangan Guy sebenarnya langsung tidak berniat untuk mengubah sesiapa tetapi disebabkan kebijaksanaan dan kebaikan yang ada padanya berjaya menarik perhatian kesemua ahli keluarga Grug untuk lebih yakin dengannya walaupun baru beberapa hari bertemu sedangkan Grug telah pun bersama mereka dalam tempoh yang memang cukup lama. Eep seorang gadis remaja yang memang sifatnya ingin tahu dan tahu tetapi oleh kerana pemahaman ayahnya yang menganggap apa sahaja perkara yang baru itu adalah membahayakan nyawa mereka jadi keinginan Eep tersekat disitu. Eep sentiasa berselisih pendapat dengan ayahnya kerana baginya tak akan semua perkara di dalam dunia ini membahayakan mereka manakala ayahnya pula sebenarnya hanyalah berniat untuk melindungi keluarganya cuma caranya sahaja salah.


Kisah Kasih Sayang Antara Bapa Dan Anaknya :)

Masalah seperti ini sebenarnya melanda banyak keluarga di dunia ini tidak terkecuali di Amerika mahu pun di Malaysia sendiri. Kerisauan terlampau ibu bapa membuatkan mereka terlalu mengongkong si anak sehinggakan si anak berasa rimas dan mula memberontak. Aku tertarik dengan ayat-ayat yang keluar daripada karakter Guy dimana ibu bapanya meminta si anak menikmati dan mencari cahaya matahari. Sangat menarik untuk direnungkan. Bagi aku kongkongan ibu itu masih perlu tetapi bagaimana cara dan batas-batas kongkongan itu perlu dikenal pasti. Kebanyakan ibu bapa sukar atau tidak mahu untuk menerima atau cuba untuk mempelajari perkara baru atau pun mengambil tahu tentang dunia moden yang dilalui anak-anak kini dan filem ini cuba untuk menyampaikannya melalui penyampaian yang cukup santai dan bersahaja.


Semua Karakter Memang Mencuit Hati

Susunan jalan ceritanya ringkas dan mudah untuk difahami. Penuh dengan unsur komedi dan nilai-nilai kekeluargaan serta kasih sayang. Setiap karakter memainkan peranan yang sama-sama penting dalam membantu menguatkan jalan cerita filem ini. Watak Guy seorang lelaki yang bijak tetapi tidak kuat dari segi fizikal. Eep merupakan anak gadis yang kekuatannya sama seperti ayahnya iaitu Grug. Adik beradik Eep juga mempunyai pelbagai karakter ditambah dengan keletah nenek mereka yang cukup mencuit hati. Imaginasi penulis dan juga pengarah filem ini memang cukup mengagumkan terutama apabila misi mereka untuk mencari penempatan baru memasuki dunia hutan rimba yang cukup warna-warni dan penuh dengan kejutan. Makhluk yang kelihatan ganas atau garang sebenarnya makhluk yang cukup manja manakala makhluk yang kelihatan cantik dan comel pula bertindak ganas. Hahaha!


Mencari 'Cahaya' Kehidupan 

Banyak babak-babak yang sebenarnya walaupun dipaparkan secara komedi namun dalam masa yang sama mampu menyentuh hati anda yang menontonnya terutama babak Grug yang cuba membuktikan kepada semua terutama anaknya Eep bahawa dia sebenarnya merupakan seorang lelaki yang lebih hebat berbanding Guy dan bagaimana babak Grug melontarkan semua anaknya ke gunung berdekatan agar mereka terselamat dalam kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi. Memang menyentuh hati dan cukup kuat nilai-nilai keluargaan yang cuba disampaikan di dalam filem ini. Diakhiri dengan lagu Shine Your Way yang merupakan nyanyian Yuna dan Owl City. Memang terbaik!! Filem ini sesuai untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa. Bawalah anak-anak untuk menonton filem ini dan pasti hari anda bersama anak-anak akan dipenuhi dengan penuh keceriaan. Selamat menonton! :-)

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. trailer die pon nampak macam nest cerita ni.
    tak sempat lagi nak pegi tgok.

    BalasPadam
  2. bosan lagi membosankan.
    suntikan elemen komedi slapstik yang klise.
    aku tertidur sekejap dalam panggung menonton ini.

    BalasPadam