Review Filem Chef


Filem:
Chef

Pengarah & Penulis:
Jon Favreau

Genre:
Pengembaraan, Komedi & Drama

Pelakon:
Jon Favreau, Emjay Anthony, John Leguizamo,
Bobby Canavale, Scarlett Johansson, Dustin Hoffman,Robert Downey Jr. & Etc.

Penilaian:
9 / 10

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Carl Casper yang merupakan ketua chef sebuah Restoran Gauloise yang terletak di California. Pemilik restoran tersebut iaitu Riva ingin Carl mengikut arahannya iaitu memasak masakan klasik dan bukannya makanan-makanan zaman sekarang yang terlalu berinovatif. Kesibukan Carl juga menyebabkan hubungan dia dengan anak lelakinya iaitu Percy dan bekas isterinya iaitu Inez juga kurang mesra akibat kekangan masa.

Pada suatu hari, Carl dimaklumkan oleh Riva bahawa restoran mereka akan dikunjungi oleh seorang pengkritik makanan yang cukup terkenal iaitu Ramsey Michel. Carl begitu bersemangat untuk menghidangkan makanan-makanan yang memiliki ciri-ciri moden tetapi Riva tidak bersetuju dan memaksa Carl untuk mengikut arahannya menyediakan menu-menu klasik. Akibat arahan Riva tersebut menyebabkan Carl malu besar apabila menu-menu yang dihidangkannya mendapatkan kritikan yang sangat pedas daripada Ramsey dan kritikan tersebut tersebar secara meluas di media sosial.

Carl yang buta teknologi telah membalas kicauan Ramsey melalui akaun twitter yang baru dibuat hasil bantuan anak lelakinya tanpa menyedari bahawa kicauan berbau hinaan dan kecamannya itu dapat dibaca oleh semua pengikut Ramsey di Twitter yang berjumlah ratusan ribu orang. Carl telah mencabar Ramsey untuk kembali semula ke Restoean Gauloise dan merasa kembali menu-menu lain yang akan dimasak olehnya tetapi Riva tidak membenarkan Carl mengubah menu sehingga menyebabkan Carl mengambil keputusan berhenti kerja serta merta.

Ramsey yang datang kembali ke Restoran Gauloise untuk menerima cabaran Carl kembali menghina Carl melalui media sosial Twitter sehingga menyebabkan Carl mengamuk. Apakah yang terjadi seterusnya? Bagaimana trak makanan membantu Carl kembali semula untuk mencapai cita-citanya berkongsi rasa makanan yang sedap kepada semua pelanggan-pelangannya? Tonton filem ini untuk mendapatkan jawapannya.


Ulasan Hans:

Filem ini sebenarnya sudah lama ditayangkan iaitu sekitar tahun 2014. Memandangkan semalam ternampak di laman sosial Facebook tentang poster filem ini dan ramai yang memuji maka aku luangkan sedikit masa untuk menonton dan ternyata filem ini memang menarik untuk dikongsi dengan semua peminat filem.



Lakonan mantap pelakon-pelakon yang terlibat di dalam filem Chef ini sememangnya dipuji. Sebenarnya, aku suka kisah filem ini sendiri kerana ia melibatkan daripada segala sudut kehidupan. Tentang kehidupan sebagai seorang chef yang melibatkan hubungan dan komunikasi antara dia dan pekerja serta bos. Kehidupannya dengan seorang gadis yang mungkin gadis idaman. Kehidupannya dengan anak lelaki serta bekas isterinya yang aku rasakan sangat menarik. Paling penting aku suka tentang misi Carl di dalam filem ini yang berkongsi rasa makanannya yang sedap dengan semua orang.



Bagaimana dasar kapitalis yang lebih mengejar keuntungan adakalanya mampu mengekang kreativiti seseorang untuk lebih maju ke hadapan seperti mana boleh di lihat pada watak pemilik restoran iaitu Riva yang selalu menekankan menu yang dijual di restorannya sudah berusia lebih 10 tahun dan dia berasa selesa berada di zon selamat untuk memastikan restorannya sentiasa beroperasi dan beranggapan menu-menu tersebut sahaja yang disukai oleh pelanggan.



Memberi fokus pada teknologi media sosial terkini yang semakin berkembang dimana melahirkan pengkritik-pengkritik mahu pun para blogger yang segelintirnya tidak tahu langsung tentang sesuatu pekerjaan tetapi mengkritik secara langsung yang tanpa sedar mampu memusnahkan diri seseorang dalam sekelip mata sahaja. Ini jelas dipaparkan di dalam satu babak dimana Carl memaki hamun Ramsey sewaktu kali kedua Ramsey datang dimana Carl mengatakan Ramsey yang bukannya datang daripada bidang kulinari secara ilmiah dan tidak memahami apa sebenarnya tugas Carl dan bagaimana kekangan yang dia terpaksa hadapi kerana dia terpaksa mengikut arahan daripada majikannya.



Kepentingan teknologi masa kini juga berjaya dipaparkan di dalam filem ini secara kritis dan sinis dimana kisah ini cuba memaparkan jika anda seorang yang berhati tisu atau pun seorang yang panas baran, laman sosial adalah salah satu medium yang mampu merosakkan kehidupan anda jika anda tersilap langkah. Ini dapat dilihat terhadap Carl yang mengikut kata hati membalas kicauan Ramsey di twitter yang akhirnya memakan dirinya sendiri. Tetapi, filem ini juga menyampaikan tentang teknologi dan manusia saling berkait rapat. Jika manusia mengasingkan diri dari teknologi maka manusia akan terkebelakang daripada banyak aspek. Begitulah hebatnya teknologi dimana permulaan awal Carl menjalankan perniagaan trak makanan, dia selalu dilihat memperlekeh dan merendah-rendahkan anaknya sendiri tentang bahasa-bahasa teknologi yang dikongsikan anaknya seperti vine, video rakaman dan pelbagai lagi sehinggalah dia mengakui bahawa anaknya merupakan insan sebenar yang membantu dia berjaya untuk memperkenalkan makanan-makanan yang dijualnya melalui trak makanan.



Menyentuh berkenaan hubungan keluarga, dapat dilihat disini aspek itu berjaya ditonjolkan dengan baik sekali. Bagaimana hubungan Carl dan bekas isteri yang masih baik serta saling sokong menyokong walaupun sudah tidak bersama dan secara tidak langsung membuatkan anak mereka iaitu Percy tidak pernah menjadikan penceraian itu sebagai satu kuasa untuk membenarkan Percy memberontak seperti remaja-remaja di zamannya. Kasih sayang yang ditonjolkan oleh Carl terhadap Percy terutama melalui perkongsian bakatnya di dalam bidang masakan dan kulinari juga menarik untuk diaplikasikan di dalam kehidupan berkeluarga. Ada satu babak yang menarik dimana Carl meminta maaf terhadap Percy selepas memarahinya sewaktu meminta Percy membersihkan dulang dari sisa makanan yang entah berapa lama terperap di dalam trak. Aku suka dimana ia sebenarnya mendidik penonton terutama terhadap bapa yang kita sendiri ketahui merega ada ego yang tinggi untuk sesekali merendahkan diri dan cuba mendidik anak masing-masing melalui kaedah kasih sayang dan psikologi.



Aku juga sangat setuju dengan filem ini dimana kejayaan seorang lelaki pasti berdirinya seorang wanita di belakang. Dan di dalam filem ini yang membantu memberi sokongan sejak Carl masih seorang chef di restoran ialah bekas isterinya. Walaupun berpisah tetapi hubungan tetap dijaga dengan baik dan profesional. Satu perkara yang bagus untuk dipelajari oleh bekas-bekas suami atau bekas-bekas isteri supaya anak-anak anda tidak menjadi liar atau terbiar.



Dan yang paling menarik di dalam filem ini pastilah tentang trak makanan dan makanan itu sendiri. Jika dilihat di Malaysia kini memang ramai pengusaha trak makanan tetapi konsepnya mungkin sudah lari daripada yang asal. Konsep sebenar ialah trak makanan ini akan menjelajah ke pelbagai tempat untuk menyebarkan rasa makanan yang dijual mereka cuma mungkin di Malaysia ia sangat berlainan disebabkan kekangan kos dan juga harga serta servis trak itu sendiri yang sememangnya mahal. Cuma aku suka berkongsi disini tentang apa yang mungkin pengusaha-pengusaha trak makanan di Malaysia boleh belajar daripada filem ini ialah tentang rasa makanan dan kreativiti makanan serta yang paling penting ialah harga makanan yang mereka jual. Sepatutnya harga makanan yang dijual melalui trak makanan mempunyai nilai yang rendah mahu pun sederhana tetapi lain sedikit situasinya di Malaysia. Mungkin perkara ini boleh diperbaiki oleh mereka jika mereka mempunyai jiwa seperti Carl.


Sebuah filem yang cukup menarik dan mesej tersirat yang ingin disampaikan juga berjaya di hadam oleh sesiapa yang menonton. Bukannya filem yang terlampau berat tetapi masih santai dan ada nilai humor yang tersendiri. Bagi aku tidak rugi anda menonton jika masih belum menonton filem yang hebat ini. Selamat menonton dan kongsikan pandangan anda di ruangan komen yer.

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Filem ni memang best. Tak sangka pengarah filem Ironman nih mampu berlakon dengan cemerlang. Sophia Vergara sangat cantik

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes...memang macam real dia berlakon
      heehehe

      Padam
  2. Filem...ada sisi yg blh jdkan pengajaran ....

    BalasPadam
    Balasan
    1. yes
      betul2
      filem nih banyak mengajar tentang hubungan kekeluargaan

      Padam