Review Filem Ralph Breaks The Internet: Wreck-It Ralph 2


Filem:
Ralph Breaks The Internet: Wreck-It Ralph 2

Penilaian:
8 / 10

Pengarah:
Rich Moore & Phil Johnston

Genre:
Pengembaraan, Animasi & Komedi

Pelakon:
John C. Reilly, Sarah Silverman, Gal Gadot, Taraji P. Henson,
Jack McBrayer, Jane Lynch, Alan Tudyk, Alfred Molina & Etc.

Tarikh Tayangan:
22 November 2018

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Sinopsis:

Filem ini merupakan sambung kepada kisah antara Ralph dan Vanellope selepas enam tahun kejadian pertemuan mereka pada filem Wreck-It-Ralph yang terdahulu. Pada kali ini, mereka berdua telah terlibat di dalam satu pengembaraan ke dunia internet melalui modem wifi yang terdapat di arked mereka untuk cuba mendapatkan aksesori stereng permainan Vanellope yang telah dirosakkan oleh pelanggan. Saksikan pengembaraan mereka yang cukup menarik dan penuh dengan emosi di pawagam berhampiran anda pada 22 November 2018 akan datang untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pada 22 November 2018 yang lepas, aku telah berkesempatan menonton filem Ralph Breaks The Internet: Wreck-It Ralph 2 di TGV Cinemas The Mines. Kali ini aku menonton sendirian dan mengeluarkan wang sendiri semata-mata untuk menonton sekuel filem ini yang sudah lama aku nanti-nantikan. Jika filem pertama telah berjaya menghiburkan dan membuatkan aku mengimbau pengalaman lalu bermain permainan video, filem sekuel ini pula bukan sekadar berjaya membuatkan aku ketawa berdekah-dekah di dalam panggung kerana kelucuan plot ceritanya tetapi turut berjaya menjentik emosi aku di dalam beberapa babak yang cukup menyentuh hati.


Kali ini Ralph dan Vanellope kembali dengan sebuah kisah yang cukup menarik dimana dua watak ini dipertontonkan pada babak awal mempunyai dua keinginan yang berbeza. Ralph menyukai kehidupan selesa yang sedang dilaluinya tetapi Vanellope pula sebaliknya. Sebagai seorang yang menyukai cabaran serta perkara baru, Vanellope inginkan satu benda yang baru untuk membuatkan perjalanan hidupnya dirasakan lebih bermakna. Impian Vanellope untuk menikmati pengalaman baru tercapai apabila akhirnya dia diajak oleh Ralph untuk mengembara ke dunia internet tanpa sempadan. Pengembaraan ini dilakukan bertujuan untuk mencari alat ganti stereng kereta untuk mesin permainan arked Sugar Rush yang telah dirosakkan oleh salah seorang pelanggan tanpa sengaja. Disebabkan Ralph tidak mahu berpisah dan kehilangan rakan ciliknya ini maka dia mengajak Vanellope untuk menyertai perjalanannya ke dunia internet selepas pemilik kedai permainan video arcade telah memasang wifi di kawasan tersebut.


Aku cukup sukakan dunia internet yang dicipta di dalam filem ini. Ia membuatkan anda dekat dengan permasalahan kecil yang sering kita alami saat melayari internet seperti terpaksa memadam iklan, popup dan sebagainya yang adakala mengjengkelkan. Tetapi, hal ini berjaya dipertontonkan melalui visual yang disokong dengan dialog yang cukup menarik. Sehingga kini aku masih teringatkan watak Spamley yang sememangnya cukup lucu dan berjaya menghiburkan semua penonton di dalam panggung. Aku melihat filem ini berjaya mendidik penonton terutama kanak-kanak secara tidak formal tetapi dengan gaya yang sangat santai tentang kebaikan dan keburukan yang boleh dijumpai saat anda melayari dunia internet.


Selain daripada permasalahan iklan, popup dan virus, aku tertarik melihat tentang beberapa syarikat sama ada syarikat internet, membeli-belah serta sebagainya yang dipertontonkan di dalam filem. Menariknya disini kerana aku melihat filem ini bijak di dalam mendidik serta dalam masa yang sama menyindir kelakuan manusia sewaktu menggunakan internet untuk melayari pelbagai laman sosial. Antara babak-babak menarik yang boleh dilihat seperti menjawab soalan-soalan yang mengarut, membida barang-barang yang dijual, menghasilkan pelbagai jenis video sama ada menarik, ilmiah, mengarut atau memalukan. Tetapi, ia dipertontonkan di dalam keadaan yang membuatkan anda memikirkan kebaikan dan keburukan hal itu terjadi dalam waktu yang serentak. Sebab itu aku merasakan filem ini berjaya membuatkan aku rasa teruja dan gembira sepanjang menonton filem ini daripada awal sehingga ke penamatnya.


Filem ini juga menarik untuk ditonton kerana mesej-mesej positif yang terdapat di dalam filem ini berjaya disampaikan secara ringan tetapi kreatif. Elemen persahabatan terutamanya berjaya dimasukkan dalam kadar yang sangat maksimum dan berjaya dipecahkan kepada beberapa perkara positif lain seperti tanggungjawab, kepercayaan serta kasih sayang. Aku memandang sudut tersebut melalui filem ini dan ini merupakan suatu perkara yang hebat serta kejutan buat aku kerana aku tidak jangkakan ia dapat dilihat dan diselami di dalam sebuah filem animasi. Sebuah filem sekuel yang cukup membanggakan untuk ditonton.


Aku juga cukup bagaimana filem ini bukan sekadar memaparkan banyak watak-watak animasi cameo sama ada daripada siri permainan video popular kanak-kanak era 90-an tetapi juga watak-watak popular daripada filem Disney yang lain. Momen pertemuan di antara watak Vanellope serta watak-watak wanita utama kisah rakyat Disney di dalam beberapa babak sememangnya merupakan antara daya tarikan menarik yang memberi impak sewaktu anda menonton filem ini. Impaknya datang daripada dialog yang bersifat serampang dua mata atau lebih tepat lagi dialog-dialog ini berjaya memberi pujian serta sindiran kepada watak-watak itu sendiri dengan begitu berkesan. 


Filem sekuel ini juga bagi aku menarik dan berani menyentuh tentang dunia Dark Web yang menarik perhatian ramai orang untuk mengetahui tentang kebenaran di sebalik pelbagai kisah dan dakwaan tentang dunia gelap ini. Namun, hal ini ditampilkan secara minima sahaja bersesuaian dengan status filem ini sebagai sebuah filem animasi untuk kanak-kanak. Salah satu kisah di dunia tersebut berjaya dipertontonkan dengan sangat baik melalui watak Shank yang suaranya disumbangkan oleh pelakon Gal Gadot. Watak Shank ini merupakan seorang pemandu hebat daripada permainan perlumbaan yang wujud di dalam dunia Dark Web dan kisah tentang Shank ini berjaya diperkembangkan dengan baik di dalam mencetuskan konflik menarik antara Ralph dan Vanellope. Aku tidak mahu ulas panjang-panjang berkenaan hal ini untuk mengelakkan 'spoiler' tetapi apa yang aku boleh katakan konflik yang wujud di dalam filem sekuel kali ini sememangnya memberi kesan yang begitu kuat saat anda menontonnya nanti.


Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem animasi Ralph Breaks The Internet: Wreck-It Ralph 2 di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 November 2018 ini:

1) Walaupun filem ini merupakan sekuel kepada filem terdahulu namun ia berjaya lari daripada sumpahan badi kegagalan kebanyakan filem-filem sekuel lain di luar sana. Filem ini datang dengan pakej yang lengkap dan menarik jika dilihat daripada sudut penceritaan, plot cerita, watak-watak, sinematografi serta gred warna filem ini.

2) Elemen humor yang bukan sahaja mampu membuatkan kanak-kanak ketawa dan menyukai filem ini tetapi turut berjaya membuatkan pada penonton dewasa serta remaja purba ketawa berdekah-dekah menonton dan mendengar kebanyakan dialog yang diungkapkan oleh watak-watak utama filem ini terutamanya Ralph.

3) Jalan cerita yang sangat kreatif serta berjaya membawakan mesej-mesej positif dengan begitu berkesan serta menggunakan kaedah yang cukup santai. Paling menarik cara filem ini menerangkan tentang dunia internet dimana beberapa perkara sebelum ini yang berjaya mengjengkelkan kita di dunia nyata dapat diterima dengan sangat terbuka di dalam filem ini seperti masalah iklan, spam, popup dan virus.

4) Pelbagai watak animasi sama ada daripada permainan video atau filem animasi akan anda temui di dalam filem ini. Setiap kemunculan mereka yang seakan-akan cameo ini pasti akan mencuit hati anda. Kalau tidak percaya dipersilakan tonton dengan kadar segera.

5) Pastikan anda tidak keluar sehingga anda menonton selingan pendek filem ini sehingga tamat supaya anda tidak terlepas babak penghujung yang cukup melucukan dan menghiburkan.


Jadi, kepada anda yang meminati filem animasi dan pernah menonton filem Wreck-It Ralph sebelum ini, filem Ralph Breaks The Internet: Wreck-It Ralph 2 ini merupakan sebuah filem sekuel yang wajib anda tonton di pawagam kerana ia bukan sekadar berjaya mengekalkan kecemerlangan yang telah dipersembahkan oleh filem pertama tetapi turut memberikan anda satu kejutan menarik yang anda tidak sangka-sangka akan dapat ditonton di dalam sebuah filem animasi. Jadi, selamat menonton dan kongsikan pandangan serta komen anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Filem Apa Yang Anda Mahu Aku Ulas Di Dalam Filem Ini? Cadangkan Filem-Filem Yang Menarik Untuk Aku Tonton :)

Catat Ulasan

0 Ulasan